- Iklan -
Berita

Kempen Blockout semakin menyengat, ahli politik bakal jadi sasaran?

Kempen media sosial yang bermula di Amerika Syarikat itu menyasarkan pempengaruh dan selebriti yang secara langsung atau tidak langsung meremehkan nasib rakyat Palestin.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Kempen #Blockout bertujuan mengingatkan artis, selebriti dan pempengaruh menjalankan tanggungjawab kemanusiaan mereka dengan menunjukkan solidariti kepada Palestin.
Kempen #Blockout bertujuan mengingatkan artis, selebriti dan pempengaruh menjalankan tanggungjawab kemanusiaan mereka dengan menunjukkan solidariti kepada Palestin.

Dari ahli perniagaan selebriti kepada artis, individu terkenal dilihat semakin vokal meluahkan sokongan kepada perjuangan Palestin di sebalik sebuah kempen baharu yang mengancam memulau mana-mana pempengaruh yang dilihat tidak kisah dengan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Baru-baru ini, Kasih Iris Leona, pelakon muda yang kerap mencetuskan kontroversi di media sosial, tampil menjauhkan diri dari kenyataan sinis ayahnya Azhar Sulaiman terhadap artis yang menyokong perjuangan Palestin, dan menceritakan pengalamannya melihat sendiri kekejaman tentera Zionis ketika melawat Tebing Gaza.

Manakala Khairul Aming, yang terkenal dengan kandungan resepi di samping jenama "Sambal Nyet", berganding dengan pereka grafik terkenal Sofyank untuk menerbitkan sebuah video mendidik orang awam mengenai krisis Palestin.

Tindakan mereka ini sudah tentu menjadikan mereka terhindar daripada menjadi sasaran #Blockout, kempen digerakkan di media sosial yang bertujuan membongkar dan memulau individu dan selebriti terkenal yang penampilan dan percakapannya secara langsung atau tidak langsung melemahkan perjuangan rakyat Palestin.

Berbeza dengan kempen boikot Israel yang rata-rata bersandarkan panduan diberikan oleh pergerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS), #Blockout dilihat cara baru memberikan mesej kepada mereka yang mempunyai pengaruh.

Ia rata-rata bersandarkan pemerhatian pengguna media sosial terhadap tindak-tanduk pempengaruh dan selebriti, tanpa dipimpin oleh mana-mana pertubuhan.

#Blockout berasal di Amerika Syarikat, sebagi reaksi komuniti netizen dan aktivis maya ketika malam Met Gala di New York yang merupakan pertunjukan fesyen berprestij pada 6 Mei.

Pertunjukan itu diiringi protes oleh kumpulan pro-Palestin yang membantah acara hiburan besar-besaran yang menurut mereka seolah-olah tidak peduli dengan genosid yang sedang berlaku di Gaza di mana lebih 35,000 orang awam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menjadi mangsa bedilan berterusan Israel.

Ia menyebabkan seorang pempengaruh, Haley Kalil, memuat naik klip video yang menunjukkan dia membuat gerak bibir "let them eat cake" (biar mereka makan kek), frasa terkenal abad ke-19 yang diucapkan permaisuri terakhir Perancis Marie Antoinette sebagai meremehkan kemiskinan rakyat, yang mencetuskan kemarahan sehingga meletusnya Revolusi Perancis antarra tahun 1789 dan 1799.

Tindakan Kalil itu mencetuskan kemarahan sehingga mengilhamkan idea untuk menghukum selebriti yang cuba meremehkan usaha membela rakyat Palestin.

Selebriti jadi sasaran 

Sasaran #Blockout tertumpu kepada selebriti dan pempengaruh yang mempunyai kontrak sebagai duta kepada jenama yang ada kaitan dengan ekonomi Israel, mahupun yang menyokong atau berdiam diri dengan dasar regim Zionis itu terhadap penduduk Palestin.

Tetapi percakapan dan pandangan juga boleh menyebabkan seseorang menjadi sasaran.

Ini yang berlaku terhadap penyanyi Ning Baizura, yang dituduh dituduh tidak ambil berat situasi di Gaza.

Ketika sebuah sesi 'live' bersama peminat, Ning bertanyakan "Siapa itu?" ketika seorang pengguna memuat naik ayat "All eyes on Rafah", bandar di selatan Gaza yang kini menjadi sasaran tentera Israel.  

Dia kemudian muncul menjelaskan perkara itu selepas dikritik dan dituduh jahil dengan apa yang berlaku.

