- Iklan -
Berita

Pakar kesihatan terkejut Anwar buat U-turn mengenai hasil cukai vape

Perdana menteri sebelum ini berjanji memperuntukkan separuh daripada hasil cukai vape untuk kempen membasmi tabiat merokok dan usaha lain berkait kesihatan rakyat.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Produk vape boleh dibeli dengan mudah oleh sesiapa sahaja selepas kerajaan menangguhkan undang-undang lebih ketat membendung tabiat merokok, selain mengeluarkan cecair nikotin dalam vape daripada senarai racun.
Produk vape boleh dibeli dengan mudah oleh sesiapa sahaja selepas kerajaan menangguhkan undang-undang lebih ketat membendung tabiat merokok, selain mengeluarkan cecair nikotin dalam vape daripada senarai racun.

Sebuah pertubuhan memperjuangkan isu kesihatan awam melahirkan rasa terkejut dengan langkah Putrajaya memasukkan hasil cukai daripada produk vape yang dikutip sejak empat tahun lalu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan, walaupun sebelum ini berjanji memperuntukkan separuh daripadanya untuk inisiatif berkaitan kesihatan.

"Pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan yang memperjuangkan kesihatan awam memerlukan apa sahaja sumber tambahan yang boleh diperolehi untuk menangani kesan penjualan peranti vape nikotin pakai buang yang tidak terhad dan tidak terlarang, termasuk melalui mesin layan diri," kata Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, yang menentang langkah mengeluarkan nikotin dalam produk vape daripada senarai racun bagi membenarkan kerajaan mengenakan cukai jualan.

"Hasil cukai vape sepatutnya digunakan untuk tujuan ini," kata CEO Galen Centre, Azrul Mohd Khalib.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga menteri kewangan, baru-baru ini berkata kerajaan mengutip RM141.1 juta hasil cukai vape, termasuk RM58.55 juta daripada produk cecair vape yang mengandungi nikotin bagi tempoh 2021 hingga 2024.

Anwar sebelum ini berkata separuh daripada hasil cukai vape akan diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan, dalam usaha meredakan kritikan terhadap kerajaan yang menunda undang-undang anti rokok yang ditentang syarikat tembakau.

Kerajaan menyokong ikhtiar GEG (Generasi Penamat Rokok) dan bersetuju separuh daripada hasil duti eksais produk vape akan diperuntukkan semula kepada KKM sebagai usaha meningkat kualiti perkhidmatan kesihatan dan kempen anti rokok, anti arak yang berkesan," katanya dalam ucapan Belanjawan 2023 pada 24 Feb tahun lepas.

Galen Centre berkata janji yang dibuat kerajaan itu bagi mempertahankan hujahnya bahawa vape mengandungi nikotin tidak perlu diharamkan.

"Separuh daripada RM141.1 juta bererti tambahan RM70 juta dana yang boleh membantu membaiki kesan buruk keputusan mengecualikan vape nikotin daripada kawal selia sejak lebih setahun," kata Azrul.

“Wang ini bertujuan untuk melengkapkan peruntukan sedia ada yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan khususnya dalam bidang pendidikan dan promosi kesihatan yang berdepan kekurangan dana yang teruk.”

Azrul berkata, langkah membenarkan penjualan vape nikotin tanpa sekatan telah membawa kepada peningkatan mendadak bilangan pengguna vape, sambil menambah kebimbangan itu kini menjadi kenyataan.

"Ia sehingga kanak-kanak dan remaja pun boleh membeli dan menggunakan produk vape mengandungi nikotin yang murah dan boleh didapati mudah. Ia  tidak menjadi kesalahan undang-undang untuk peruncit menjualnya kepada kanak-kanak."

Beliau berkata Tinjauan Tembakau Dewasa Global 2023 oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kadar perokok berkurangan sebanyak 4% sahaja dalam tempoh 12 tahun sejak 2011, manakala pengguna tembakau dan e-rokok meningkat sebanyak 3.9%.

"Penggunaan vape melonjak 600%. Jelas sekali vape tidak mengurangkan tabiat merokok tembakau, dan kini merupakan masalah berasingan yang perlu ditangani."