- Iklan -
Berita

Siapa pantau MAHB, pakar persoal pemansuhan Mavcom menjelang kemasukan GIP-BlackRock

Seorang bekas pengarah suruhanjaya penerbangan itu berkata selagi Mavcom masih belum dimansuhkan, penjualan saham MAHB masih perlu kelulusannya.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pemansuhan Mavcom sebagai pengawal selia sektor penerbangan berlaku di tengah-tengah kontroversi penjualan saham di Malaysia Airports kepada syarikat milik BlackRock.
Pemansuhan Mavcom sebagai pengawal selia sektor penerbangan berlaku di tengah-tengah kontroversi penjualan saham di Malaysia Airports kepada syarikat milik BlackRock.

Langkah kerajaan memansuhkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu mencetuskan persoalan mengenai pemantauan Malaysia Airports Holdings (MAHB), syarikat pengurusan lapangan terbang yang terbabit kontroversi disebabkan 30% sahamnya akan dijual kepada sebuah firma milik BlackRock yang berdepan tuduhan bersubahat dengan jenayah perang Israel.

Mavcom akan digabungkan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) selepas dimansuhkan. 

Pakar aviasi Germal Singh Khera menimbulkan persoalan mengenai kebebasan CAAM memantau operasi MAHB, memandangkan agensi itu berada di bawah Kementerian Pengangkutan.

"Saya tidak pasti jika ia mempunyai kebebasan walaupun Kementerian Pengangkutan berkata ia akan menjamin kebebasannya. Ia tidak kelihatan begitu," kata Germal, bekas pengarah pembangunan Mavcom, kepada MalaysiaNow.

Mavcom ditubuhkan pada 2015 sebagai badan bebas mengawal selia aspek ekonomi industri penerbangan selain menguruskan aduan penumpang.

Germal Singh Khera.
Germal Singh Khera.

Germal berkata Mavcom boleh membuat penilaian perolehan dari segi impak pada industri dan para pemain. 

Ini kerana penggabungan dan pemerolehan (acquisition and merger) adalah di bawah bidang kuasa suruhanjaya berkenaan, katanya.

Minggu lalu, perbahasan mengenai Mavcom menjadi hangat apabila Menteri Pengangkutan Anthony Loke disoal bertubi-tubi oleh pembangkang mengenai pemansuhan suruhanjaya itu yang dirancang sejak 2019 lagi. 

Kini, rancangan itu berdepan pelbagai persoalan menjelang penglibatan Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik BlackRock, dalam konsortium menguruskan MAHB.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata CAAM dan Mavcom boleh diperkasakan tanpa perlu menggabungkan kedua-dua badan tersebut.

"Mengapa harus dilakukan dengan sewenang-wenangnya secepat mungkin? Seolah-olah ada udang di sebalik batu," katanya.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang membantah penjualan saham MAHB kepada GIP berkata Mavcom adalah benteng terakhir penjualan saham MAHB kepada GIP.

Selain kebimbangan Malaysia terpalit dengan BlackRock dan jenayah perang Israel, keuntungan lebih setengah bilion ringgit dicatatkan MAHB pada tahun lalu juga menjadi antara punca bantahan.

Anwar sebelum ini berkata GIP dipilih dari kalangan 145 syarikat kerana syarikat lain tidak mahu memenuhi syarat yang ditetapkan Khazanah Nasional, yang memegang saham 70% dalam MAHB bersama-sama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara syarat tersebut ialah pengerusi dan CEO MAHB mestilah rakyat Malaysia, dan majoriti pegangan saham tempatan.

"Syarat ini tidak diterima. Jadi, itu sebabnya mengapa GIP diambil," dakwa Anwar.

Germal berkata selagi Mavcom wujud dan tidak dimansuhkan sepenuhnya, pembelian saham MAHB oleh GIP perlu mendapat kelulusan Mavcom.

"Jika Mavcom masih wujud, maka pembelian saham itu perlu diluluskan oleh Mavcom. Mavcom perlu melihat aspek ekonomi sama ada berlaku pelanggaran dalam soal persaingan, struktur pemegang saham dan sebagainya," katanya.

Shukor Yusof.
Shukor Yusof.

Sementara itu, seorang lagi pakar penerbangan berkata penswastaan MAHB bermakna ia tidak lagi bertanggungjawab kepada sesiapa kecuali kepada lembaga pengarahnya.

"CAAM hanya melihat pada isu keselamatan dan teknikal syarikat-syarikat penerbangan. Sebab itu saya tanya, apa motivasi untuk melakukan (pembelian saham MAHB)? Mereka main langgar sahaja," kata Shukor Yusof.

Germal berkata, penglibatan ekuiti pelabur dalam syarikat pengendali lapangan terbang adalah perkara biasa di dunia dan orang ramai tidak akan marah jika syarikat lain terlibat dalam pemilikan saham MAHB.

"Katakan pihak lain membeli saham, tiada siapa akan berkata apa-apa. Bantahan tidak akan menjadi sebesar bantahan terhadap GIP kerana GIP mempunyai kaitan dengan BlackRock," jelasnya.