- Iklan -
Berita

Kalah teruk di Sungai Bakap: Akibat angkuh atau Rafizi jadi kambing hitam?

Ramai berpandangan menteri ekonomi itu tidak bijak menangani kritikan semasa kempen, tetapi Rafizi Ramli juga mempunyai musuh dalam PKR yang mahu menjatuhkannya.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Persepsi negatif pengundi terhadap Rafizi Ramli menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan di Sungai Bakap.
Persepsi negatif pengundi terhadap Rafizi Ramli menyumbang kepada kekalahan Pakatan Harapan di Sungai Bakap.

Kewibawaan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mengemudi kempen pilihan raya bagi Pakatan Harapan (PH) kini semakin dipertikaikan selepas kekalahan terus gabungan itu kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap minggu lepas.

Mereka berkata cara Rafizi, yang juga menteri ekonomi, menjalankan kempen merupakan sebab utama PH ditolak sehingga memberi kelebihan majoriti hampir tiga kali ganda kepada PN.

Insiden yang paling diingati ialah ketika pelancaran jentera PH oleh Rafizi di awal kempen, yang menyaksikan ahli Parlimen Pandan itu kelihatan cuba memalukan seorang hadirin kerana mempersoalkan pentadbiran Anwar Ibrahim yang gagal menunaikan janji menurunkan harga minyak.

Sikap Rafizi itu dikatakan menyukarkan lagi tugas pekerja kempen yang sudah pun berdepan beban meyakinkan rakyat mengenai pelbagai tindak tanduk kerajaan, termasuk penarikan balik subsidi diesel yang melonjakkan harga bahan api itu sebanyak 56%.

Antara orang yang paling awal menyebut Rafizi sebagai punca kekalahan teruk PH di Sungai Bakap ialah bekas menteri Zaid Ibrahim.

Katanya, Rafizi tidak boleh mengetuai kempen pilihan raya kerana "cepat marah, beremosi dan gemar memperlekeh orang lain". 

"Ucapan dia, saya tengok di YouTube, dia perlekeh orang. Dialah pandai, dialah itu ini," katanya dalam siaran podcast beliau.

Zaid merujuk kepada klip video tular yang dirakam pada malam terakhir kempen menunjukkan Rafizi menggelarkan pengkritiknya sebagai "bahlol" dan "bodoh" kerana mempersoalkan kerajaan dalam menyelesaikan isu ekonomi.

"Dia duk tanya, kamu raja formula, mana formula kamu? Memang bahlol. Formula tengah jalanlah bodoh," kata Rafizi yang cuba melawan label yang kerap diberikan oleh musuhnya.

Kemenangan PN dialu-alukan pelbagai pihak, dan lebih menarik lagi, ia turut disambut baik Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, yang menyerang Rafizi.

"Formula bahlol dan bodoh dari raja formula telah mendatangkan hasil di Sungai Bakap. Tahniah rakyat Sungai Bakap. Pemimpin jangan sombong dengan rakyat," tulisnya di Facebook. 

Mengulas kekalahan PH dan kaitannya dengan cara Rafizi berkempen, penganalisis politik Oh Ei Sun mencadangkan supaya PH melantik nama baru untuk mengetuai kempen pilihan raya pada masa akan datang. 

"Mungkin mereka boleh mencuba pengarah pilihan raya yang lain yang ada kaitan dengan pilihan raya kecil yang diadakan," katanya kepada MalaysiaNow. 

Musuh dalam PKR

Oh bagaimanapun berkata Rafizi menjadi sasaran mudah disebabkan kemarahan awam mengenai kenaikan kos sara hidup dan kenaikan harga minyak yang berkait langsung dengan rancangan menteri ekonomi itu.

Katanya, ia mungkin menggambarkan masalah dalaman yang berlaku dalam PKR.

"Rafizi adalah kambing hitam yang mudah dipersalahkan dan sudah tentu ada dinamika intra-politik dalaman PKR (seperti) perebutan kuasa. 

"Saya rasa ada juga segelintir mereka yang suka melihat Rafizi dijatuhkan secara terbuka dan di dalam PKR," kata Oh.

"Jadi mereka menggunakan kesempatan ini untuk berbuat demikian." 

Penganalisis Mazlan Ali berkata jika Rafizi meneruskan cara berkempen seperti di Sungai Bakap, tidak mustahil kedudukannya dalam parti akan dicabar. 

"Rafizi sebagai timbalan presiden patutnya menggantikan Anwar Ibrahim. Tapi macam tak ada yang sesuai dalam parti untuk ganti," kata Mazlan dari Universiti Teknologi Malaysia.

"Jadi bila ada lompong, maka peluang untuk pemimpin-pemimpin lain ambil alih jawatan Rafizi tu akan terbuka. Akan adalah pertandingan untuk jawatan timbalan presiden."

Rafizi sebelum ini pernah kalah di tangan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan parti itu.

Rafizi akhirnya dinobatkan jawatan tertinggi itu selepas menewaskan Saifuddin Nasution pada 2022, dalam pemilihan pertama PKR selepas Azmin dan penyokongnya beramai-ramai meninggalkan parti itu pada 2020.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.