- Iklan -
Berita

Masa depan politik Rafizi semakin terancam di sebalik pelan noktahkan subsidi

Timbalan presiden PKR itu dilihat mengatur langkah mengambil alih dari bosnya, tetapi apa peluang beliau?

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Kehadiran ahli keluarga Anwar Ibrahim dalam PKR menjadikannya mustahil untuk Rafizi Ramli (tiga dari kanan) memenuhi cita-citanya menerajui parti itu.
Kehadiran ahli keluarga Anwar Ibrahim dalam PKR menjadikannya mustahil untuk Rafizi Ramli (tiga dari kanan) memenuhi cita-citanya menerajui parti itu.

Kurang dua bulan selepas dikritik mengenai Pangkalan Data Utama (PADU), masa depan politik Rafizi Ramli kini menjadi perbualan dalam kalangan PKR dan pemerhati politik.

Ia bukan sahaja berkait sama ada mekanisme PADU itu, yang terpalit kontroversi pengumpulan data orang ramai, mampu menyokong sistem subsidi bersasar yang masih belum jelas pelaksanaannya, tetapi juga cara pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat tidak secara terbuka mempertahankan Rafizi ketika beliau dikecam beberapa pemimpin Barisan Nasional.

Rasionalisasi subsidi, di mana subsidi petrol dan diesel akan ditarik balik dan sebaliknya diberikan kepada golongan yang tidak berkemampuan berdasarkan data PADU, akan dilaksanakan bermula dengan penarikan balik subsidi diesel seperti mana diumumkan Anwar.

Pengumuman Anwar minggu lalu itu mencetuskan kebimbangan mengenai kenaikan harga barangan, menimbulkan persoalan sama ada Rafizi akan dibiarkan sekali lagi sendirian mempertahankan pelan subsidi bersasar.

Sekiranya subsidi bersasar menimbulkan kemarahan rakyat, beberapa bekas pemimpin PKR berkata Rafizi yang akan membayar harga politik yang tinggi, dan bukan Anwar.

Ini kerana, kata mereka, Rafizi merupakan pencabar terdekat kepada Anwar untuk menerajui PKR.

Rafizi yang pernah kalah untuk jawatan timbalan presiden PKR di tangan Mohamed Azmin Ali pada pemilihan parti 2018, akhirnya berjaya menduduki jawatan itu selepas menewaskan Saifuddin Nasution pada 2022.

Tetapi apa peluang Rafizi menjadi orang nombor satu dalam PKR? 

Seorang bekas pemimpin kanan PKR berkata pengalaman dalam parti itu mengesahkan kepimpinan tertinggi parti itu akan hanya berkisar dalam kalangan ahli keluarga Anwar.

"Rafizi tidak ada peluang. Anwar akan beri pada Nurul Izzah. Macam Langkah Kajang," katanya kepada MalaysiaNow, merujuk anak sulung Anwar yang dilihat berpengaruh sebagai penasihat di Kementerian Kewangan yang diterajui ayahnya.

Pada 2014, PKR mengarahkan wakil rakyatnya di kerusi negeri Kajang meletak jawatan bagi membolehkan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, bertanding dan sekaligus diangkat menjadi menteri besar Selangor, dalam usaha parti itu menggantikan Abdul Khalid Ibrahim.

Percaturan yang dikenali sebagai Langkah Kajang itu bagaimanapun gagal, setelah Wan Azizah tidak mendapat perkenan Sultan Selangor untuk dilantik sebagai menteri besar.

Rafizi 'keseorangan'

Sebelum ini, Rafizi bukan sahaja dilihat keseorangan ketika terpaksa mempertahankan PADU, tetapi mesej yang berbeza mengenai subsidi bersasar juga menimbulkan persoalan. 

Laporan akhbar Singapura, The Straits Times yang mendakwa subsidi diesel ditarik balik pada bulan Jun dinafikan Anwar, menimbulkan persoalan sama ada perdana menteri sedang melakukan tugas Rafizi.

Dua bekas pemimpin PKR bersetuju yang Rafizi bakal menerima tempias sekiranya sistem PADU dan subsidi bersasar berdepan masalah.

Bekas timbalan ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin, kini Adun Perikatan Nasional, berkata ada sesuatu yang tidak kena ketika Rafizi mengumumkan kempen mengekalkan Anwar sebagai calon perdana menteri selepas pilihan raya akan datang, pada sebuah konvensyen khas PKR baru-baru ini.

"Tiba-tiba ada kempen untuk jadikan Anwar calon perdana menteri untuk PRU16 yang mana Anwar akan berusia 80 tahun ketika itu. Adakah kita mahu seorang perdana menteri berusia 80 tahun?" soalnya.

"Itulah tujuan Rafizi adakah konvensyen itu, supaya orang bercakap mengenai pelan peralihan dalam PKR."

Manakala bekas naib presiden PKR Tian Chua berkata tanggungjawab menguruskan rasionalisasi subsidi sepatutnya tidak hanya terletak pada satu kementerian.

"Ia melibatkan aspek yang lebih luas daripada Kementerian Ekonomi, namun persepsinya ialah jika ia tidak berjaya, maka menteri ekonomi harus bertanggungjawab. Ini sebenarnya satu persepsi yang salah.

"Dalam sistem kabinet, mereka harus mengamalkan tanggungjawab kolektif dan tidak boleh sesiapa pun dianggap sebagai 'fall guy'," katanya kepada MalaysiaNow.

Tian Chua memberi amaran sebarang kegagalan mekanisme rasionalisasi subsidi akan turut memberi kesan kepada Anwar.

"Ini bukan masanya mana-mana menteri hendak jadi hero atau mana-mana menteri hendak mendakwa ini tanggungjawab mereka seorang," katanya.

Afif berkata Rafizi mendedahkan kelemahannya sepanjang menerajui Kementerian Ekonomi.

"Orang melihat tindak-tanduk Rafizi tidak seperti yang kita bayangkan selama ini. Cara beliau memberi maklum balas, menguruskan sesuatu menunjukkan dia bukanlah teknokrat cekap dan berpengetahuan yang kita andaikan selama ini," tambahnya.