Kesatuan pekerja bank terbesar negara hari ini menggesa penggantungan tugas Menteri Sumber Manusia Steven Sim berikutan pendedahan ketirisan dalam laporan audit HRD Corporation, entiti di bawah bidang kuasanya.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) berkata ia bukan kali pertama Sim "gagal melaksanakan tugasnya dengan cekap", sambil menambah menteri itu telah menunjukkan "sikap kurang integriti" dalam mengendalikan kontroversi mengenai bantuan musim perayaan untuk pekerja.
"Berdasarkan pengalaman kami dengannya, dengan tahap keyakinan yang munasabah kami meramalkan bahawa menteri sumber manusia akan menjadi sebahagian daripada masalah, bukan sebahagian daripada penyelesaian, dalam kegagalan yang sedang berlaku membabitkan HRD Corp," kata kesatuan itu dalam satu kenyataan.
Ia berkata "ketidakcekapan" Sim dalam isu bantuan perayaan itu menjejaskan 60,000 pekerja dan keluarga mereka.
"Berdasarkan kepada perilakunya yang sombong, melulu dan jahil dalam menangani isu antara NUBE dengan pengurusan bank, ia tidak mengejutkan bahawa Menteri Sumber Manusia telah, sedang dan akan terus merumit dan memburukkan skandal HRD Corp melalui pembabitannya," tambahnya.
Pada April, NUBE membuat laporan polis mendakwa Sim meminggirkan pekerja dan memihak kepada majikan mereka.
Ia berkata Sim memintas NUBE dengan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bank-bank Komersial Malaysia (MCBA) mengenai bantuan perayaan yang dijanjikan kepada pekerja.
Kesatuan itu menandatangani perjanjian kolektif dengan MCBA tahun lepas di mana bank bersetuju membayar sebulan gaji sebagai bantuan perayaan, dan perjanjian itu akan dikaji bersama oleh kedua-dua pihak tahun ini.
Bagaimanapun, NUBE berkata tindakan Sim untuk campur tangan dan berunding dengan MCBA mengakibatkan bank membayar hanya setengah bulan gaji walaupun kesatuan itu masih belum memulakan rundingan tahunannya dengan bank.
Menurutnya, Sim tergesa-gesa merujuk perjanjian itu kepada Mahkamah Perusahaan dengan alasan rundingan menemui jalan buntu.
"Bagaimana satu rundingan yang belum pun dimulakan, boleh dianggap sebagai jalan buntu oleh menteri berkenaan?"
NUBE berkata ia mempunyai pengalaman menjadi pengantara dalam menyelesaikan pelbagai isu secara rasional melalui prosedur yang sewajarnya, tetapi sikap Sim telah menggagalkan rundingan tersebut.
Ia berkata ini menimbulkan kecurigaan bahawa Sim bersekongkol dengan majikan "untuk meminggirkan hak dan kebajikan pekerja perbankan", sambil menambah tindakan itu memangsakan 60,000 pekerja dan keluarga mereka.
NUBE berkata Putrajaya tidak boleh mengabaikan penderitaan dirasai keluarga pekerja kumpulan B40 dan M40 yang terjejas.
"Selaras dengan kepercayaan kami, dengan rasminya kami menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menggantung Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong atas prestasi buruk menjalankan tanggungjawabnya," katanya.
"Hari ini kami mungkin kesatuan pekerja pertama yang menggesa kepada penggantungan Sim, namun kami amat yakin bukan yang terakhir akan berbuat demikian pada masa akan datang."
Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Ketua Audit Negara (AG) baru-baru ini mendedahkan HRDC membelanjakan levi yang dikutipnya untuk pelaburan berisiko dalam pasaran ekuiti.
Ia juga mendedahkan HRDC membelanjakan wang untuk acara mewah di hotel lima bintang dan perjalanan ke luar negara.