- Iklan -
Berita

Speaker cemar perlembagaan, kata Muhyiddin selepas bekas ahli Bersatu kekal kerusi

Bersatu lantik pakar perundangan untuk semak keputusan Speaker.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Perikatan Nasional hari ini menyelar keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi enam ahli Parlimen gabungan itu walaupun digugurkan keahlian parti mereka selepas bertindak menyokong kerajaan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata ia dimaklumkan keputusan  itu melalui surat daripada Speaker yang menyatakan tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

"Keputusan Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara," kata Muhyiddin pada sidang media di Parlimen.

Bekas perdana menteri itu merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan sebulat suara pada 2022.

Menurut akta tersebut, kerusi ahli Dewan Rakyat perlu dikosongkan dan pilihan raya kecil diadakan jika seseorang gugur keahlian partinya setelah dipilih.

Bersatu meminda perlembagaannya pada Mac tahun ini, menggugurkan keahlian enam ahli Parlimen tersebut.

Mereka ialah Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli); (bottom) Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Azizi juga ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri di Kelantan, di mana kerusi itu diisytiharkan kosong okeh Speaker DUN, Mohd Amar Abdullah.

Pada sidang media yang sama, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata parti itu mempunyai tafsiran mutlak perlembagaan parti, dan tidak boleh dicabar di mahkamah.

"Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah pun memutuskan bahawa enam ahli Dewan Rakyat ini adalah telah terhenti keahliannya.

"Pentafsiran Bersatu terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan," katanya.

Susulan kenyataan Speaker, Muhyiddin berkata parti itu telah melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan selanjutnya, termasuk mencabar keputusan Speaker di Mahkamah.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Speaker masih tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan walaupun mempunyai kuasa menentukan status kerusi-kerusi tersebut.

Enam kerusi itu adalah kerusi majoriti Melayu yang mana kerajaan dijangka menerima tentangan hebat jika berlaku pilihan raya kecil sekiranya diisytiharkan kosong.

Keputusan Speaker untuk tidak mengosongkan enam kerusi itu susulan kekalahan teruk gabungan pemerintah di Sungai Bakap pada Sabtu lalu, yang menyaksikan PN menambah majoritinya hampir tiga kali ganda.