Peguam Hishamuddin Rais menolak dakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bahawa aktivis terkemuka itu tidak pernah disiasat di bawah undang-undang yang sering digunakan terhadap pengkritik kerajaan.
Sebaliknya, Zaid Malek berkata polis dan pegawai SKMM bukan sahaja menggeledah rumah anak guamnya, tetapi juga memaksa Hishamuddin menyerahkan kata laluan untuk menjalankan analisis forensik blognya "Tukar Tiub".
"Dia diberitahu secara jelas bahawa pihak berkuasa berhasrat untuk merampas komputernya, menggunakan kuasa mereka di bawah seksyen 248 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk memasuki rumahnya tanpa waran," kata Zaid.
Zaid menyifatkan penafian SKMM "pembohongan terang-terangan" dan berkata beliau hadir sepanjang sesi soal siasat Hishamuddin berhubung kandungan blognya yang mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Saya telah melihat laporan polis yang memulakan siasatan itu. Laporan yang dibuat adalah khusus terhadap blog Hisham, berhubung catatan yang dimuat naik.
"Sepanjang penyiasatan, pihak berkuasa hanya merujuk kepada tulisan di blog Hisham dan bukannya tulisan dari blog penulis asal," kata Zaid.
Walaupun pegawai SKMM hadir ketika serbuan di rumah Hishamuddin, suruhanjaya itu berkata beliau bukan subjek siasatan.
Ia mendakwa hanya bekerjasama dengan polis untuk merakamkan keterangan, sambil menambah suruhanjaya itu juga tidak merampas komputer Hishamuddin.
Hishamuddin, 73, merupakan antara aktivis terkemuka yang bertahun-tahun hidup dalam buangan selepas meninggalkan negara berikutan protes pelajar pada 1970-an.
Beliau merupakan antara penggerak penting protes reformasi pimpinan Anwar pada akhir 1990-an.
Blognya "Tukar Tiub" kerap memuat naik ulasan dan jenaka pendek menyindir ahli politik dan dasar kerajaan.
Zaid berkata, sepanjang disoal siasat, anak guamnya dilayan sebagai suspek siasatan.
“Semua soalan yang diajukan kepadanya adalah berkaitan kesalahan di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia terhadapnya.
"Soalan-soalan ini termasuk pemilikan blog, sama ada catatan itu dimuat naik oleh Hisham atau sama ada dia telah mengesahkan atau menyemak fakta artikel itu sebelum memuat naiknya.
"Daripada pertanyaan itu, sesiapa pun yang berfikiran munasabah akan mendapati Hisham adalah subjek utama siasatan. Pendek kata, Hisham dilayan sebagai suspek,” tambahnya.
Siasatan melibatkan Hishamuddin adalah yang terbaru dalam siri tindakan oleh kerajaan Anwar terhadap pengkritik dalam talian.
Sejak mengambil alih Putrajaya, kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menyekat laman web dan blog berita melalui SKMM, di samping meminta platform media sosial memadam ribuan klip video dan hantaran yang mengkritik kerajaan.
Zaid menyifatkan tindakan SKMM "bermotifkan politik", dan berkata penafiannya dibuat selepas melihat reaksi awam yang tidak senang dengan tindakan terhadap Hishamuddin.
"Badan penguatkuasa seperti SKMM dibiayai rakyat Malaysia. Ia perlu berkhidmat kepada rakyat. Ia bukan untuk diperalatkan pemerintah atau digunakan sumbernya untuk melindungi reputasi PM atau ahli politik kerajaan, seperti mana dilakukan dalam hal ini," katanya.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.