- Iklan -
Berita

Menjelang PRK Sungai Bakap, PH sekali lagi berdepan kegagalan raih sokongan Melayu

Persepsi negatif terhadap Rafizi Ramli dan isu nasional yang turut memberi kesan terhadap penduduk menjadikan kemenangan pihak kerajaan sesuatu yang mustahil.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Persepsi negatif pengundi terhadap Rafizi Ramli dilihat bakal menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan di Sungai Bakap.
Persepsi negatif pengundi terhadap Rafizi Ramli dilihat bakal menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan di Sungai Bakap.

Faktor Rafizi Ramli, kenaikan diesel dan isu BlackRock menjadikan peluang Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap esok sesuatu yang mustahil.

Ini ditambah pula dengan realiti yang PH memerlukan sekurang-kurangnya 15% sokongan pengundi Melayu untuk menang selesa.

Bagaimanapun, penganalisis menganggap ia sesuatu yang sukar dicapai, menjadikan gabungan itu terpaksa melalui satu lagi kegagalan mendapatkan sokongan orang Melayu yang rata-rata masih bersama Perikatan Nasional (PN) sejak pilihan raya umum dua tahun lalu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata ini ditambah dengan realiti bahawa PAS yang mewakili PN di Sungai Bakap, kawasan yang terletak di antara Parit Buntar (Perak) dan Bandar Baharu (Kedah), tidak memerlukan sokongan bukan Melayu untuk mengekalkan kerusi itu.

"Undi bukan Melayu mungkin tak ada masalah bagi PH, dan PAS tak ada masalah kalau mereka tidak dapat undi bukan Melayu kerana mereka (sudah) cukup dengan undi Melayu sahaja." 

Pengundi Melayu di Sungai Bakap, salah satu kerusi negeri di bawah Nibong Tebal, kerusi Parlimen diwakili Menteri Pendidikan Fadhlina Siddiq, membentuk 59% daripada 39,222 pengundi, diikuti Cina (22.5%) dan India (17.4%).

PH diwakili Dr Joohari Ariffin manakala PN oleh Abidin Ismail, kedua-duanya anak tempatan.

Mazlan mengandaikan apa yang bakal berlaku di Sungai Bakap ialah situasi sama seperti di PRK Kuala Kubu Baharu Mei lalu.

Di Kuala Kubu Baharu, kekalahan calon PN berpunca daripada kegagalan mendapatkan sokongan yang signifikan daripada pengundi bukan Melayu. 

Sementara di Sungai Bakap, PH pula akan mengharapkan sokongan signifikan Melayu.

"Di Sungai Bakap, undi Melayu akan jadi penentu sebab itu kedua-dua pihak akan rebut undi Melayu," katanya.

Petugas kempen PN rata-rata berpuas hati dengan trend sokongan yang masih kuat bersama gabungan itu.

Manakala seorang petugas kempen PH yang mengikuti pergerakan calon hampir setiap hari berkata pihaknya masih "bergelut" untuk menarik undi orang Melayu. 

Ini disukarkan lagi dengan insiden pada awal kempen, yang menyaksikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli cuba menyekolahkan seorang lelaki berbaju Umno yang mempersoalkan kenaikan harga minyak.

"Mereka (ahli Umno) tak puas hati bila tengok ahli Umno dilayan 'haprak' oleh menteri kerajaan perpaduan," kata salah seorang pekerja kempen PH.

Rafizi yang mengetuai kempen PH bagaimanapun menolak semua kritikan itu.

Malah, beliau yakin orang Melayu menyokong kerajaan.

"Sekarang, apabila kami bertanya kepada pengundi sama ada mereka berpuas hati dengan prestasi PN sepanjang tahun lalu, kami menjangkakan 70% akan menyokong mereka. Bagaimanapun, hanya 48% saja yang berpuas hati.

"Pengundi Melayu tidak berpuas hati sejak PN mengambil alih kerusi negeri. Jangan sebut pengundi Cina dan India. Sudah tentu mereka lebih tidak berpuas hati," kata Rafizi dalam salah satu ceramahnya.

Selain kelemahan Rafizi menangani kritikan, isu nasional seperti kenaikan harga diesel dan penjualan saham Malaysia Airports Holdings kepada sebuah syarikat milik BlackRock turut menyukarkan kempen PH.

Sementara itu, pengundi India dilihat semakin lantang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, seperti mana di Kuala Kubu Baharu.

"Bagi pengundi India mereka banyak menaikkan isu kos sara hidup yang makin menghimpit mereka selain isu pembangunan dan layanan tak adil kepada mereka," kata Suthan Mookaiah, jurucakap Parti Masyarakat India Malaysia (MIPP) yang aktif berkempen sepanjang dua minggu di Sungai Bakap.