- Iklan -
Berita

Ada udang di sebalik batu, Dr Mahathir ulas penjualan saham MAHB kepada firma 'pro Israel'

Bekas perdana menteri berkata tidak faham mengapa Malaysia Airports yang mencatatkan keuntungan menjual sahamnya kepada syarikat asing.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Syarikat BlackRock menjadi sasaran protes disebabkan pelbagai pelaburannya, daripada sektor bahan api kepada sektor pembuatan senjata yang menjadikannya terlibat dalam jenayah perang. Gambar: CodePink
Syarikat BlackRock menjadi sasaran protes disebabkan pelbagai pelaburannya, daripada sektor bahan api kepada sektor pembuatan senjata yang menjadikannya terlibat dalam jenayah perang. Gambar: CodePink

Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan penjualan saham Malaysia Airports Berhad (MAHB) kepada sebuah syarikat milik pengurus dana kontroversi BlackRock, sambil berkata beliau tidak faham mengapa sebuah syarikat yang telah mencatatkan keuntungan setengah bilion ringgit perlu berbuat demikian.

"Tak banyak syarikat yang dapat untung seperti ini. Kenapa nak jual 30% kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel?" kata bekas perdana menteri itu, menguatkan lagi tekanan ke atas kerajaan Anwar Ibrahim yang tetap mahu meneruskan perjanjian itu di sebalik bantahan semakin meningkat daripada kumpulan pro-Palestin.

"Saya tak faham. Mungkin ada udang di sebalik batu?" kata Mahathir.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kenyataan beliau adalah yang terbaru dalam siri kritikan dan kecaman terhadap keputusan Putrajaya membenarkan Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik BlackRock, memegang 30% saham dalam sebuah konsortium menguruskan MAHB, bersama-sama dana kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah Kementerian Kewangan yang diterajui Anwar.

BlackRock antara lain terlibat dalam memperkasakan jentera perang Israel, dan ibu pejabatnya di New York menjadi sasaran penunjuk perasaan pro-Palestin yang menuduh syarikat itu mengaut keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai.

Antara syarikat yang dilabur BlackRock termasuk McDonald's dan Starbucks, dua syarikat yang menerima tempias kempen global memboikot kepentingan Barat yang didakwa bersekongkol dengan regim Zionis.

BlackRock turut memegang kepentingan 7.4% dalam Lockheed Martin, syarikat pembuat senjata yang turut berdepan tuduhan bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai.

Pada Februari, MAHB melaporkan keuntungan bersih RM543.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023. 

Ia merupakan lonjakan besar daripada tahun sebelumnya, apabila syarikat itu memperoleh keuntungan sebanyak RM187.2 juta, selain lebih tinggi daripada keuntungan yang diperolehnya pada 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19 melumpuhkan sektor penerbangan.

“Kami berusaha menyampaikan nilai kepada pemegang kepentingan kami pada tahun lalu. Di tengah-tengah operasi yang bertambah baik, kami berjaya menunjukkan prestasi kewangan yang lebih baik, dan mencapai kemajuan yang baik dalam program pemodenan lapangan terbang, pendigitalan dan rejuvenasi komersil," kata pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Mohamed Rastam Shahrom.

Anwar setakat ini menolak bantahan mengenai penglibatan GIP, sebaliknya menuduh pembangkang "menghasut" terhadap kerajaan.

Isu BlackRock dilihat antara cabaran utama Anwar sejak dilantik sebagai perdana menteri, di sebalik tuduhan beliau lebih mesra dengan Amerika Syarikat dan Israel berdasarkan kenyataan lampau, termasuk wawancaranya dengan Wall Street Journal pada 2012 yang memetiknya sebagai berkata akan "menyokong usaha mempertahankan keselamatan Israel".

Tokoh akademik yang pakar mengenai konflik Palestin, Azzam Tamimi, baru-baru ini melahirkan rasa terkejut dengan rancangan membawa masuk BlackRock.

"Pengorbanan paling kecil yang boleh dilakukan Malaysia untuk Palestin ialah memboikot syarikat, firma, atau institusi yang membantu Israel dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin. Jika gagal berbuat demikian, bagaimana seseorang boleh mengaku penyokong (Palestin)? Penyokong yang macam mana?" katanya dalam program dialog dengan BDS Malaysia bulan lalu.

Sementara itu, aktivis pro-Palestin tempatan mengumpulkan pemimpin masyarakat sivil, pempengaruh media sosial, ahli politik dan NGO mewakili pelbagai aliran dalam sebuah forum membantah rancangan melibatkan BlackRock.

Forum "Tolak BlackRock" malam ini akan menampilkan bekas menteri kesihatan yang kini personaliti podcast Khairy Jamaluddin, bekas menteri besar Kedah Mukhriz Mahathir, bekas menteri luar Saifuddin Abdullah, presiden cawangan tempatan pertubuhan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Nazari Ismail, dan presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Azmi Abdul Hamid.