Setakat ini, #Blockout di Malaysia mengenal pasti lebih 20 nama individu, termasuk Neelofa Mohd Noor, Sheila Rusly dan Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dato Seri Vida.

Mereka antara puluhan nama yang dimuatnaik pelbagai pengguna sosial seperti Liena Bunkerz di Facebook dan Astaryaleya di saluran TikTok, antara mereka yang aktif menggerakkan #Blockout.

"Walaupun ada yang ku minat giler-giler, tapi terpaksalah block jugak. Aku tak boleh kompromi ngan manusia-manusia yang takde common sense about saudara kita di Gaza," tulis Liena Bunkerz dalam kiriman pada 13 Mei.

Turut tersenarai ialah pelakon Hollywood kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, yang mengundang kemarahan kerana masih belum bersuara mengenai kemusnahan di Gaza seperti mana ramai artis Hollywood lain.

Sasaran kepada Neelofa dikatakan kerana beliau sering mempromosikan aksesori jenama beg tangan Dior di akaun media sosialnya. Dior merupakan antara syarikat yang diboikot kerana pelaburannya di Israel.

Sheila Rusly disasarkan kerana kaitannya dengan jenama Maggi, produk keluaran Nestle yang menjadi sasaran boikot anti-Israel.

Syarikat makanan global berpengkalan di Switzerland itu memiliki Osem, antara pembuat makanan terbesar di Israel yang turut tersenarai di Bursa Saham Tel Aviv.

Manakala Dato Seri Vida pula dinamakan kerana sering memperagakan jenama mewah seperti Louis Vuitton yang dibelinya di luar negara.

MalaysiaNow telah cuba menghubungi ketiga-ketiga mereka tetapi belum mendapat sebarang reaksi.

Orang politik

Salah seorang pengguna media sosial berkata ahli politik juga mungkin akan disasarkan #Blockout.

"Sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, mereka sentiasa dalam radar kami. Contohnya kontroversi BlackRock baru-baru ini, dan rakyat perlu tahu siapa dalang di sebaliknya," katanya, merujuk kepada isu penyertaan sebuah syarikat milik BlackRock dalam sebuah konsortium bersama kerajaan untuk menguruskan lapangan terbang tempatan.

"Ahli politik dan pembuat dasar akan fikir dua kali sebelum cuba mempertahankan tindakan yang tidak dapat dipertahankan," tambahnya.

Beliau yang enggan namanya dikenali berkata #Blockout bertujuan mengingatkan orang ramai bahawa tragedi kemanusiaan di Gaza adalah sesuatu yang perlu mendapat perhatian.

"Dalam apa jua aktiviti, seharusnya genosid yang berlaku itu sentiasa hadir dalam kesedaran kita. Sehina-hina manusia pun tidak akan mengenepikannya."

Kesan #Blockout

Sejauh mana #Blockout memberi kesan boleh dilihat apabila pelakon Scha Alyahya kehilangan 100,000 pengikut Instagram.

Scha menjadi sasaran selepas mengkritik gerakan tersebut yang disifatkannya sebagai tindakan "membuta tuli" dan menyebar persepsi buruk terhadap selebriti. 

#Blockout mencetuskan perdebatan sama ada ianya satu bentuk "cancel culture", di mana seseorang boleh dijatuhkan menerusi serangan bertalu-talu di alam siber.

Seorang akademik dari New Zealand, Sabrina Moro berkata beliau tidak melihat apa-apa kesalahan sekiranya "cancel culture" dijadikan alat menyemak sifat tanggungjawab seseorang kepada sesuatu isu kemanusiaan. 

Moro yang mengajar bidang media di Universiti Otago itu berkata, selebriti dan pempengaruh disasarkan kerana mereka mempunyai kuasa mengarahkan perhatian media massa kepada isu-isu tertentu. 

"Mereka juga boleh menggalakkan bentuk tindakan politik atau tidak bertindak," katanya dalam satu podcast baru-baru ini.

"Tanggungjawab itu terletak pada bagaimana mereka (selebriti) boleh menghalalkan atau menarik perhatian kepada bentuk aktivisme yang sedia ada," katanya dalam satu siaran podcast baru-baru ini. 

Ketiadaan sebarang badan untuk mengurus #Blockout bagaimanapun menimbulkan persoalan, sama ada kempen itu boleh memangsakan individu yang tidak berdosa.

Tulis seorang pengguna media sosial yang menyokong #Blockout: "Jangan menulis komen berbaur kebencian di sini. Misi kita ialah untuk menghentikan iklan (yang menyokong jenama bayang mempunyai hubungan dengan Israel)," tulisnya di bawah akaun Instagram blockout2024my.