- Iklan -
Berita

Rafizi berseloroh tunggu 'kejutan petrol' pula selepas kenaikan diesel

Menteri ekonomi itu berkata kerajaan rancangan pemansuhan subsidi petrol akan diteruskan walapun wujud kebimbangan inflasi.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Rafizi Ramli berkata kerajaan berazam meneruskan penghapusan subsidi untuk petrol RON95, dan pengumuman mengenainya akan dilakukan secara mengejut.
Rafizi Ramli berkata kerajaan berazam meneruskan penghapusan subsidi untuk petrol RON95, dan pengumuman mengenainya akan dilakukan secara mengejut.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilihat tidak terkesan dengan bantahan berleluasa tindakan kerajaan memansuhkan subsidi pukal diesel, dan berkata Putrajaya akan meneruskan rancangan mengumumkan langkah sama untuk minyak RON95.

Bercakap di Dalian, China di mana beliau menghadiri Forum Ekonomi Dunia, Rafizi bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh pengumuman itu.

"Kami akan mengumumkannya seperti mana kami buat kejutan mengenai diesel. Selepas kejutan mengenai diesel, orang ramai boleh bersiap sedia untuk satu lagi kejutan," katanya dalam wawancara bersama Bloomberg.

Rafizi juga tertawa apabila ditanya sama ada kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk menghapuskan subsidi minyak, dan bagaimana ia akan memberi kesan terhadap inflasi susulan kenaikan harga barang.

"Saya tahu yang semua orang mahu tahu dari saya ialah: apa seterusnya? Di Malaysia, kita mempunyai diesel untuk industri dan petrol untuk rakyat kebanyakan.

"Buat masa ini, kita memfokuskan diesel kerana ketirisan besar berlaku dengan diesel. Saya fikir kita perlu mengenal pasti dan belajar daripada proses itu untuk menambah baik keseluruhan sistem."

Harga petrol RON95 yang digunakan secara meluas oleh kenderaan persendirian di Malaysia pada masa ini ialah RM2.05 seliter.

Penghapusan subsidi minyak dijangka melonjakkan harga kepada RM3.35 seliter.

Pada 10 Jun, harga diesel di Semenanjung Malaysia naik ke RM3.35 seliter, menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai pemansuhan subsidi bahan api.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berulang kali mendakwa subsidi diesel memberi manfaat kepada orang asing dan golongan kaya.

Dakwaan itu dicabar oleh bekas ketua penerangan Umno, Isham Jalil, yang pernah ditugaskan di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak dalam program rasionalisasi subsidi.

“Saya nak tanya, pendatang asing mana yang bawa kereta atau motor diesel ini? Kebanyakan pendatang asing, lesen memandu pun tiada. Dia tak bawa kereta atau motor, kalau ada pun secara haram.

"Isunya ialah, mereka tak ramai. Orang-orang kaya pun, berapa ramai yang pakai kereta mewah diesel? Kebanyakannya kereta mewah seperti Porsche, BMW dan Mercedes tu, kebanyakannya pakai petrol, bukan diesel."

Isham turut mencabar kenyataan Rafizi yang menuduh nelayan menjual diesel bersubsidi kepada kapal asing.

"Rafizi, kamu tahu ke apa kamu cakap ni? (Kalau seludup) 10 juta liter, berapa puluh ribu bot perahu nelayan ini diperlukan untuk pergi ke tengah laut?" soalnya.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi