- Iklan -
Berita

PH berdepan ancaman pupus, perlu persempadanan semula untuk terus berkuasa, kata Khairy

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata gabungan itu memerlukan majoriti dua pertiga bagi meluluskan rancangannya mewujudkan lebih banyak kerusi yang dapat menjamin kemenangan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
PH yang terbeban dengan rakan kongsi yang lemah kini berdepan kekalahan pada PRU akan datang melainkan ia mewujudkan lebih banyak kerusi di kubu kuatnya melalui persempadanan semula.
PH yang terbeban dengan rakan kongsi yang lemah kini berdepan kekalahan pada PRU akan datang melainkan ia mewujudkan lebih banyak kerusi di kubu kuatnya melalui persempadanan semula.

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Pakatan Harapan (PH) sedar kewujudannya terancam, dan satu-satunya cara gabungan itu boleh bertahan selepas pilihan raya umum akan datang adalah dengan mewujudkan lebih banyak kerusi Parlimen menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi kubu kuatnya.

Mengulas keengganan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen pembangkang seperti mana dijanjikan gabungan itu pada pilihan raya lalu, bekas ketua Pemuda Umno itu berkata ia menggambarkan ketakutan PH akan kehilangan kuasa.

"Orang itu akan buat apa sahaja untuk kekal sebab dia tahu dia tak ada mandat daripada rakyat, tak ada siapa yang menang majoriti," kata Khairy dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

"Oleh itu, apa sahaja tindakan adalah untuk melanjutkan usia kerajaan yang sedia ada."

Khairy berkata PH menyedari adalah mustahil untuk menang pilihan raya akan datang di bawah sempadan pilihan raya semasa.

Menurutnya, ia perlu mendapatkan seberapa ramai ahli Parlimen di pihaknya apabila membentangkan rang undang-undang persempadanan semula, yang memerlukan majoriti dua pertiga untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Khairy berkata ini yang menjadi punca Anwar mensyaratkan ahli Parlimen berunding dengan kerajaan sebelum diberikan peruntukan, dengan harapan mereka akan menyokong usul kerajaan.

Beliau bagaimanapun mempersoalkan tindakan perdana menteri yang kerap merujuk kepada persefahaman yang dimeterai bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang dalam usaha memastikan kestabilan politik pasca pandemik Covid-19.

Anwar Ibrahim menuntut wakil rakyat pembangkang berunding dengan kerajaan sebelum diberikan peruntukan pembangunan untuk kawasan mereka.
Anwar Ibrahim menuntut wakil rakyat pembangkang berunding dengan kerajaan sebelum diberikan peruntukan pembangunan untuk kawasan mereka.

"Tapi Ismail Sabri dalam keadaan pandemik, kita nak keluar daripada pandemik.

"Kerajaan hari ini mahu anda menandatangani (perjanjian) kerana ia soal kewujudannya. Dia nak supaya dia dapat bersetuju semua: 'saya hanya akan bagi peruntukan sekiranya kamu setuju tandatangan perjanjian menyatakan kamu tidak akan menentang kerajaan dalam sebarang usul percaya'," kata Khairy.

Setakat ini, enam ahli Parlimen Bersatu berpaling tadah dan menyatakan sokongan kepada perdana menteri, dengan harapan akan mendapat dana untuk kawasan mereka.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, merupakan wakil rakyat paling lantang membantah tindakan kerajaan menafikan peruntukan pembangunan sama rata untuk kawasan pembangkang.

Ahli Parlimen Muar itu baru-baru ini melakukan larian sejauh 200km dari kawasannya ke bangunan Parlimen dalam protes solo untuk mengetengahkan isu peruntukan tersebut.

"Ini bukan soal rundingan tapi soal politik balas dendam sehingga menghukum rakyat susah di kawasan pembangkang. Perkara ini salah dan kena tentang bersama," kata Syed Saddiq setibanya di Parlimen pada pagi Isnin.

'PH tidak boleh menang tanpa Mahathir'

Khairy berkata hakikatnya PH tidak mendapat mandat rakyat, sebaliknya diberikan kuasa selepas mencapai majoriti yang diperlukan melalui "kompromi selepas pilihan raya", di mana ia dipilih secara rawak untuk mengumpul sokongan yang mencukupi dan membentuk kerajaan.

Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.
Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kemenangan PH pada pilihan raya umum 2018 adalah disebabkan penglibatan Dr Mahathir Mohamad, pencapaian yang menurut Khairy mustahil diulangi gabungan tiga parti itu.

"Kita kena terima hakikat bahawa PH tidak pernah menang pilihan raya melainkan pada 2018 dengan Mahathir. Hanya dengan Mahathir mereka mampu menang pilihan raya," katanya sambil menambah PH kini terbeban dengan rakan kongsinya Umno yang gagal membantunya menambahkan sokongan.

"Umno hari ini tidak boleh beri impak kepada PH seperti mana Mahathir beri impak kepada PH pada 2018."

Pilihan raya umum 2022 menyaksikan tidak satu pun daripada tiga gabungan utama - PH, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional (BN) - memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Kebuntuan itu berakhir dengan Yang di-Pertuan Agong menamakan Anwar sebagai perdana menteri selepas beliau mendapat sokongan daripada BN, di samping GPS dari Sarawak dan beberapa parti kecil di Sabah.

"Baginda mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua," menurut kenyataan Istana Negara dalam menamakan Anwar sebagai PM ke-10.

Ditanya rakannya Shahril setakat mana kerajaan mahu memastikan ia "selesa" dengan sokongannya, Khairy berkata matlamat utama adalah pindaan perlembagaan yang membolehkannya melakar semula sempadan pilihan raya yang memihak kepada PH.

"Apa yang dia nak ialah (majoriti) dua pertiga."

Pengumuman Syed Saddiq menarik balik sokongan kepada kerajaan tahun lalu menyebabkan kerajaan hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Ini seterusnya memaksa Anwar bergantung kepada sokongan enam ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah.

Tindakan enam ahli Parlimen itu bagaimanapun menyebabkan mereka gugur keahlian parti, langkah yang menyebabkan kerusi mereka bakal diisytiharkan kosong seiring dengan undang-undang anti-lompat parti yang diluluskan pada 2022.

Bimbang tidak akan mencapai majoriti dua pertiga, pemimpin PH berusaha mengelak pilihan raya kecil di enam kerusi itu yang rata-rata merupakan kubu kuat PN.

Khairy berkata kemenangan PH dalam pilihan raya tidak akan melebihi aa yang dicapainya sekarang kecuali sempadan pilihan raya diubah.

Katanya, dengan cara ini gabungan itu boleh mewujudkan lebih banyak kerusi di kubu kuatnya seperti Puchong, Bangi dan Seputeh.

"Ini kawasan-kawasan yang datang kiamat pun akan undi PH. Itu yang sedang berlaku di sini.

"Hanya dalam keadaan itulah PH boleh mendapatkan kemenangan mutlak tanpa Mahathir, tanpa Umno," tambah Khairy.