- Iklan -
Berita

Semakin ramai pelajar gagal Matematik, persoalan timbul mengenai masa depan Malaysia dalam teknologi

Ketiadaan peperiksaan, kekurangan motivasi di samping silibus yang tidak bersesuaian menyumbang kepada keciciran dalam subjek Matematik.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Asas matematik penting sebagai subjek melatih pemikiran logik dan bukan sahaja tertumpu kepada bidang sains dan perubatan, kata pakar yang bimbang kadar keciciran dalam mata pelajaran itu.
Asas matematik penting sebagai subjek melatih pemikiran logik dan bukan sahaja tertumpu kepada bidang sains dan perubatan, kata pakar yang bimbang kadar keciciran dalam mata pelajaran itu.

Pakar-pakar memberi amaran hasrat Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju dalam teknologi mungkin terhalang dengan keciciran pelajar dalam matematik, seperti yang didedahkan oleh keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang dikeluarkan bulan lalu.

Ia menyaksikan 85,000, atau kira-kira 23%, pelajar gagal dalam subjek Matematik, hampir menyamai jumlah SPM 2022 yang mana 90,000 gagal. 

Menurut Kementerian Pendidikan, subjek Matematik kekal mencatatkan bilangan pelajar gagal tertinggi.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan pelajar dalam pasaran kerja. 

Ini kerana pelajar yang mahu menyambung pengajian dalam bidang sains di peringkat universiti perlu mencatatkan sekurang-kurangnya gred C atau "kepujian".

Menurut kajian berjudul Kajian Nasional mengenai Modal Insan yang dilaksanakan pada tahun 2012, Malaysia memerlukan lapan juta pekerja di dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, atau STEM, menjelang 2050.

Presiden Persatuan Sains Teknologi dan Inovasi, Yunus Yasin berkata, asas matematik dan sains diperlukan dalam hampir semua bidang terutama dalam bidang komputer, pengekodan, data dan kecerdasan buatan (AI).

"Orang menganggap matematik sebagai satu subjek. Tetapi sebenarnya matematik ialah satu cara fikir yang logik," katanya.

Menurut Yunus, kerajaan perlu menggembleng sumber untuk membalikkan trend keciciran matematik dalam kalangan pelajar. 

Katanya, situasi sekarang sudah pun memperlihatkan kekurangan pekerja mahir tempatan apabila syarikat luar negara lebih gemar menggajikan orang luar.

Yunus memberi contoh operasi syarikat teknologi Intel di Pulau Pinang yang menggajikan jurutera Filipina kerana kekurangan tenaga kerja tempatan.

"Permintaan untuk pekerja mahir ini tinggi dan syarikat sanggup membayar dengan lumayan, jadi kita perlu merancang sekarang.

"Sekurang-kurangnya tiga ke empat tahun diperlukan untuk trend keciciran ini dibalikkan semula," katanya.

Pakar pendidikan, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata kebimbangan mengenai subjek Matematik tidak terhad kepada mereka yang gagal, malah yang mendapat gred D and E yang mana jumlah mereka adalah seramai 190,000 keseluruhannya.

"Mereka tidak menguasai asas matematik dengan baik. Contohnya, ramai pelajar sekolah rendah yang masih lemah sifir. Apabila mereka naik ke Tingkatan Satu, mereka tiada motivasi untuk belajar matematik kerana lemah asas," katanya kepada MalaysiaNow.

SPM_20230608_mnowSeramai 373,255 calon menduduki SPM tahun lalu. Daripada jumlah itu, 11,713 pelajar mendapat keputusan cemerlang gred A untuk semua mata pelajaran. 

Seramai 119,393 pelajar, atau 32%, gagal sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Subjek Sejarah dan Sains masing-masing mecatatkan kira-kira 20,000 pelajar gagal, manakala 40,000 pelajar gagal Bahasa Inggeris. 

Subjek Bahasa Melayu mencatatkan angka kegagalan paling rendah iaitu 9,306.

Prof Madya Othman Talib dari Universiti UCSI berkata silibus yang diajar tidak mengikut kesesuaian murid, selain ada topik-topik yang didedahkan terlalu awal. 

Dia turut bersetuju dengan faktor ketiadaan motivasi dalam kalangan pelajar.

"Ini menyebabkan murid-murid yang belum lagi menguasai 3M mula tercicir. Selain itu, pendekatan berasaskan hanya satu buku teks, menjadikan pendekatannya statik," katanya.

"Ia memberikan tekanan awal sehingga mula melunturkan minat murid dalam matematik."

Othman berkata silibus kebangsaan yang mempunyai terlalu banyak matapelajaran menjadikan masa pembelajaran tidak mencukupi untuk latihan dan aktiviti matematik khusus untuk murid-murid yang tiada asas kukuh. 

Menurutnya, keciciran berterusan mengakibatkan sikap negatif terhadap mata pelajaran berkenaan.

Presiden Kongres Kesatuan Akademik, Prof Ahmad Ismail berkata punca kadar keciciran Matematik perlu dikaji dari sudut pengajaran dan pembelajaran (PdP), kaedah penilaian dan soalan peperiksaan.

"PdP Matematik perlu dilihat sejak Tingkatan Satu untuk membangunkan minat dan pengetahuan dalam Matematik. 

"Pelajar mungkin tidak minat Matematik kerana tidak nampak keperluan, di samping kaedah pengajaran, silibus, dan pemantauan dalam pengajaran," katanya.

Jelas Ahmad, pelajar Malaysia umumnya masih meminati bidang STEM tetapi menganggap ia hanya untuk kerjaya tertentu seperti perubatan dan kejuruteraan, sedangkan menurutnya matematik lebih daripada itu.

"Dalam perkembangan teknologi digital sekarang, matematik sangat perlu. Pelajar mesti diberikan pendedahan keperluan matapelajaran matematik dalam kehidupan dan kerjaya, melihat semula silibus dan pendekatan PdP," tambahnya.

Anuar pula berkata, pemansuhan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mengakibatkan negara tidak mempunyai "sistem penapis" untuk memantau tahap penguasaan murid-murid sebelum melangkah masuk ke Tingkatan Satu atau Tingkatan Empat.

UPSR dimansuhkan pada tahun 2021 manakala PT3 dimansuh tahun berikutnya.

"Dengan peperiksaan itu, jika ada murid yang lemah Matematik, mudah untuk ibu bapa dan guru membuat pemulihan. Sekarang kita berharap pada Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang mana ia tidak dapat dilaksanakan dengan baik," kata Anuar.

"Bagaimana guru hendak melaksanakan PBD kalau ada 45 orang murid dalam satu kelas?"