- Iklan -
Berita

Speaker 'langsung tak layak', PN digesa boikot Parlimen dan 'sandiwara' demokrasi

Bekas menteri undang-undang membidas keputusan Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul enggan mengosongkan kerusi ahli Parlimen yang berpaling tadah walaupun keahlian parti mereka gugur selepas berpaling tadah.
Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul enggan mengosongkan kerusi ahli Parlimen yang berpaling tadah walaupun keahlian parti mereka gugur selepas berpaling tadah.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim menyifatkan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul sebagai "tidak layak sama sekali" untuk jawatan tersebut, ketika kecaman meningkat terhadap keputusan tidak mengosongkan enam kerusi ahli Parlimen yang berpaling tadah kepada kerajaan walaupun dengan kewujudan undang-undang anti-lompat.

Zaid mengingatkan undang-undang anti-lompat digubal bagi menghalang ahli Parlimen daripada mengkhianati kehendak rakyat yang memilih mereka.

"Kalau ahli parlimen kita masih ada sekelumit akhlak dan etika serta kesedaran yang mencukupi, tak perlu kita bersusah payah meminda undang-undang. Disebabkan mereka tidak, kita terpaksa meluluskan undang-undang anti-lompat.

"Tetapi bagaimana pula kalau speaker tidak melakukan perkara betul dan langsung tidak layak melaksanakan tugasnya dengan adil dan berkesan?" soal Zaid dalam reaksinya terhadap keputusan Johari.

Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau dimaklumkan Johari bahawa kerusi Parlimen enam bekas ahli Bersatu yang berpaling tadah kepada kerajaan tidak akan dikosongkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang anti-lompat.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), membidas Johari kerana "mencemar perlembagaan", merujuk kepada Perkara 49A(3) yang dipinda pada 2022 berikutan desakan pembangkang ketika itu Pakatan Harapan (PH) untuk menghalang wakil rakyat melompat parti.

Di bawah pindaan yang merupakan antara syarat perjanjian antara PH dan kerajaan campuran perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob, ahli Parlimen yang keahlian partinya digugurkan akan dikosongkan kerusi mereka.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini gugur keahlian mereka selaras dengan perlembagaan parti.

Bagaimanapun, mereka enggan mengosongkan kerusi dan menegaskan masih kekal sebagai ahli Bersatu.

Zaid berkata dalam keadaan sekarang, pembangkang tidak sepatutnya turut serta dalam proses parlimen, sambil menambah ia tidak masuk akal untuk terlibat dalam demokrasi negara yang "menjadi cemuhan dan bahan ejekan".

Bercakap kepada MalaysiaNow, Zaid bagaimanapun tidak terkejut dengan keputusan itu.

"Muhyiddin, semua pemimpin pembangkang dan NGO yang mahu melihat demokrasi bertapak mesti boikot Parlimen. Biarlah Madani memerintah saja," katanya merujuk kepada jenama yang kerap dilaungkan Anwar.

"Jangan terlibat dalam sandiwara."

Enam ahli Parlimen yang berpaling tadah itu ialah Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Kesemua kerusi itu dianggap kubu kuat PN, yang akan menyaksikan gabungan itu merampasnya kembali sekiranya diadakan pilihan raya kecil, seterusnya mematahkan usaha kerajaan Anwar mencapai sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Minggu lalu, bekas menteri Khairy Jamaluddin berkata sokongan dua pertiga amat diperlukan PH bagi tujuan meluluskan persempadanan semula pilihan raya yang memihak kepada gabungan itu.

Khairy berkata dengan mewujudkan banyak lagi kerusi Parlimen daripada kubu kuat PH seperti Puchong, Bangi dan Seputeh, akan memastikan gabungan itu kekal berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang.

"Ini kawasan-kawasan yang datang kiamat pun akan undi PH," kata Khairy dalam podcast Keluar Sekejap.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata keputusan Johari tidak mengejutkan.

Menurutnya, ia sama sekali berbeza dengan apa yang diperjuangkan pemimpin kerajaan sekarang tidak lama dahulu.

"Ini prinsip yang dia perjuangkan sendiri masa dia jadi ahli Parlimen dulu. Tetapi individu berubah mengikut jawatan. Kuasa boleh mengubah sikap," katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, ucapan Johari menyokong undang-undang anti-lompat bagi menghalang ahli Parlimen berpaling tadah telah mula beredar.

"Inilah undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara kita. Tak kiralah, sama ada sebalah sini atau sana, tetapi ini harus berhenti di sini. Ini yang kita mahu sebab rakyat sudah muak," Johari memberitahu Dewan Rakyat pada 2022 ketika berucap sebagai ahli Parlimen Sungai Petani.

Wan Saiful berkata Bersatu akan mencari penyelesaian melalui kaedah undang-undang, sambil menambah bahawa isu itu serius kerana melibatkan perlembagaan.