- Iklan -
Berita

Aktivis mulakan mogok lapar bantah BlackRock di luar Parlimen

Mythreyar Mutturamalinggam berkata usahanya terlalu kerdil berbanding derita rakyat Palestin.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Mythreyar Mutturamalinggam dari Tanjung Malim menunjukkan sepanduk di jalan masuk ke Parlimen ketika memulakan mogok lapar menyatakan bantahan terhadap penjualan saham MAHB kepada sebuah firma milik BlackRock.
Mythreyar Mutturamalinggam dari Tanjung Malim menunjukkan sepanduk di jalan masuk ke Parlimen ketika memulakan mogok lapar menyatakan bantahan terhadap penjualan saham MAHB kepada sebuah firma milik BlackRock.

Seorang aktivis melancarkan mogok lapar bermula hari ini untuk membantah rancangan Putrajaya yang berdegil meneruskan penjualan saham Malaysia Airports Holdings (MAHB) kepada sebuah firma milik BlackRock, syarikat yang terpalit dengan jenayah perang Israel.

Mythreyar Mutturamalinggam, 46, berkata dia berhasrat meneruskan mogok itu sehingga kerajaan membatalkan rancangan itu yang telah mengundang kritikan penyokong Palestin dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, Mythreyar berkata tindakannya tidak boleh dibandingkan dengan kesengsaraan dialami rakyat Palestin ketika ini. 

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia sepertinya untuk memelihara kedaulatan negara. 

"BlackRock ini penyumbang utama genosid yang sedang berlaku di Palestin," katanya kepada wartawan di luar pintu masuk bangunan Parlimen.

"Bagaimana kita pula boleh menerima duit mereka? Semua orang tahu Zionis Israel itu kan haram? Bagaimana kita boleh menerima duit haram ini?" soalnya.

Tindakannya turut mendapat sokongan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), pertubuhan yang kerap menganjurkan bantahan terhadap keganasan Israel.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkali-kali mempertahankan rancangan itu, yang akan menyaksikan Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock membeli 30% kepentingan dalam sebuah konsortium menguruskan Malaysia Airports Holdings (MAHB), bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diterajui beliau sendiri.

Langkah itu mencetuskan bantahan pemimpin masyarakat sivil dan kumpulan pro-Palestin yang menuntut kerajaan membatalkan perjanjian itu memandangkan BlackRock berdepan tuduhan bersubahat dalam kempen pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 35,000 orang awam.

Mythreyar merayu Anwar membatalkan perjanjian dengan syarikat itu, dan mempertimbangkan syarikat lain.

"Kita ada ramai pelabur lain, bukan sahaja di luar tetapi juga di Malaysia untuk membeli saham MAHB. 

"Jangan biarkan regim zionis Israel bertapak. Mereka seperti kanser, mereka akan makan kita sampai tahap macam itu." 

Terdahulu, Mythreyar tular di media sosial selepas memutuskan untuk tidak menyambut Deepavali sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin. 

Menerusi akaun TikToknya, Mythreyar aktif dalam menyebarkan kesedaran tentang genosid di Palestin.