- Iklan -
Berita

Kumpulan hak pengguna sertai bantahan terhadap pemansuhan Mavcom

CAP mempersoalkan keputusan itu ketika aduan terhadap syarikat penerbangan semakin meningkat.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Tindakan kerajaan memansuhkan Mavcom yang selama ini menguruskan aduan penumpang menerima bantahan di sebalik keraguan mengenai kebebasan pihak berkuasa aviasi di bawah Kementerian Pengangkutan.
Tindakan kerajaan memansuhkan Mavcom yang selama ini menguruskan aduan penumpang menerima bantahan di sebalik keraguan mengenai kebebasan pihak berkuasa aviasi di bawah Kementerian Pengangkutan.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Putrajaya membubarkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), dan mempersoalkan keputusan itu yang menurutnya dibuat ketika hak penumpang memerlukan perlindungan lebih baik oleh pihak berkuasa di sebalik peningkatan aduan terhadap syarikat penerbangan.

Mavcom selama ini mengutamakan kebajikan penumpang dengan mengurus aduan pelbagai isu seperti masalah bagasi serta kelewatan dan pembatalan penerbangan, kata CAP.

"Pada tahun-tahun yang lepas, kami melihat peningkatan dalam insiden di mana syarikat penerbangan dikatakan membatalkan penerbangan, hanya untuk meletakkan tempat duduk asal bagi dijual semula selepas penumpang dengan berat hati memilih alternatif, masa penerbangan yang kurang ideal yang dicadangkan oleh syarikat penerbangan itu," kata presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.

Beliau merujuk kes di mana penumpang yang penerbangannya dibatalkan oleh syarikat penerbangan tidak dipulangkan wang mereka, sebaliknya dipaksa menerima bayaran balik dalam bentuk kredit, dalam apa yang dipercayai merujuk kepada kebanjiran aduan terhadap AirAsia.

"Amalan ini memberi kesan yang tidak adil kepada penumpang yang mungkin tidak dapat menggunakan kredit ini sebelum ia tamat tempoh, yang menyebabkan kerugian kepada wang hasil titik peluh mereka.," katanya.

Pembubaran Mavcom bulan lepas melalui undian disokong ahli Parlimen kerajaan di Dewan Rakyat menimbulkan persoalan mengenai pemantauan Malaysia Airports Holdings (MAHB), di tengah-tengah kontroversi penjualan 30% sahamnya kepada sebuah firma dimiliki BlackRock, pengurus dana yang berdepan tuduhan terlibat dalam jenayah perang Israel.

Kerajaan berkata Mavcom akan digabungkan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), agensi di bawah Kementerian Pengangkutan yang diterajui Anthony Loke.

Ahli Parlimen pembangkang berkata ia akan menghapuskan sistem semak dan imbangan kerana Mavcom, tidak seperti CAAM, melaporkan terus kepada Parlimen.

Mohideen mengakui apa yang dibangkitkan oleh pembangkang terhadap penggabungan Mavcom dan CAAM adalah kebimbangan yang sah.

Beliau mempersoalkan Loke yang mempertahankan penggabungan dengan CAAM dengan alasan mengurangkan karenah birokrasi dan menambah baik perkhidmatan penerbangan.

"Walau bagaimanapun, tidak banyak yang diperkatakan mengenai perlindungan pengguna syarikat penerbangan. Hanya CAAM yang akan mengambil alih fungsi Mavcom yang termasuk mengendalikan aduan pengguna. 

"CAP kekal dengan kebimbangan mengenai implikasi pembubaran Mavcom bagi masa depan pengguna syarikat penerbangan," tambahnya.

Sebelum ini, pakar penerbangan turut mengkritik langkah itu.

Germal Singh Khera menimbulkan persoalan mengenai kebebasan CAAM memantau operasi MAHB, memandangkan agensi itu berada di bawah Kementerian Pengangkutan.

"Saya tidak pasti jika ia mempunyai kebebasan walaupun Kementerian Pengangkutan berkata ia akan menjamin kebebasannya. Ia tidak kelihatan begitu," kata Germal, bekas pengarah pembangunan Mavcom, kepada MalaysiaNow.

Seorang lagi pakar aviasi berkata penswastaan MAHB bermakna ia tidak lagi bertanggungjawab kepada sesiapa kecuali kepada lembaga pengarahnya.

"CAAM hanya melihat pada isu keselamatan dan teknikal syarikat-syarikat penerbangan. Sebab itu saya tanya, apa motivasi untuk melakukan (pembelian saham MAHB)? Mereka main langgar sahaja," kata Shukor Yusof.

Dalam perbahasan hangat mengenai Mavcom di Dewan Rakyat bulan lepas, wakil pembangkang membidas Loke mengenai rancangan untuk membubarkan suruhanjaya itu yang dicadangkan seawal 2019.

Mereka berkata rancangan itu menimbulkan persoalan lebih-lebih lagi menjelang penyertaan Global Infrastructure Partners (GIP), sebuah syarikat milik BlackRock, dalam konsortium menguruskan MAHB, syarikat yang menguruskan lapangan terbang di Malaysia.

Pembangkang menyifatkan Mavcom adalah benteng terakhir untuk menghalang penjualan saham MAHB kepada GIP.

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata CAAM dan Mavcom boleh diperkasakan tanpa perlu menggabungkan kedua-dua badan tersebut.

"Mengapa harus dilakukan dengan sewenang-wenangnya secepat mungkin? Seolah-olah ada udang di sebalik batu," katanya.