- Iklan -
Berita

Dituduh 'buli' menteri, peguam heret SKMM ke mahkamah selepas kandungan disekat

Shamsher Singh Thind menjadi mangsa terbaru amalan SKMM menyekat kandungan mengkritik pemimpin kerajaan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Shamsher Singh Thind dituduh membuli selepas mempersoalkan urusan kerajaan Selangor dengan sebuah syarikat milik suami kepada seorang menteri.
Shamsher Singh Thind dituduh membuli selepas mempersoalkan urusan kerajaan Selangor dengan sebuah syarikat milik suami kepada seorang menteri.

Seorang peguam yang mengkritik langkah kerajaan negeri Selangor berurusan dengan syarikat milik suami menteri dari DAP bertekad meneruskan tindakan undang-undang terhadap kerajaan selepas hantarannya di Facebook disekat, dalam apa yang dilihat satu lagi cubaan pihak berkuasa untuk memadam kritikan dalam talian.

Shamsher Singh Thind akan memfailkan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), agensi di bawah Kementerian Komunikasi diterajui Fahmi Fadzil yang kerap menyekat hantaran mengkritik Putrajaya.

Menurut Shamsher, beliau dimaklumkan SKMM bahawa hantarannya yang mengkritik Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh itu bersifat "buli siber".

"Saya tidak tahu siapa yang membuat aduan terhadap saya. Saya tidak pernah disiasat kerana membuli Hannah Yeoh. Apa-apa pun yang berlaku, saya tidak diberikan peluang untuk mempertahankan diri sendiri," katanya kepada MalaysiaNow.

"Menyekat hantaran saya di Malaysia samalah seperti menghukum saya tanpa melalui proses undang-undang."

Terdahulu, Shamsher menghantar notis tuntutan kepada SKMM kerana menghalang kebebasan bersuara.

Ia selepas hantarannya mengulas isu membabitkan Yeoh dikenakan "sekatan geo", yang menyebabkan pengguna Facebook di Malaysia tidak dapat mengakses kandungan tersebut sekiranya tidak menggunakan VPN. 

Shamsher dimaklumkan Facebook bahawa sekatan itu atas permintaan SKMM.

Hannah Yeoh dan suami Ramachandran Muniandy.
Hannah Yeoh dan suami Ramachandran Muniandy.

Dalam surat kepada peguam mewakili Shamsher, SKMM berkata hantaran itu dikatakan "tidak konstruktif" dan bersifat "buli siber" terhadap Yeoh.

"Pada masa hantaran klien tuan dibuat, terdapat juga beberapa hantaran lain di Facebook yang menerbitkan kenyataan-kenyataan yang menghina dengan niat untuk mengganggu dan membuli (di alam siber) YB Hannah Yeoh, yang merupakan individu yang telah dinamakan di dalam kesemua hantaran-hantaran tersebut.

"Hantaran klien tuan dilihat sebagai suatu penerbitan untuk mencemarkan nama seorang individu yang spesifik yang merupakan seorang menteri persekutuan dan tidak berniat untuk mewujudkan perbincangan, wacana atau perdebatan yang sihat," menurut surat SKMM yang dilihat MalaysiaNow.

Yeoh menjadi sasaran selepas pendedahan Asia Mobiliti Sdn Bhd, sebuah syarikat dimiliki suaminya Ramachandran Muniandy, dipilih kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan untuk melaksanakan projek rintis  demand-responsive transit, atau transit responsif atas permintaan (DRT) tanpa melalui tender terbuka.

Shamsher, yang juga bekas ahli DAP, berkata SKMM perlu mematuhi undang-undang sedia ada berkaitan internet.

"SKMM perlu diingatkan bahawa Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia melarang penapisan internet," katanya.

Susulan sekatan itu, Shamsher turut mempersoalkan sama ada SKMM menerima arahan itu daripada Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching. 

Sebelum ini, Teo mempertahankan Yeoh ekoran gesaan supaya beliau meletak jawatan.

Pada Jumaat lalu, Shamsher menyertai beberapa aktivis politik dan pempengaruh media sosial dalam sebuah protes senyap di ibu pejabat SKMM.

Selain Shamsher, bekas ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong juga pernah memfailkan semakan kehakiman terhadap SKMM  kerana menyekat akses ke blognya.

Sejak penubuhan kerajaan campuran pimpinan Anwar Ibrahim pada November 2022, SKMM kerap menyekat laman web atau memohon pengendali platform seperti TikTok, Facebook dan YouTube untuk memadam apa-apa kandungan yang mengkritik pihak berkuasa.

Awal tahun ini, Teo mengakui kerajaan memohon kepada TikTok untuk menurunkan video menerusi aduan daripada SKMM.

Sehingga kini, platform seperti X dan YouTube menolak permintaan kerajaan untuk menurunkan kandungan sejajar dengan dasar kebebasan bersuara.

Dasar kerajaan Anwar memadamkan kritikan di samping cubaan menyekat kebebasan akhbar menyebabkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media menjunam daripada 73 kepada 107.

Laporan tahunan yang disediakan pemantau media global Reporters Without Borders (RSF) itu bagaimanapun ditolak oleh Anwar, yang mendakwa sekatan dibuat bagi mempertahankan institusi diraja dan melawan ucapan berbaur perkauman.

Pada Jun tahun lalu, MalaysiaNow disekat selama 48 jam tanpa sebarang notis, mengundang kecaman pelbagai pihak.

Sekatan juga dibuat ke atas portal TV Pertiwi dan Utusan TV.