- Iklan -
Berita

Majlis paralimpik pertahan keputusan tolak pakaian atlet direka adik pemimpin DAP

Majlis Paralimpik Malaysia menjawab kenyataan adik Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin mempersoalkan keputusan menghentikan projeknya menjelang sukan Paris.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Chia Yeo Bee Sean memperagakan fesyen pakaian atlet yang direka pasukannya ketika tampil dalam sebuah podcast. Gambar: Facebook
Chia Yeo Bee Sean memperagakan fesyen pakaian atlet yang direka pasukannya ketika tampil dalam sebuah podcast. Gambar: Facebook

Majlis Paralimpik Malaysia, badan yang bertanggungjawab menguruskan penyertaan sukan paralimpik dan penyertaan negara dalam Sukan Paralimpik Paris pada bulan depan, mempertahankan keputusan menolak reka bentuk pakaian atlet paralimpik negara berikutan kenyataan dibuat adik kepada pemimpin DAP yang bertanggungjawab merekabentuk pakaian itu.

Chia Yeo Bee Sean, adik kepada Ahli Parlimen Puchong yang juga Timbalan Ketua Wanita DAP Yeo Bee Yin, baru-baru ini mendedahkan dalam sebuah podcast berbahasa Cina bahawa projeknya mereka bentuk pakaian atlet paralimpik negara tiba-tiba dihentikan "tanpa sebarang penjelasan" .

Chia, yang muncul dalam podcast dengan menampilkan pakaian sukan ciptaan pasukannya, menyifatkannya "pengalaman pahit manis".

"Kami mencurahkan hati dan jiwa kami untuk mencipta kempen yang lebih daripada reka bentuk pakaian; ia suatu percubaan ikhlas menyatupadukan negara kita dan sekali lagi menjadikan Malaysia berbangga. Rasa kecewa itu amat dalam," katanya dalam catatan di media sosial, yang mencetuskan pelbagai reaksi, kebanyakannya mempersoalkan sama ada wujud unsur kronisme dalam penglibatan Chia.

Pengerusi majlis paralimpik Megat D Shahriman Zaharudin berkata reka bentuk yang dirujuk Chia itu tidak mendapat kelulusan Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau menjelaskan, reka bentuk itu dikemukakan sebagai sebahagian daripada MoU majlis paralimpik dengan Universiti Limkokwing bagi menghasilkan pakaian seragam atlet dalam pelbagai acara sukan untuk empat tahun akan datang.

Katanya, keputusan muktamad di tangan MSN.

"Dia memakai ke wawancara itu. Reka bentuk itu telah ditunjukkan tetapi tidak terpilih," kata Megat Shahriman kepada MalaysiaNow.

Tambahnya, kemungkinan Chia terkejut dengan keputusan itu kerana tidak dimaklumkan oleh majlis.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan bagi pelbagai pereka fesyen menghantar hasil rekaan mereka.

"Semua orang mendapat peluang dan segala-galanya adalah atas merit, dan saya percaya MSN mengambil keputusan yang betul, jadi kami berpegang padanya," katanya.

Dalam podcast itu, Chia turut menyasarkan kritikannnya terhadap fesyen pakaian kontinjen kebangsaan ke Sukan Olimpik Paris, menyifatkan reka bentuk itu "hodoh".

Reka bentuk tersebut baru-baru ini mengundang kritikan orang ramai menyebabkan ia diganti dengan reka bentuk baru.

"Melihat pakaian seragam hodoh yang dilancarkan dengan cara yang memalukan adalah menyedihkan, tetapi usaha dan semangat kami akan sentiasa menjadi bukti dedikasi dan cinta kami yang tidak berbelah bahagi kepada negara," katanya.

Chia berkata amat menyedihkan kerana usaha gigih dan visi pasukannya yang melangkaui "kain dan jahitan semata-mata" tidak dapat direalisasikan.

Pengguna media sosial bagaimanapun melahirkan rasa terkejut kerana Chia ditugaskan mereka bentuk pakaian seragam itu.

Ramai yang membuat perbandingan dengan kontroversi membabitkan projek transit responsif permintaan (DRT) kerajaan Selangor.

Projek DRT itu mencetuskan kemarahan disebabkan penglibatan sebuah syarikat suami kepada Hannah Yeoh dari DAP, yang juga menteri belia dan sukan, yang merupakan antara dua syarikat dikurniakan projek itu tanpa melalui tender terbuka.

"Dia reka baju olimpik. OMG, betul ke? Dia??? Kenapa semua mesti melibatkan DAP?" tanya pengguna Facebook Khai Beng Tan dalam kiriman yang menjadi viral.

Penyokong DAP sebaliknya berkata tuduhan itu tidak berasas.

MalaysiaNow telah cuba menghubungi Chia tanpa mendapat sebarang respons.