- Iklan -
Berita

UiTM langgar Perkara 153, kata kumpulan peguam tuntut Putrajaya junjung perlembagaan

Zaid Malek dari Lawyers for Liberty berkata perlembagaan berulang kali di salah petik dalam mempertahankan dasar satu kaum UiTM.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Zaid Malek menggesa Putrajaya menegakkan perlembagaan dalam isu kemasukan sementara pelajar bukan Bumiputera ke UiTM.
Peguam Zaid Malek menggesa Putrajaya menegakkan perlembagaan dalam isu kemasukan sementara pelajar bukan Bumiputera ke UiTM.

Kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) mengingatkan Putrajaya menjalankan tanggungjawabnya menegakkan perlembagaan dalam isu pengambilan pelajar berdasarkan kaum dalam institusi pendidikan tinggi, selepas sekumpulan ahli akademik menyokong pendirian UiTM untuk tidak membenarkan kemasukan sementara pelajar bukan Bumiputera ke program pasca-siswazah dalam pembedahan kardiotoraks.

"Adalah menjadi tugas dan kewajipan kerajaan persekutuan di bawah undang-undang untuk menegakkan perlembagaan, dan tidak bertindak secara langsung melanggarnya. UiTM, sebagai sebuah institusi awam dibiayai pembayar cukai, tidak boleh kekal eksklusif untuk Bumiputera sahaja," kata pengarah LFL, Zaid Malek.

Beliau menyifatkan pendirian Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam sebagai "membimbangkan", sambil menambah dengan dengan mengekalkan "naratif yang regresif dan palsu", ia mengabaikan bukan sahaja perlembagaan tetapi juga keperluan sistem kesihatan.

"Amat mengecewakan apabila ahli akademik kanan secara terbuka menyokong penerusan dasar satu kaum sahaja di universiti dan kolej di Malaysia yang moden ini," kata Zaid.

Semalam, Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam mengecam pihak yang menuduh dasar kemasukan UiTM sebagai apartheid, menyifatkan mereka jahil mengenai Perkara 153 perlembagaan.

Kumpulan itu menjawab artikel diterbitkan portal pro-Pakatan Harapan Malaysiakini, yang melabelkan UiTM sebagai pusat pengajian "apartheid" Malaysia.

Artikel tersebut mengundang laporan polis dan gesaan agar penulisnya disiasat.

Perdebatan mengenai kemasukan bukan Melayu ke UiTM merupakan sebahagian daripada kontroversi yang tercetus susulan cadangan untuk membenarkan sementara bukan Bumiputera mengikuti kursus pasca-siswazah dalam pembedahan kardiotoraks.

Zaid, yang juga bekas pelajar UiTM, berkata perlembagaan kerap disalah petik dalam hujah mempertahankan dasar satu kaum di universiti itu.

"Perkara 153 perlembagaan tidak mengandungi apa-apa yang menghalang atau melarang kemasukan bukan Bumiputera ke mana-mana institusi awam, termasuk UiTM.

"Perkara 153 menetapkan bahawa kuota yang munasabah untuk tujuan pendidikan boleh diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, yang terikat dengan nasihat Kabinet mengenai perkara itu," tambahnya.

Tambah Zaid, UiTM sendiri mungkin telah melanggar Perkara 153.

“Dasar eksklusif satu kaum UiTM jelas melanggar penentuan ‘kadaran munasabah’ yang diperuntukkan di bawah Perkara 153 dan menyalahi undang-undang sepenuhnya.

“Pendek kata, Perkara 153 tidak membenarkan penubuhan universiti untuk satu kaum sahaja seperti UiTM,” katanya.

Beliau memetik Perkara 12 perlembagaan, yang menjamin hak mendapatkan pendidikan yang "bebas daripada diskriminasi agama, bangsa, keturunan atau tempat lahir".

"Oleh itu, kerajaan perlu segera mengambil langkah yang perlu bagi memastikan dasar kemasukan UiTM selaras dengan Perkara 12 dan 153 Perlembagaan,” katanya.

"Sebarang bentuk eksklusiviti kaum dalam kemasukan melanggar dua perkara dalam perlembagaan ini."