- Iklan -
Berita

Loke wakili kerajaan raikan kemerdekaan AS di sebalik protes bantah bantuan senjata kepada Israel

Protes senyap yang diadakan di luar hotel ketika acara berlangsung membantah bantuan senjata berterusan Washington kepada Israel.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Kiri: Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar AS Edgard D Kagan melakukan aksi 'fistbump', dan menyertai tradisi bersulang. Kanan: Penunjuk perasaan menutup mulut sambil menunjukkan sepanduk mengutuk sokongan AS kepada Israel di luar hotel Mandarin Oriental di Kuala Lumpur.
Kiri: Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Duta Besar AS Edgard D Kagan melakukan aksi 'fistbump', dan menyertai tradisi bersulang. Kanan: Penunjuk perasaan menutup mulut sambil menunjukkan sepanduk mengutuk sokongan AS kepada Israel di luar hotel Mandarin Oriental di Kuala Lumpur.

Sambutan ulang tahun ke-248 Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat diadakan Isnin lepas di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dan turut menyaksikan sebuah protes senyap di luar bangunan di mana peserta membawa sepanduk mengutuk bantuan ketenteraan Washington kepada Israel dalam kempen pengeboman yang masih berterusan di Gaza.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, sambutan yang dianjurkan Kedutaan AS kali ini diselubungi sentimen anti-Amerika yang membuak di Malaysia, berserta gesaan memboikot acara tersebut sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin.

Dua lelaki berpakaian sut mengheret seorang penunjuk perasaan dari lobi hotel Mandarin Oriental. Gambar: Instagram
Dua lelaki berpakaian sut mengheret seorang penunjuk perasaan dari lobi hotel Mandarin Oriental. Gambar: Instagram

Kekecohan berlaku seketika apabila dua lelaki berpakaian sut mengheret keluar seorang penunjuk perasaan yang menjerit slogan mengutuk bantuan kententeran AS kepada Israel.

Dua minggu sebelum acara itu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin merayu kerajaan Malaysia supaya tidak menghantar wakil ke acara tahun ini.

"Saya minta kerajaan kali ini jangan hantar menteri. Ini bukan kita putuskan hubungan diplomatik, ini tidak sekeras itu. Saya cuma kata, kita nak hantar isyarat, jangan hantar menteri," katanya dalam podcast Keluar Sekejap.

"Tolong jangan pergi sebagai tanda protes terhadap kerajaan AS yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai."

Walaupun ramai pemimpin pertubuhan sivil yang biasa dijemput ke sambutan kemerdekaan AS tidak kelihatan kali ini, beberapa wakil NGO tetap hadir.

Sebahagian tetamu yang menghadiri majlis Hari Kemerdekaan AS dianjurkan Kedutaan AS di Kuala Lumpur. Gambar: Facebook
Sebahagian tetamu yang menghadiri majlis Hari Kemerdekaan AS dianjurkan Kedutaan AS di Kuala Lumpur. Gambar: Facebook

Mereka termasuk antara lain Karen Wong dari Persatuan Usahawan & Profesional Wanita Sabah, dan Cynthia Gabriel, pengasas Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme, atau C4.

Di sebalik rayuan kepada Putrajaya untuk tidak menyertai acara itu, kerajaan Malaysia diwakili Menteri Pengangkutan dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, yang menyertai Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan dalam tradisi bersulang minuman.

Gambar acara itu di media sosial dibalas dengan pelbagai kutukan dan sindiran terhadap kerajaan AS.

Di laman Instagramnya, Kedutaan AS menulis: "Nilai dan kepercayaan bersama kami dalam kepelbagaian, demokrasi, tadbir urus baik, dan ketelusan menjadi asas kepada persahabatan kami termasuk hubungan pelaburan, budaya, digital dan perdagangan yang mengembangkan Perkongsian Komprehensif AS-Malaysia."

Ia bagaimanapun disambut dengan komen merujuk kepada serangan tentera Israel ke atas Gaza yang setakat ini membunuh sekurang-kurangnya 35,000 orang awam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

"Amboi, sambut Hari Kemerdekaan dengan pembunuhan beramai-ramai ya?" kata seorang pengguna Instagram.

"Betulkah AS merdeka? Ingatkan Israel masih menjajah anda," tulis Farihah Fahmy.

Pengguna lain membalas dengan pelbagai slogan dalam bentuk hashtag:#removeusembassy; #stopgenocide; #usagenocide; #unitedstatesofisrael; #stopusa; #savetheworld; #freepalestine; #freehumanity; dan #usaisworldcriminal.

Loke juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran kutukan kerana menghadiri majlis itu.

"Bebaskan Palestin. Malulah @lokesiewfook," kata Amirul Rahman Zamri.

Sekurang-kurangnya seorang pengguna tampil membela Loke: "Dia cuma kambing hitam yang kena paksa dengan boss pergi majlis orang yang semua orang tak suka."

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalu-alukan Duta Besar AS Edgard D Kagan di pejabatnya, sehari selepas acara Hari Kemerdekaan yang diselubungi protes.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalu-alukan Duta Besar AS Edgard D Kagan di pejabatnya, sehari selepas acara Hari Kemerdekaan yang diselubungi protes.

Di Facebook, Naim Xibalba menulis: "Bagaimana boleh terima hubungan kukuh Malaysia dan kerajaan AS, yang secara langsung menyokong rejim Israel yang menindas rakyat Palestin?

"Bukankah tanggungjawab moral kita terhadap hak asasi manusia mengatasi kemesraan diplomatik?"

Kritikan terhadap Washington itu diteruskan di media sosial Anwar Ibrahim, yang memuat naik gambar perdana menteri mengalu-alukan duta AS Kagan ke Pejabat Perdana Menteri sehari selepas acara itu.