- Iklan -
Berita

Anwar tolak bantahan, pertahan rancangan jual saham kepada syarikat milik firma 'terpalit genosid' BlackRock

Perdana menteri berkata beliau sentiasa memperjuangkan isu Palestin sambil menyebut nama beberapa pemimpin dunia yang dihubunginya baru-baru ini.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan keputusannya membenarkan sebuah syarikat milik pengurus dana kontroversi AS BlackRock untuk membeli saham dalam konsortium menguruskan lapangan terbang Malaysia, sambil menuduh pengkritiknya cuba meraih markah politik.

Anwar juga tidak menjawab secara langsung kritikan utama mengenai perjanjian konsortium itu, iaitu peranan BlackRock dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin menerusi hubungan rapat ekonomi dan ketenteraan dengan Israel.

Sebaliknya, Anwar berkata kerajaan tidak boleh memutuskan hubungan dengan mana-mana syarikat yang mempunyai urusan dengan Israel.

"Bagaimana dengan syarikat yang ada operasi di US, Jerman, China tapi ada kaitan dengan Israel? 

"Tak ada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkan kerana akan menjejaskan ekonomi negara," Anwar memberitahu wartawan ketika ditanya mengenai bantahan yang semakin meningkat terhadap rancangan menjual saham Malaysia Airports Holdings (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik BlackRock.

BlackRock antara lain terlibat dalam memperkasakan jentera perang Israel, dan ibu pejabatnya di New York menjadi sasaran penunjuk perasaan pro-Palestin yang menuduh syarikat itu mengaut keuntungan daripada pembunuhan beramai-ramai.

Semalam, bekas menteri Khairy Jamaluddin memberi amaran kepada Anwar bahawa beliau akan dianggap bersubahat dengan Israel dalam pembunuhan di Gaza sekiranya enggan membatalkan rancangan membawa masuk GIP.

Khairy menyifatkan pelan itu bukan sahaja tidak boleh diterima dari segi moral, tetapi juga tidak menguntungkan Malaysia dari segi komersial.

Menurutnya, semua lapangan terbang utama di rantau ini diuruskan oleh syarikat tempatan dan bukan entiti asing.

"Di Singapura, Changi dikendalikan Singapura. Thailand dan Indonesia pun sama juga. Jadi ujian litmus untuk keperluan pun gagal," katanya di sebuah forum membantah perjanjian dengan syarikat milik BlackRock itu.

Sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul di lobi ibu pejabat BlackRock di New York untuk membantah penglibatan syarikat itu memperkasakan jentera perang Israel.
Sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul di lobi ibu pejabat BlackRock di New York untuk membantah penglibatan syarikat itu memperkasakan jentera perang Israel.

Di bawah perjanjian itu, GIP akan membeli 30% kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan diterajui Anwar.

Menjawab pertanyaan wartawan hari ini, Anwar berkata beliau tegas dalam mengetengahkan isu Palestin, sambil menyebut nama beberapa pemimpin dunia.

"Dua hari lalu saya bercakap dengan Presiden (Turki, Recep Tayyip) Erdogan soal Gaza. Sebelum itu PM Pakistan soal Gaza. Dengan premier China semalam, saya masih tekankan soal Gaza," katanya.

Pembelaan Anwar terhadap GIP sama dengan pendiriannya apabila kumpulan pro-Palestin membantah kehadiran syarikat pertahanan yang mempunyai hubungan rapat dengan Israel di pameran pertahanan di Kuala Lumpur awal bulan lalu.

Anwar ketika itu berkata tidak menjadi masalah untuk mereka beroperasi di Malaysia selagi syarikat itu tidak didaftarkan di Israel.

Hujah Anwar itu mengundang persoalan sama ada Malaysia akan membenarkan mana-mana syarikat terlibat membantu Israel selagi ia tidak didaftarkan di Israel.

Ini kerana syarikat Lockheed Martin, walaupun berpengkalan di AS, jelas menyatakan penglibatannya memperkasakan sistem pertahanan Israel.

Dalam laman web rasminya, Lockheed Martin berkata ia “bangga” dalam peranannya mempertahankan keselamatan Israel.

Sementara itu, Anwar hari ini berkata beliaulah yang mengambil keputusan mengharamkan kapal milik syarikat Israel berlabuh di pelabuhan tempatan akhir tahun lepas.

"Padahal siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu?" soalnya merujuk kepada keputusan yang dibuat lebih dua dekad lalu.

Anwar mendakwa kerajaan terdahulu membenarkan kapal kargo Israel berlabuh, "termasuk mantan-mantan menteri yang dok bising sekarang".

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan bahawa kapal kargo ZIM Rotterdam yang dimiliki Zim Integrated Shipping Services dari Israel, telah berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April, sebelum belayar ke pelabuhan Shantou di China sehari kemudian.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke kemudian menjelaskan kapal itu telah berpindah milik kepada sebuah syarikat di Hong Kong.

Isu BlackRock dilihat antara cabaran utama Anwar sejak dilantik sebagai perdana menteri, di sebalik tuduhan beliau lebih mesra dengan Amerika Syarikat dan Israel berdasarkan kenyataan lampau, termasuk wawancaranya dengan Wall Street Journal pada 2012 yang memetiknya sebagai berkata akan "menyokong usaha mempertahankan keselamatan Israel".