- Iklan -
Berita

'Cakap kosong dan bohong': Anwar dikecam konon 'jamin' kemasukan bukan Bumiputera ke dalam matrikulasi

Peguam hak asasi dan kumpulan pendidikan berkata syarat keputusan 10A dalam SPM tidak mengubah apa-apa dalam isu bukan Bumiputera mendapatkan tempat di universiti awam.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Kumpulan hak asasi berkata pengumuman perdana menteri hanya mengenepikan nasib pelajar cemerlang bukan Bumiputera tetapi tidak mendapat kelulusan SPM 10A atau lebih.
Kumpulan hak asasi berkata pengumuman perdana menteri hanya mengenepikan nasib pelajar cemerlang bukan Bumiputera tetapi tidak mendapat kelulusan SPM 10A atau lebih.

Dua kumpulan yang memperjuangkan isu pendidikan dan hak asasi menyelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas pengumumannya yang kononnya memberikan peluang sama rata kepada pelajar semua kaum dalam kemasukan ke program matrikulasi, mengatakan ia hanya "kata-kata indah" yang langsung tidak menangani isu dan kritikan mengenai diskriminasi dalam sistem pendidikan negara.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan Lawyers for Liberty berkata syarat yang mengehadkan langkah itu kepada pelajar yang mendapat markah 10A ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menunjukkan tidak ada apa-apa yang berubah.

PAGE berkata kebanyakan pelajar SPM menduduki maksimum sembilan mata pelajaran, selain tidak ramai pelajar bukan Bumiputera yang mahukan tawaran ke matrikulasi. 

Pengerusi PAGE Noor Azimah Rahim berkata berdasarkan sistem kuota sedia ada, terdapat kira-kira 40,000 tempat di pusat-pusat matrikulasi. 

Daripada jumlah itu, sebanyak 90% adalah untuk pelajar Bumiputera, 5.5% atau 2,200 pelajar Cina dan 3.5% atau 1,400 untuk pelajar kaum India. 

"Kemungkinan besar pelajar cemerlang 10A yang memohon sudah pun ada tempat matrikulasinya berdasarkan sistem kuota ini," Noor Azimah memberitahu MalaysiaNow.

"Jadi jaminan yang diberi itu semata-mata kata indah penyeri mata, penenang fikiran yang sebenarnya bukan isu."

Dalam nada sama, LFL berkata bilangan tempat yang sedikit untuk pelajar bukan Bumiputera di bawah kuota sedia ada bermaksud mereka yang mencapai 10A sudah tentu diterima masuk.

"Ini kemudiannya menimbulkan persoalan bagaimana pengumuman ini memulihkan atau menambah baik sistem kuota sedia ada yang yang tidak adil ini," kata pengarah LFL, Zaid Malek.

"Ia hanya mewujudkan satu lagi halangan pelajar bukan Bumiputera melanjutkan pengajian tinggi. Bagaimana pula dengan nasib pelajar cemerlang bukan Bumiputera yang mendapat 9A, 8A atau 7A? Pengumuman Anwar mengabaikan mereka."

Anwar baru-baru ini berkata Kabinet bersetuju memberikan jaminan kemasukan ke matrikulasi bagi pelajar cemerlang tanpa mengira kaum, sambil menyifatkan keputusan itu akan "meredakan ketegangan kaum" yang dihadapi Kementerian Pendidikan. 

Bagaimanapun, syarat yang dikenakan mengundang pelbagai kritikan.

Ramai di media sosial berkata ia tidak mengubah apa-apa, tetapi hanya mengekalkan polemik perkauman tentang polisi kemasukan program matrikulasi. 

Noor Azimah berkata ramai pelajar bukan Bumiputera yang meraih keputusan cemerlang 10A mengimpikan tawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dan jaminan penempatan untuk jurusan perubatan. 

"Kita berpeluang untuk memikirkan dan menghalang krisis 'brain drain' ini dengan memberikan penawaran yang setara kepada semua pelajar yang paling cemerlang," katanya.

Beliau memberi contoh program biasiswa Asean oleh Kementerian Pendidikan Singapura yang menyasarkan pelajar paling cemerlang setiap tahun. 

Zaid berkata pengumuman terbaru Anwar "diperagakan sebagai sesuatu yang baharu dan progresif".

"Amat mengecewakan bahawa PM 'reformis' tidak kisah dengan struktur perkauman yang sebati dalam program matrikulasi hasil daripada kuota kaum sedia ada untuk program matrikulasi."

Beliau berkata, pengumuman itu bukan sahaja "tidak bermakna" tetapi juga bersifat "pembohongan" di sebalik peruntukan perlembagaan.

"Keputusan kerajaan Madani ini tidaklah merupakan apa-apa yang berani kerana ia bimbang dengan konservatif Melayu sehingga menjejaskan rakyat bukan Bumiputera dengan mengekalkan pelanggaran Perkara 153 Perlembagaan seperti mana kerajaan terdahulu."

Pengumuman oleh Anwar itu hampir setahun selepas dikritik mengenai cara beliau menangani soalan seorang pelajar berbangsa India mengenai kuota berasaskan kaum dalam sistem pendidikan.

Dalam sesi "Temu Anwar" menjelang pilihan raya enam negeri tahun lalu, perdana menteri dilihat beberapa kali cuba memotong penjelasan pelajar itu.

“Kalau awak ikut sesi 'Temu Anwar'... ada orang tanya soalan itu dan saya sudah jawab. Lain kali ikut," katanya, sebelum mengkritik pelajar itu kerana tidak berlaku adil kepada Bumiputera di sekolah pedalaman.

Anwar juga berkata jika beliau menunaikan permintaan memansuhkan sistem kuota, ia akan menyebabkan beliau kalah dalam pilihan raya.

Kolej Matrikulasi adalah alternatif kepada Tingkatan Enam atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menawarkan program pra-universiti kerajaan.