Seorang wanita memilih untuk mengutus surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai nasib yang menimpanya sebagai orang tiada kerakyatan, mengharapkan ia sekurang-kurangnya akan membuka pintu pihak berkuasa yang menafikannya hak kerakyatan sepanjang kehidupannya.
Surat itu bersempena dengan tarikh Hari Arafah yang jatuh pada 16 Jun, hari di mana umat Islam percaya doa mereka akan dimakbulkan.
Fatimah berkata dia mengambil keputusan menulis surat itu sebagai jalan terakhir dengan mengharapkan Anwar akan mempunyai rasa empati memandangkan beliau sendiri pernah berjuang selama berdekad "mencari keadilan".
"Saya mencuba sehabis baik mengawal mental sendiri untuk siapkan warkah ini demi mengambil keberkatan di Hari Arafah.
"Warkah ini akan jadi jalan terakhir untuk diluahkan pada umum walaupun saya tak tahu kesannya baik atau tidak kepada diri saya sendiri.
"Jika saya mati nanti saya dah puas saya mencuba untuk menulis warkah buat PMX yang saya percaya, beliau amat memahami maksud perjuangan untuk mencari keadilan," tulisnya.
Katanya, dia tidak ada kepentingan politik, dan hanya mengharapkan penyelesaian untuk status tanpa kerakyatan yang dihadapinya sejak lahir menyebabkan dia dinafikan pelbagai hak.
"Saya bukan pendatang haram. Saya bukan warga asing. Saya hanya individu yang dilahirkan di Malaysia tetapi ditakdirkan berdepan dengan masalah status yang mana perjalanannya ditendang dari satu pihak ke satu pihak yang lain dan akhirnya tidak mendapat sebarang penyelesaian. Terlalu banyak usaha yang dilakukan selama berdekad
lamanya ini."
Dia memulakan surat itu dengan mengenang kembali perjalanannya ke ke Jabatan Pendaftaran Negara di Petaling Jaya menaiki motorsikal ayahnya.
"Dokumen di tangan ada yang kena tempias hujan walaupun diletakkan dalam fail. Baju dan tudung saya yang basah ketika itu tidak menghalang kami meneruskan perjalanan kami.
"Saya masih ingat dengan jelas keterujaan saya pada hari itu kerana kami diarahkan untuk berjumpa pegawai kerana diberitahu saya perlu menukar kad pengenalan yang dipegang ketika itu," tulisnya dalam surat yang dilihat MalaysiaNow.
Katanya, dia dan ayahnya yakin permohonan itu akan diluluskan.
"Ternyata sangkaan kami silap. Dengan hanya kurang dari sejam, kad pengenalan MyPR saya diambil dan saya diberikan kad pengenalan MyKas," tulisnya dalam surat tersebut.
Pengalaman Fatimah dilaporkan sebelum ini oleh MalaysiaNow.
Dia membuat permohonan pertama pada 2002 di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan, kemudian pada 2017 di bawah Perkara 19.
Pada 2018, Fatimah pernah dipanggil ke sesi temuduga. Empat tahun kemudian, dia dimaklumkan gagal dalam permohonannya.
Semuanya kerana Fatimah dilahirkan sehari sebelum ibunya menjadi warganegara.
Kedua-dua ibu bapanya dan semua adik-beradiknya sudah pun menjadi warganegara Malaysia.
Dari umur 12 sampai 21, dia bergantung kepada kad pengenalan Pemaustatin Tetap berwarna merah.
Selepas itu, dia memegang kad pengenalan MyKas berwarna hijau selama 15 tahun sehingga tamat tempoh pada 2019.
Permohonannya untuk memperbaharui MyKas ditolak sebanyak tiga kali, kali terakhir pada 2020.
Dalam warkah itu, Fatimah berkata dirinya tidak lagi mampu menahan tekanan perasaan dan kesihatan mentalnya makin teruji selama berurusan dengan pelbagai pihak terutamanya JPN.
Selain "ditendang" untuk ke jabatan yang tidak pasti, Fatimah sering dimarahi pegawai bertugas hanya kerana bertanyakan status permohonannya.
Selepas artikel mengenai Fatimah disiarkan pada April lalu, seorang pegawai JPN menghubungi MalaysiaNow meminta maklumat peribadinya.
Sehingga kini, Fatimah berkata tiada berita dari pegawai JPN meskipun ditanya berkali-kali mengenai perkembangan permohonannya.
Fatimah yang berputus harapan merayu MalaysiaNow untuk tidak lagi melayan pertanyaan JPN mengenai dirinya.
"Jika ada individu yang hubungi lagi meminta maklumat saya, tolong jangan bagi.
"Saya tak ingin lagi dilayan seperti tidak mempunyai harga diri," katanya kepada MalaysiaNow.
Fatimah memberitahu Anwar, dia sudah memberikan segala dokumen lengkap yang diminta selama ini dalam permohonannya.
"Namun saya tetap juga menerima ‘false alert’ dan ‘false hope’ dari pelbagai pihak bukan sahaja dari pegawai-pegawai yang menguruskan isu saya."
Katanya, ramai ahli politik juga cuba mendampinginya dengan niat menunjukkan mereka "memperjuangkan keadilan rakyat".
"Saya pernah dijanjikan oleh seseorang yang pada mulanya dulu tidak mempunyai kuasa dalam kerajaan untuk membantu namun setelah mendapat mandat janji tu bagai tidak pernah wujud lagi.
"Bukan hanya (dari) satu parti. Malah setiap parti yang ada. Saya faham ianya tidak perlu dipertikaikan andai ianya hanya mainan dibibir semasa berkempen."