Sektor padi negara terus berdepan nasib malang dengan kenaikan mendadak harga diesel selepas subsidi pukal bahan api itu ditarik oleh kerajaan 10 Jun lepas, memberi kesan kepada lebih 260,000 pesawah padi, sebahagian besarnya di Semenanjung Malaysia.
Ia berlaku walaupun Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata petani dan pesawah tidak akan terjejas dengan penarikan subsidi pukal untuk diesel.
Malah kementeriannya mendakwa lebih 30,000 pemohon individu, petani dan pekebun kecil komoditi diluluskan untuk menerima bantuan di bawah Budi Madani, program diperkenalkan kerajaan bagi membayar gantirugi subsidi kepada penerima yang layak.
Bagaimanapun, sebuah pertubuhan pesawah berpengkalan di Kedah mempersoalkan dakwaan itu.
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), badan yang memperjuangkan dasar lebih baik bagi memajukan industri padi negara, berkata tinjauannya mendapati tiada siapa pesawah padi yang menerima bantuan tersebut.
Pesawah berkata syarat-syarat permohonan program subsidi melibatkan pesawah tidak cekap.
"Bagi bantuan individu, syarat kenderaan perlulah berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Mana ada traktor yang berdaftar dengan JPJ?
"Kedua, pesawah juga perlu berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Mana ada pesawah yang berdaftar?" soal jurucakap Pesawah, Abdul Rashid Yob.
Tambahnya, di bawah program Budi Agro Komuniti pula, pemohon perlu mempunyai pendapatan tahunan antara RM50,000 ke RM300,000 untuk layak memohon.
"Kalau pendapatan pesawah kecil, macam mana hendak layak?"
Rashid berkata langkah terbaru kerajaan menarik balik keseluruhan subsidi pukal diesel sehingga harga melonjak kepada RM3.35 seliter telah mematikan motivasi pesawah, yang sudah pun berdepan dengan masalah kartel dan benih padi berkualiti.
Menurutnya, walaupun dengan bantuan subsidi, sektor padi bakal berdepan kenaikan kos pengeluaran, dan ia akan membantutkan hasrat meningkatkan kadar sara diri (SSL) komoditi itu.
Malaysia mempunyai tahap padi sekitar 70% daripada jumlah penggunaan, dan selebihnya diimport.
"Proses memohon bantuan masih terumbang-ambing, dan pesawah juga keliru dengan syarat serta mekanisme bantuan," kata Rashid kepada MalaysiaNow.
Menurutnya, kadar bantuan juga tidak mencukupi.
"Walaupun bantuan pembajakan dinaikkan, ia tidak membantu kerana kami menghadapi kenaikan 50% ke 70% kos pengeluaran membabitkan logistik dan alat ganti."
Petani diberikan insentif pembajakan sebanyak RM160 untuk setiap hektar padi.
Tetapi Rashid berkata mereka memerlukan sekurang-kurangnya RM450 untuk jumlah pengeluaran yang sama.
Selepas lonjakan harga diesel, sekurang-kurangnya RM5,000 ke RM5,700 diperlukan untuk mengusahakan satu hektar padi berbanding RM4,000 ke RM4,500 sebelum ini.
Program Budi Agro Komuniti, Budi Madani dan fleet card diperkenal kerajaan seiring dengan kenaikan diesel, bagi memberikan gantirugi subsidi kepada mereka yang layak.
Tinjauan MalaysiaNow mendapati rata-rata pesawah dan golongan yang terlibat dalam sektor padi mengatakan mereka kini berdepan kerugian.
Pemilik mesin jentuai, Shahrul Mat dari Seberang Perak berkata, caj penggunaan mesin terpaksa dinaikkan kepada RM80 untuk satu tan padi berbanding RM50 sebelum ini.
"Pada asalnya kami (pemilik mesin) ingin menaikkan sebanyak RM30, tetapi selepas mesyuarat dengan pemilik bendang dan pesawah, mereka sanggup membayar antara RM20 ke RM25 kenaikan," katanya.
Shahrul berkata pemilik mesin tuai tidak mendapat sebarang subsidi diesel.
Sebelum ini, purata penggunaan diesel sehari untuk operasi beberapa jentera itu ialah RM2,500 sehari untuk 700 liter diesel. Kini, kosnya meningkat kepada lebih RM3,000.
Katanya, modal untuk minyak dan operasi perlu dikeluarkan dahulu oleh pemilik jentera sebelum mendapat bayaran.
"Selepas sebulan baru kami dibayar. Bagi saya, saya perlu siap-siap menyediakan modal lebih RM50,000 untuk pengoperasian jentera," katanya.
Manakala pengusaha jentera traktor, Norazli Ayub dari Tanjung Karang, Selangor berkata, pekebun kecil dijangka lebih terkesan dengan kenaikan harga diesel berbanding pesawah.
Katanya dia mengenakan harga tinggi kerana pesawah mendapat insentif pembajakan untuk khidmat pembajakan yang disediakannya.
"Pekebun kecil seperti kelapa sawit dan getah yang mungkin terkesan kerana tiada insentif diberikan setakat ini," katanya.