Selepas keputusan kerajaan membatalkan subsidi pukal diesel sejak 10 Jun lalu, kini harga RON95, minyak petrol yang digunakan untuk kenderaan majoriti rakyat Malaysia, mula menjadi kembimbangan orang ramai.
Ia memberikan pengguna tiada pilihan selain berdepan dengan kenaikan kos hidup, disebabkan RON95 adalah petrol yang paling murah dijual di stesen pam Malaysia.
Kenaikan harga RON95 tanpa subsidi akan mencecah lebih RM3 setiap liter, berbanding RM2.05 dengan subsidi.
Ini sudah tentu membebankan majoriti pengguna kereta, tetapi apa yang lebih pasti ialah keadaan hidup yang bakal dihadapi golongan B40 termasuk penunggang motorsikal.
Ia menyaksikan perbahasan mengenai keperluan memperkenalkan semula RON92, petrol yang lebih murah yang pernah menjadi pilihan utama kenderaan di Malaysia.
"Jika kerajaan benar-benar mahu jimatkan lebih banyak subsidi pukal, apa yang menghalangnya daripada memperkenalkan semula RON92 yang lebih murah? Hampir semua kenderaan petrol di Malaysia sesuai gunakan RON92," tanya seorang pengulas di laman diskusi Reddit.
"Setahu saya, kereta yang tak boleh guna RON92 kebanyakannya kereta Eropah dan kereta 'atasan'. Apatah lagi kebanyakan negara jiran kita pun menggunakan RON91/92 juga. Kenapa tak bawa semula RON92 sebagai petrol bersubsidi yang lebih murah, dan biarkan RON95/97 sebagai petrol premium dengan harga terapung?"
"Kebanyakan kerta Jerman boleh guna paling kurang RON91. Malah RON95 dianggap 'super' dan RON97-98 digunakan oleh kereta prestasi. Enjin moden mempunyai pengesan ketukan untuk melaraskan timing, jadi ia tidak akan merosakkan," tulis seorang lagi.
RON ialah singkatan research octane number, iaitu gred untuk menilai tahap pembakaran petrol. Semakin tinggi nilai RON, semakin susah bahan api itu terbakar dan menjadikan enjin lebih bertahan.
Di Malaysia, RON97 tidak mendapat subsidi dan dijual pada harga RM3.47 seliter. Ia biasanya digunakan kenderaan berkuasa tinggi seperti kereta sport, enjin supercas dan turbo.
Beberapa pemerhati industri automotif bersetuju sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan semula petrol RON92 yang lebih murah berbanding RON95.
RON92 dimansuhkan sejak September 2009 dan digantikan dengan RON95.
Pengulas automatif Hezeri Samsuri berkata motorsikal tidak memerlukan RON95, memberi contoh di Australia di mana minyak dengan RON lebih rendah masih digunakan.
Hezeri berkata beberapa pertimbangan perlu dibuat sebelum memperkenalkan semula RON lebih rendah daripada RON95.
Faktor termasuk kerosakan enjin kenderaan, waranti, pencemaran dan jumlah stesen minyak yang bersedia menambah varian bahan api itu perlu diambil kira, katanya.
Sebelum ini, cadangan mengembalikan RON92 pernah dibuat pada 2018.
Kerajaan ketika itu bagaimanapun berkata tahap kandungan sulfur dalam RON92 yang lebih tinggi menyebabkan cadangan itu ditolak, di samping garis masa yang perlu dipatuhi untuk penggunaan bahan bakar dengan tahap sulfur lebih rendah.
Bagaimanapun, pakar kejuruteraan automotif Ahmad Syahid Ahmad Fawzal berkata cadangan itu wajar difikirkan oleh kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah.
Ahmad Syahid berkata enjin kereta biasa masih sesuai dengan dengan minyak RON92, bahkan lebih rendah daripada itu seperti RON88.
Menurutnya, RON92 tidak sesuai dengan kereta baru kerana nisbah kompresi (compression ratio) enjin baru memerlukan kecekapan tinggi untuk menukar tenaga kimia kepada tenaga mekanikal.
"Kecekapan yang tinggi itu memerlukan RON yang lebih tinggi.
"Jadi, subsidi boleh diberikan kepada RON92 yang sesuai dengan kereta harian biasa yang digunakan kebanyakan orang," katanya kepada MalaysiaNow.
Tambahnya, golongan berpendapatan tinggi tidak cenderung mengisi RON92 yang lebih murah kerana ketidaksesuaian minyak itu dengan kenderaan premium.
"Jika mereka kerap mengisi RON92, akan berlaku mendapan, lampu pemeriksaan enjin juga akan menyala dan ekzos akan berasap. Ia akan merosakkan dalam jangka masa lama."
Ahmad Syahid menjelaskan, teknologi yang semakin canggih boleh membantu menyelesaikan masalah kandungan sulfur dalam RON yang lebih rendah.
Katanya, alasan sulfur itu juga kurang tepat memandangkan banyak negara maju masih mengekalkan penggunaan RON yang lebih rendah.
Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak, Khairul Annuar Abdul Aziz memberikan beberapa faktor selain kebimbangan pencemaran yang menyebabkan RON92 tidak mungkin diperkenalkan semula.
"Kebanyakan kereta yang dijual dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini direka atau diubah suai untuk menggunakan RON95 dan ke atas, menjadikan RON92 tidak sesuai untuk kenderaan baharu.
"Selain itu, mengubah kilang penapisan dari menghasilkan RON95 kepada RON92 akan melibatkan kos yang tinggi, menjadikannya tidak praktikal dari segi ekonomi," katanya.