- Iklan -
Berita

Klip bekas pemimpin Umno patahkan hujah Rafizi tular ketika kemarahan memuncak harga diesel melonjak

Isham Jalil berkata alasan dikemukakan kerajaan bukan sahaja tidak berdasarkan fakta tetapi juga tak masuk akal.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Beberapa klip menunjukkan Isham Jalil mematahkan pelbagai hujah Rafizi Ramli mempertahankan penarikan subsidi pukal diesel mulai viral di media sosial.
Beberapa klip menunjukkan Isham Jalil mematahkan pelbagai hujah Rafizi Ramli mempertahankan penarikan subsidi pukal diesel mulai viral di media sosial.

Seorang bekas pegawai Najib Razak mematahkan hujah dan alasan diberikan Rafizi Ramli untuk mempertahankan langkah menghapuskan subsidi pukal diesel, sambil menjelaskan bagaimana beberapa dakwaan menteri ekonomi itu bukan sahaja tidak menepati perkiraan, malah tidak masuk akal.

Isham Jalil, bekas ketua penerangan Umno yang dipecat parti itu lepas, juga menepis dakwaan Rafizi yang harga minyak mentah berada pada paras terendah pada 2008, iaitu ketika PKR melancarkan kempen menurunkan harga minyak ekoran rancangan kerajaan Barisan Nasional ketika itu untuk merasionalisasi subsidi bahan api.

Sebaliknya, Isham, yang merupakan sebahagian daripada Unit Perancang Ekonomi di bawah Najib dan ditugaskan mengurus pelan rasionalisasi bahan api, berkata harga minyak mentah adalah antara yang tertinggi pada tahun itu.

"Maksudnya tanggungan kerajaan untuk subsidi pada tahun 2008 adalah lebih tinggi. Bukan sekarang ni," kata Isham dalam sebuah wawancara dengan TV Pertiwi.

Pelbagai versi klip wawancara itu menjadi tular di media sosial, ketika rakyat Malaysia semakin lantang mempersoalkan hujah kerajaan untuk menghapuskan subsidi diesel di stesen minyak seluruh Semenanjung.

Isham mengulas respons Rafizi terhadap seorang individu yang bertanyakan pemimpin PKR itu ketika berucap di Pulau Pinang baru-baru ini.

Lelaki itu bertanya kepada Rafizi mengapa kerajaan Pakatan Harapan gagal menunaikan janji pilihan raya untuk menurunkan harga minyak.

Dalam nada marah, Rafizi menjawab kerajaan pada masa lalu hanya perlu membelanjakan sedikit untuk subsidi minyak, sambil berkata ia cuma sekitar RM3 bilion daripada bajet RM200 bilion bagi menetapkan harga petrol pada RM1.90 seliter.

Rafizi berkata kempen beliau sebelum ini ketika dalam blok pembangkang untuk menurunkan harga minyak adalah kerana kerajaan ketika itu masih mampu meneruskan subsidi.

Sebaliknya, Rafizi mendakwa kerajaan pada masa ini terpaksa membelanjakan RM80 bilion setahun untuk subsidi minyak.

Isham bagaimanapun berkata, harga minyak mentah semasa adalah AS$125 setong, iaitu lebih tinggi berbanding pada 2008 iaitu AS$80.

Pada 10 Jun, harga diesel di Semenanjung Malaysia naik mendadak kepada RM3.35 seliter daripada RM2.15, susulan keputusan menghapuskan subsidi pukal untuk bahan api tersebut.

Susulan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berulang kali mempertahankan keputusan itu, dengan berkata pemberian subsidi menjejaskan ekonomi dan tidak menguntungkan Malaysia. 

Beliau turut mendakwa ketirisan berlaku dalam bentuk subsidi yang mengalir ke negara jiran melalui penyeludupan, di samping subsidi menguntungkan golongan "maha kaya" dan warga asing yang tidak membayar cukai.

Perkiraan tak kena

Isham berkata, dakwaan mengenai penyeludupan dan warga asing adalah tidak benar.

Beliau memetik angka Putrajaya bahawa sehingga RM8 bilion - atau kira-kira separuh daripada subsidi diesel tahunan - tercicir disebabkan penyeludupan melalui darat dan laut.

Isham berkata sekiranya benar, ia bermakna 600 juta liter diesel diseludup setiap bulan.

"600 juta liter bahagi 30 (hari), 20 juta liter diesel setiap hari diseludup melalui sempadan.

"Kalau benda ini betul berlaku, 40,000 lori tangki beratur dekat sempadan setiap hari, bawa 500 liter (setiap satu)," kata Isham.

Beliau berkata walaupun dengan kapasiti dua kali ganda, ia masih memerlukan 20,000 lori tangki.

Isham kemudian memberikan andaian setiap lori tangki boleh mengangkut kapasiti jauh lebih banyak, iaitu 20,000 liter.

"Maksudnya, 1,000 lori tangki tiap-tiap hari beratur dekat sempadan tu nak keluar.

"Kalau ada seribu lori tangki beratur di sempadan, maksudnya setiap minit kita lepaskan satu lori. Masuk akalkah?"

"Angka ini tak masuk akal. Mana dia dapat benda ini?" tanya Isham sambil menambah dakwaan Rafizi itu bermaksud polis, kastam dan imigresen langsung tidak menjalankan tugas.

'Kamu tahu ke apa kamu cakap ni?'

Isham turut mencabar Rafizi mengenai dakwaan bahawa penyeludupan diesel juga berlaku di tengah laut.

Katanya, menteri itu cuba menuduh nelayan menjual diesel bersubsidi secara haram kepada kapal asing.

"Rafizi, kamu tahu ke apa kamu cakap ni?" soalnya lagi, merujuk kepada dakwaan menteri bahawa "perahu" nelayan digunakan untuk menyeludup minyak.

"Tak payah ambil 20 juta (liter), ambil 10 juta liter lah," kata Isham, memberikan andaian separuh daripada diesel diseludup berlaku di tengah laut.

"Kamu tahu tak, Rafizi, berapa puluh ribu bot perahu nelayan ini diperlukan untuk pergi ke tengah laut? Takkan APMM dan tentera laut tak nampak?" katanya, merujuk kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Isham berkata Rafizi mungkin menyedari angkanya tidak masuk akal, menyebabkan menteri itu mendakwa penyeludupan dan ketirisan berlaku dalam negara dengan cara diesel bersubsidi dibeli di stesen minyak sebelum dijual secara haram kepada industri.

Berdasarkan dakwaan kerajaan bahawa kira-kira RM7 bilion hingga RM8 bilion subsidi hilang, Isham berkata ia bermakna 70% hingga 80% diesel yang dibeli pengguna di pam minyak telah dijual secara haram kepada industri.

"Stesen minyak di Malaysia ada lebih kurang 4,000. Kalau tengok, 7 daripada 10 stesen tu (terlibat) kecurian!"

Beliau turut mengingatkan Rafizi, tindakan itu tidak boleh dipanggil "penyeludupan" kerana ia berlaku di dalam negara. 

"Penyeludupan kena rentas sempadan".

Isham seterusnya mematahkan hujah Rafizi bahawa diesel bersubsidi dijual secara haram kepada sektor industri.

Menurutnya, ini kerana sektor industri menggunakan varian diesel yang lebih murah.

"Kita boleh bezakan diesel industri dengan diesel automotif. Kadang-kadang Petronas ataupun kerajaan taruh tinting untuk penguatkuasaan, dia tahu kalau orang tu jual ni, ni daripada pump, ni dari warna lain.

"Bukan senang orang nak curi-curi macam ni."

Tambah Isham: "Saya rasa sebab angka-angka bila dia dah terkantoi pasal penyeludupan, dia kata orang kita pergi curi diesel, jual industri pula."

Dalam satu klip berasingan yang turut tular, Isham mempersoalkan dakwaan Anwar bahawa subsidi diesel telah menguntungkan warga asing dan golongan "maha kaya".

“Saya nak tanya, pendatang asing mana yang bawa kereta atau motor diesel ini? Kebanyakan pendatang asing, lesen memandu pun takda. Dia tak bawa kereta atau motor, kalau ada pun secara haram.

"Isunya ialah, mereka tak ramai. Orang-orang kaya pun, berapa ramai yang pakai kereta mewah diesel? Kebanyakannya kereta mewah seperti Porsche, BMW dan Mercedes tu, kebanyakannya pakai petrol, bukan diesel."