- Iklan -
BeritaBaru Terbit

Tokoh veteran Syed Husin Ali meninggal dunia

Beliau merupakan antara tahanan ISA yang paling terkenal di Malaysia.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Syed Husin Ali.
Syed Husin Ali.

Tokoh akademik dan politik Syed Husin Ali, salah seorang bekas tahanan politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 88 tahun.

Syed Husin terkenal sebagai presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia, yang kemudiannya dijenamakan semula kepada Parti Rakyat Malaysia (PRM) selepas parti itu menggugurkan ideologi sosialisnya.

Beliau juga antara pengasas utama PKR, iaitu hasil gabungan PRM dan Parti Keadilan Nasional.

Bekas ahli akademik di Universiti Malaya itu menghasilkan pelbagai penulisan ilmiah berkisar sosiologi dan politik Malaysia, dengan menumpukan kepada soal kemiskinan dan penyelesaiannya.

Bukunya "Orang Melayu: Masalah dan Masa Depannya" dianggap sebagai karya rujukan klasik mengenai topik tersebut.

Kisah perjalanan hidupnya dalam "Dua Wajah", yang menceritakan pengalamannya sebagai tahanan tanpa bicara di bawah ISA, memberikan gambaran terperinci tentang bagaimana pihak berkuasa di masa lampau cuba melawan pengkritik kerajaan dengan menggunakan pelbagai taktik ugutan. 

Syed Husin turut menceritakan bagaimana ketika dalam penjara, pihak berkuasa cuba menabur fitnah mengenai isterinya Sabariah Abdullah, yang teguh berdiri di belakangnya sehingga akhir hayatnya pada 2013.

Disebabkan usia tua dan keadaan kesihatan, Syed Husin tidak aktif dalam politik semasa tetapi kekal sebagai penyokong setia Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang merupakan salah seorang pelajarnya di UM ketika tunjuk perasaan dan aktivisme pelajar pada 1970-an.

Syed Husin sentiasa menegaskan bahawa penahanannya dalam ISA adalah bermotifkan politik dan beliau mangsa perebutan kuasa dalam Umno. 

Beliau turut didakwa sebagai komunis dan seorang ejen kepada Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu belum dilantik perdana menteri dan dilihat sebagai ancaman oleh kepimpinan parti.

Dalam sebuah buku diterbitkan sempena ulang tahun kelahirannya ke-80, Syed Husin berkata beliau tetap yakin dengan masa depan Malaysia, khususnya golongan muda.

"Saya yakin kepada rakyat, dan yang penting pada masa depan ialah orang muda sekarang. 

"Saya optimis kepada orang muda dan pada  rakyat ramai, tetapi tidak optimis kepada  golongan-golongan pemerintah ini, dan  kepada orang yang sudah tua, termasuk saya!" katanya.

Syed Husin meninggalkan seorang anak lelaki, dua anak perempuan dan beberapa orang cucu.