Peguam mewakili seorang pemandu e-hailing yang mendakwa diserang salah seorang anggota pengiring Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoalkan sikap berdiam diri peguam negara walaupun polis sudah lama menyerahkan kertas siasatan mengenai insiden itu.
"Lebih sebulan sudah berlalu. Masih tidak ada sesiapa yang didakwa atas serangan terhadap Ong. Tiada tangkapan dibuat," kata Latheefa Koya, peguam kepada pemandu e-hailing kurang upaya Ong Ing Keong, yang laporan polisnya pada Mei lalu mencetuskan kemarahan orang ramai.
"Ini adalah soal kepentingan awam. Sikap berdiam diri oleh pihak berkuasa tidak boleh diterima."
Latheefa, yang juga bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata kes itu jelas dan disokong oleh bukti video yang dilihatnya.
"Bukti ini telah diserahkan kepada polis. Saya sendiri telah melihat video dashcam. Serangan terhadap Ong jelas dalam video itu," katanya.
Baca: Saya tidak tarik balik laporan polis, kata pemandu Grab dakwa diserang pegawai pengiring TMJ
Pada 5 Jun, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kertas siasatan berhubung kes itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Pada 28 Mei lalu, Ong, seorang pemandu Grab yang pekak dan bisu, mendakwa diserang oleh salah seorang anggota yang mengiringi Tengku Ismail, lebih dikenali sebagai TMJ, selepas diminta mengalihkan keretanya di luar Hotel St Regis, Kuala Lumpur.
Katanya, seorang lelaki mengetuk cermin keretanya sebelum menumbuk mukanya.
Ong menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami lebam pada bibir menyebabkan kesukaran untuk makan.
Latheefa berkata polis dan peguam negara mesti menjelaskan ketiadaan apa-apa tindakan sehingga kini.
"Ong berhak mendapat keadilan, dan kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan."