Muhammad Khairul masih tidak percaya dengan apa yang menimpa dia dan keluarganya pada Isnin lalu, peristiwa yang memaksa mereka kini tinggal di dalam khemah selepas rumah mereka dirobohkan.
Kekecohan yang berlaku di Kampung Sri Makmur, Gombak itu menyebabkan dia dan beberapa ahli keluarganya, termasuk anaknya berusia 7 tahun, bergegas keluar.
Menceritakan peristiwa itu kepada MalaysiaNow, Khairul berkata sekumpulan "samseng" yang memakai vest hijau dan menutup muka mencetuskan kekecohan apabila bertindak menghalau penduduk kampung sebelum rumah mereka dirobohkan.
Pertikaman lidah terjadi antara penduduk dan kumpulan lelaki samseng itu sehingga berlaku tolak-menolak. Dalam keadaan huru hara itu, anak Khairul terjatuh dan diinjak.
"Memang zalimlah cara mereka ini, kita hendak bincang baik tapi dia terus rempuh kita sedangkan anak saya di belakang. Saya tak sempat capai, dia terjatuh dan dipijak," kata Khairul, yang membuat laporan polis mengenai insiden itu.
Selepas rumahnya dirobohkan, Khairul yang berusia 30-an itu kini menetap di sebuah khemah di belakang tapak rumah keluarganya, sementara mencari rumah sewa.
Khairul antara ratusan penduduk Kampung Sri Makmur yang diarahkan mengosongkan rumah mereka.
Sekelip mata, kawasan kejiranan itu diranapkan.
Mahkamah memberikan penduduk tempoh sehingga 31 Mei untuk berpindah.
Bagaimanapun, penduduk mempersoalkan tempoh yang terlalu singkat untuk mereka berpindah.
"Notis diberi hari Jumaat, hari Isnin sudah datang hendak roboh," kata Amril Muslim, 59.
Kampung Sri Makmur, yang terletak antara Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 dan Pusat Komersial Taman Sri Gombak, mempunyai kira-kira 130 buah rumah, dan wujud sejak tahun 80-an ketika kawasan sekeliling masih lagi hutan belantara.
Tindakan pihak berkuasa yang menggunakan kekerasan untuk mengusir penghuni rumah dikecam Adun Gombak Setia, Hilman Idham.
"Tindakan ganas seperti yang berlaku telah tular di media sosial, malangnya tiada sebarang respon daripada kerajaan negeri khususnya menteri besar selaku ahli Parlimen Gombak (Amirudin Shari) mencerminkan betapa kerajaan negeri hari ini adalah zalim dan tidak manusiawi," katanya pada sidang media di Kampung Sri Makmur semalam.
Penduduk tidak diberikan apa-apa pampasan.
Sebaliknya, 21 penduduk menerima sagu hati RM1,000 daripada pihak pemaju, Rexpoint Resources Sdn Bhd dan PKNS, selain tawaran Rumah Selangorku.
Menurutnya, tempoh masa yang diberi terlalu singkat untuk mencari rumah sewa.
"Mereka datang terus bagitahu hendak robohkan rumah. Banyak barang yang tak sempat kami selamatkan.
"Hendak mencari rumah sewa pula bukan murah. Kalau sewa RM1,000, kurang-kurang kena ada RM3,000 ke RM4,000 untuk deposit dan bayaran pendahuluan," katanya.
Senasib dengan Khairul ialah warga emas Rosiah Ismail, 64, yang kini menetap di bawah khemah di depan runtuhan rumahnya bersama-sama beberapa anggota keluarganya.
Pada Selasa malam, hujan lebat yang melanda mengakibatkan mereka tidur dalam kebasahan.
"Mana barang yang sempat kami capai, itulah yang selamat. Banyak barang lain sudah hancur ditimpa batuan rumah," katanya.
Anaknya Norshila Abu Bakar, 37, berkata mereka sekeluarga dalam proses mencari rumah sewa tetapi berdepan kesukaran mencari rumah yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.
Norshila dan adik-beradiknya bekerja sebagai peniaga kecil, menjual kuih di sekitar Selayang.
"Kami perlu mencari rumah sewa berhampiran kerana berniaga di sekitar kawasan ini, dan anak saya bersekolah di sini juga," kata ibu kepada dua anak itu.
Timbalan ketua komuniti Kampung Sri Makmur, Ibrahim Din, berkata, selain tempoh pengusiran yang singkat, terdapat juga isu pemilikan tanah antara kerajaan negeri, pemaju dan penduduk.
Menurut rekod carian penduduk, PKNS memiliki tanah tersebut sejak 1 Julai 2020.
Ibrahim berkata sebelum itu ia dimiliki dua warga Singapura.
Katanya seramai 60 penduduk pernah memohon kepada pejabat tanah supaya kampung itu digazetkan.
"Kami sudah beli pelan kampung ini. PKNS sepatutnya memberi tawaran kepada penduduk kampung untuk membuat permohonan tanah, bukannya pemaju, kerana pemaju tidak mengusahakan tanah ini.
"Pihak yang menghalau kami pula adalah daripada pemaju, padahal tanah ini milik PKNS. PKNS tidak berunding dengan penduduk," katanya.
Dalam kenyataannya, PKNS berkata ia telah menjual tanah tersebut kepada pemaju swasta Rexpoint Resources pada September 2020.
"Orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak menceroboh tanah milik Rexpoint Resources bagi mengelakkan gangguan ke atas kerja-kerja perobohan, selain atas faktor-faktor keselamatan," katanya.
Sambil merujuk kepada Kampung Sri Makmur sebagai kawasan setinggan, PKNS berkata perobohan dilakukan sejak 2006.
Ia mendakwa penduduk ketika itu menolak tawaran membeli rumah kos rendah, sebaliknya menuntut pampasan.
Katanya perobohan rumah dilakukan selari dengan arahan mahkamah, sambil menambah kerajaan memberikan saguhati RM1,000 kepada 21 penduduk di samping menawarkan pembelian rumah Selangorku dengan keluasan 750 kaki persegi pada "harga subsidi" RM65,000.
Ini bukan kali pertama kerajaan negeri Selangor di bawah Amirudin terlibat dalam kontroversi membabitkan pengusiran penduduk.
Tahun lalu, MalaysiaNow membuat liputan mengenai penduduk di Selat Klang, Klang dan Taman Rawiyah Sulaiman, Gombak yang berdepan pengusiran untuk memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Penduduk Kampung Koskan Tambahan di Serendah juga diarah berpindah walaupun tidak menerima sebarang hitam putih berkenaan rumah ganti yang dijanjikan.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.