- Iklan -
Berita

Akta lompat parti sangat jelas, kata bekas speaker selepas Johari kekalkan ahli Parlimen paling tadah

Azhar Azizan Harun berkata pindaan diluluskan sebulat suara ketika beliau menjadi speaker itu memberikan panduan jelas dalam membuat keputusan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas speaker Azhar Azizan Harun berkata undang-undang menghalang wakil rakyat lompat parti sudah cukup jelas untuk membimbing apa-apa keputusan sama ada mengisytiharkan kerusi kosong atau tidak.
Bekas speaker Azhar Azizan Harun berkata undang-undang menghalang wakil rakyat lompat parti sudah cukup jelas untuk membimbing apa-apa keputusan sama ada mengisytiharkan kerusi kosong atau tidak.

Peruntukan perlembagaan mengenai kekosongan kerusi ahli Parlimen telah dinyatakan dengan amat jelas supaya sebarang keputusan berhubung dengan wakil rakyat yang berpaling tadah boleh diambil dengan mudah, kata bekas speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, di sebalik kontroversi enam kerusi pembangkang tidak dikosongkan walaupun penyandangnya gugur keahlian dalam Bersatu.

Azhar merujuk kepada Perkara 49A (1)(a)(ii), iaitu hasil pindaan perlembagaan pada 2022 yang diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat semasa beliau menjadi speaker.

Beliau berkata ia khusus mengenai situasi yang dihadapi oleh enam ahli Parlimen itu selepas melanggar perlembagaan Bersatu dengan mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan.

Di bawah klausa itu, ahli Parlimen hilang kelayakan apabila keluar parti, atau keahlian mereka gugur.

Azhar berkata sebagai bekas speaker, beliau tidak mahu dilihat cuba menilai tindakan penggantinya.

Perlembagaan Bersatu dan DAP, serta akujanji kepada Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang ditandatangani calon gabungan itu sebelum pilihan raya umum ke-15 lalu, semuanya diwujudkan untuk memastikan ahli Parlimen menurut arahan parti.

Bagaimanapun, tidak ada kekaburan dalam fasal yang dipinda itu dalam membantu speaker menangani situasi seperti yang dibangkitkan ketika ini, katanya.

"Jadi peruntukan undang-undang ini sangat jelas," kata Azhar, peguam dengan pengalaman lebih tiga dekad, kepada MalaysiaNow.

Pada Rabu, Perikatan Nasional (PN) dimaklumkan Speaker Johari Abdul bahawa beliau tidak akan mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah, mencetuskan kemarahan di kalangan ahli Parlimen serta kritikan daripada pakar undang-undang dan beberapa pemimpin kerajaan yang menganggap keputusan itu berat sebelah.

Azhar berkata pindaan undang-undang anti-lompat parti diluluskan selepas pertimbangan yang teliti dan perbahasan panjang, termasuk penubuhan sebuah jawatankuasa khas bi-partisan dianggotai 11 ahli Parlimen dan dipengerusikan oleh menteri undang-undang ketika itu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata jawatankuasa itu telah mengadakan perundingan dengan pakar undang-undang dan masyarakat sivil sebelum memuktamadkan pindaan itu.

"Mereka dilantik oleh Dewan Rakyat, bukan oleh saya atau perdana menteri," katanya dalam menekankan bagaimana undang-undang anti-lompat itu digubal secara bebas tanpa pertimbangan politik kepartian.

"Seingat saya, mereka diberi masa sebulan untuk menggubal draf rang undang-undang. Rang undang-undang itu dibentangkan dan dibahaskan oleh lebih 60 ahli Parlimen. Saya beri peluang kepada semua untuk bercakap.

"Rang undang-undang ini kemudiannya diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat. Sebulat suara, maksudnya tak ada seorang pun yang menentang. Itu fakta sejarah.

"Jadi, sepatutnya ia dikuatkuasakan. Itu undang-undang. Sama ada Johari khilaf ke tak khilaf, itulah peruntukan undang-undangnya. Tak nak katalah dia silap atau betul," kata Azhar.

Ketua whip dan arahan parti

Azhar turut mempersoalkan alasan Johari bahawa perlembagaan Bersatu melanggari Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kebebasan bersuara kepada wakil rakyat.

Jelasnya, walaupun ahli Parlimen ada hak menyuarakan pendapat, demokrasi yang dicorakkan mengikut Westminster memerlukan mereka mengikut arahan parti.

"Kalau kita tengok House of Commons di UK, secara default seseorang ahli Parlimen kena ikut ketua whip parti, jika tidak ia menjadi masalah disiplin parti di mana tindakan tatatertib boleh diambil."

Beliau berkata ahli Parlimen bagaimanapun diberikan kebebasan untuk mengundi secara individu dalam beberapa perkara dengan syarat ketua whip memberikan pengecualian (lift the whip).

Katanya ini selalunya berlaku dalam pengundian mengenai perkara yang melibatkan pendirian yang timbul daripada kepercayaan dan latar belakang seseorang wakil rakyat.

"Sebagai contoh, dalam undian mengenai pengguguran bayi atau perkahwinan sama jenis, itu ada kaitan dengan kepercayaan masing-masing," katanya sambil menambah bahawa di UK, ahli Parlimen yang berpegang kepada Kristian konservatif biasanya menentang rang undang-undang seperti itu.

Perlembagaan DAP, Bersatu, akujanji BN dan MOU kerajaan perpaduan

Begitu juga, Azhar berkata perlembagaan Bersatu dan DAP, serta akujanji kepada Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi yang ditandatangani calon gabungan itu sebelum pilihan raya umum ke-15 lalu, semuanya diwujudkan untuk memastikan ahli Parlimen menurut arahan parti.

"Dalam semua parti ini, jika seseorang tidak mengikut arahan, dia tidak lagi jadi ahli," tambah Azhar.

Beliau turut merujuk kepada sebuah perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh semua ahli Parlimen daripada parti yang membentuk "kerajaan perpaduan" selepas pilihan raya umum lalu, ketika berdepan undi percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Di bawah perjanjian itu, setiap parti dalam kerajaan perlu memastikan ahli Parlimen masing-masing mengundi seperti yang diarahkan bagi mengelak dianggap menentang partinya.

Azhar menegaskan peranan ketua whip di Dewan Rakyat.

“Kalau betullah semua orang bebas mengundi, kenapa kena ada ketua whip?

“Kalau betul semua orang bebas mengundi, tak payah ada bangku kerajaan dan bangku pembangkang. Duduklah mana-mana pun, kan semua orang bebas mengundi?"

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.