Dr Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun kelahiran ke-99 hari ini, tetapi bekas perdana menteri itu yang berada di London sejak minggu lepas mempunyai jadual padat menghadiri pelbagai pertemuan dan majlis bersama pelajar, aktivis dan pemimpin tempatan.
Di ruang komentar laman sosialnya, ramai yang menyentuh kekuatan kesihatan Mahathir, yang setahun lagi akan menjangkau usia seabad.
Di ambang hari jadinya, Mahathir menghadiri dua acara yang menyaksikan beliau menjawab pelbagai soalan berhubung isu antarabangsa yang menyentuh dunia Islam.
Antara yang menjadi tumpuan perbincangan di kedua-dua sesi ialah perang di Gaza, yang mana bekas perdana menteri itu mengkritik negara Islam kerana gagal bertindak, sambil membuat perbandingan dengan negara bukan Islam yang lebih ke hadapan untuk menghukum Israel.
Katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam juga terbukti tidak relevan, dan menggesa negara Islam mengenakan sekatan minyak terhadap negara-negara yang membantu Israel.
Menyampaikan ucaptama pada satu majlis dihadiri pemimpin Islam terkemuka Britain, Mahathir yang merupakan perdana menteri Malaysia paling berpengaruh ketika memerintah selama 23 tahun, menekankan kepentingan pentadbiran cekap dan berkongsi pengalamannya memimpin Malaysia dengan menjalankan perubahan yang besar.
Hadirin turut bertanyakan tentang kesihatan Mahathir, dan beliau menjawab ia hasil gaya hidup berdisiplin.
"Pertemuan ini bukan sahaja satu peluang yang jarang datang untuk mendengar daripada pemimpin dianggap lagenda, malah ia satu seruan untuk umat Islam bersatu, menjadi cemerlang dan mengangkat prinsip-prinsip agama mereka dalam setiap aspek kehidupan.
"Perbincangan mengenai kepimpinan bersama Dr Mahathir Mohamad menyerlahkan hikmah, pengalaman, dan kepentingan ajaran Islam dalam kepimpinan dan pentadbiran kontemporari," menurut ulasan diterbitkan oleh Islam Channel, saluran televisyen satelit Islam di UK.