- Iklan -
Berita

Peguam bidas Anwar 'tak kisah' kebebasan media menjunam

Perdana menteri sekali lagi diseru untuk tidak berselindung di sebalik istana dalam mempertahankan tindakannya menyekat kebebasan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Beberapa wartawan menyertai Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di atas pentas, pada sebuah majlis tajaan kerajaan untuk meraikan pengamal media di Kuching.
Beberapa wartawan menyertai Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di atas pentas, pada sebuah majlis tajaan kerajaan untuk meraikan pengamal media di Kuching.

Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) membidas Anwar Ibrahim kerana cuba meremehkan kedudukan Malaysia yang tercorot dalam indeks kebebasan akhbar global, dan berkata perdana menteri terus berselindung di sebalik alasan "3R" dalam usaha menghalalkan tindakan kerajaan menyekat kritikan.

"Respons ini memalukan, tidak jujur dan sama sekali tidak boleh diterima," kata pengarah LFL Zaid Malek.

"Apabila keluar dari mulut seorang perdana menteri, ia menunjukkan sikap angkuh. Ini respons yang biasanya diucapkan oleh pemimpin diktator."

Dalam ucapannya pada sebuah acara tahunan kerajaan untuk wartawan semalam, Anwar berkata beliau tidak kisah sekiranya Malaysia merosot dalam Indeks Kebebasan Media 2024 kerana ia disebabkan usaha kerajaan membanteras "perkauman dan fanatik agama".

“Saya tidak kisah, tidak mengapa, jika kita diturunkan taraf semata-mata kerana tegas menentang perkauman dan fanatik agama,” katanya disambut tepukan daripada hadirin pada majlis Hari Wartawan Nasional di Kuching.

Kerajaan sering menggunakan alasan 3R - agama, raja dan kaum - untuk mengambil tindakan ke atas pengkritiknya, di mana ramai didakwa di bawah Akta Hasutan.

Awal bulan ini, Malaysia jatuh ke tempat 107 dalam Indeks Kebebasan Media yang disediakan pemantau media global Reporters Without Borders (RSF), susut 34 anak tangga daripada 73 tahun lalu.

Indeks itu berdasarkan tindakan kerajaan dan peristiwa sepanjang 2023, menjadikannya penilaian pertama mengenai kebebasan akhbar di bawah kerajaan campuran Anwar.

Laporan tahunan yang menilai kebebasan media di 180 negara itu turut memberikan Malaysia 52.07 mata berbanding 62.83 mata pada tahun lalu. 

LFL mengingatkan Anwar bahawa punca sebenar penurunan ranking itu tiada kaitan dengan 3R.

“Malah, punca sebenar laporan RSF mengenai Malaysia adalah disebabkan sekatan ke atas portal berita yang mengkritik kerajaan seperti Utusan TV, TV Pertiwi, MalaysiaNow, dan lain-lain.

"Video TikTok mengkritik kerajaan juga telah disekat oleh SKMM," kata Zaid merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, agensi di bawah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang kerap menyekat laman web yang mengkritik kerajaan.

LFL memberi contoh bagaimana Anwar menggunakan alasan mempertahankan Agong dalam siasatan polis terhadap wartawan Bloomberg berhubung laporan yang mendakwa beliau berbincang dengan taikun untuk membuka kasino kedua Malaysia di Johor.

"Sebaliknya, kritikan orang ramai mengenainya tertumpu kepada dakwaan penglibatan PM dalam perbincangan mengenai pembukaan kasino, dan bukan raja."

Zaid berkata Anwar sewenang-wenangnya menggunakan Agong "sebagai tembok pertahanan" dalam mengambil tindakan keras terhadap musuhnya.

“Bagaimana boleh wujud kebebasan akhbar sedangkan semua kritikan terhadap kerajaan dilabelkan 3R?

"Beliau menyangka rakyat tidak sedar mengenai pembohongan ini, tetapi ia adalah jelas dilihat oleh semua orang. Inilah sebabnya kedudukan akhbar negara jatuh di bawah pentadbirannya."

Zaid mengingatkan Anwar tentang Perkara 10 perlembagaan, yang menjamin kebebasan bersuara.

"Dengan memburuk-burukkan pengkritik kerajaan sebagai pihak yang mencetuskan kebencian kaum atau membangkitkan sentimen terhadap institusi diraja, kerajaan sebenarnya menjadikan hak kebebasan bersuara sesuatu yang tidak membawa dan ilusi. Ini menjadikan kerajaan sendiri pesalah terbesar yang melanggar perlembagaan."

Kerajaan Anwar mula menyekat kebebasan bersuara sejurus selepas berkuasa pada November 2022, di mana Fahmi dilihat kerap mengancam platform seperti TikTok untuk memadam kandungan yang mengkritik dasar Putrajaya.

Pada Jun tahun lalu, MalaysiaNow disekat selama 48 jam tanpa sebarang notis, mengundang kecaman pelbagai pihak.

Sementara itu, sekatan laman TV Pertiwi dan Utusan TV masih kekal, begitu juga blog yang dikendalikan bekas ahli parlimen Wee Choo Keong.

Tahun lalu, Wee diberi kebenaran untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap SKMM kerana menyekat akses ke blognya.

RSF turut mengkritik tindakan kerajaan menyekat kebebasan bersuara.

"RSF sangat bimbang dengan gelombang sekatan oleh pihak berkuasa Malaysia ini, tanpa sebarang penjelasan atau tindakan undang-undang, terhadap laman berita yang mengkritik kerajaan," kata Pengarah Biro Asia-Pasifik RSF Cédric Alviani pada September lalu.