- Iklan -
Berita

Dikutuk cytro pro-kerajaan, ditabik pelbagai pihak, aktivis nekad teruskan mogok lapar bantah BlackRock

Mythreyar Mutturamalinggam yakin semakin ramai yang mula celik isu penjualan saham MAHB.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Mythreyar Mutturamalinggam berteduh di satu sudut Dataran Merdeka, meneruskan mogok lapar membantah penjualan saham MAHB kepada sebuah syarikat milik BlackRock yang terpalit jenayah perang Israel.
Mythreyar Mutturamalinggam berteduh di satu sudut Dataran Merdeka, meneruskan mogok lapar membantah penjualan saham MAHB kepada sebuah syarikat milik BlackRock yang terpalit jenayah perang Israel.

Mythreyar Mutturamalinggam, 46, duduk di satu sudut di Dataran Merdeka, dikelilingi pelbagai sepanduk membantah penjualan saham Malaysia Airports Holdings (MAHB) kepada sebuah syarikat milik BlackRock, dana pelaburan terbesar dunia yang terpalit jenayah perang Israel.

Dia kelihatan letih berjemur di bawah panas matahari, ditambah dengan kesukaran untuk tidur pada waktu malam disebabkan bunyi bising dan gangguan nyamuk.

Sudah empat hari dia memulakan mogok laparnya, yang menurutnya ialah apa yang mampu dilakukannya sebagai solidariti kepada rakyat Palestin.

Aktivis berusia 46 tahun itu masih bersemangat, dan tidak putus-putus menerima pengunjung.

Pada malam Sabtu, dia akan disertai sekumpulan mahasiswa yang akan bermalam di Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai tanda solidariti.

Rancangan asalnya ialah mengadakan mogok selama tiga hari, namun kini memutuskan untuk meneruskannya sehingga Isnin.

Mythreyar yakin tindakan mogok itu akan membuahkan hasil dalam memberikan penerangan dan pendedahan kepada orang ramai untuk menekan kerajaan membatalkan perjanjian menjual 30% saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Menurutnya, ramai yang menziarahinya termasuk yang datang dari Kelantan, dan Pahang apabila melihatnya di Dataran Merdeka, tempat yang dipilih untuk protes tersebut selain berpindah ke luar bangunan Parlimen sekiranya sesi Dewan Rakyat bersidang. 

"Ramai yang baru dapat tahu isu MAHB melalui usaha saya ini. Itu yang saya mampu buat dan akan terus buat," katanya kepada MalaysiaNow.

Mythreyar memulakan mogok di depan Parlimen pada Rabu. Selepas sesi Parlimen berakhir pada Khamis, Mythreyar berpindah ke Dataran Merdeka.

Semalam, dia diberikan glukosa oleh seorang doktor yang datang meninjau kesihatannya, dan dinasihatkan untuk meneguk sedikit air untuk mengelakkan kerosakan buah pinggang.

"Saya ada teguk air sedikit, tetapi masih tidak makan, jadi badan saya memang letih," katanya yang berasal dari Tanjung Malim.

Mythreyar Mutturamalinggam dikunjungi beberapa orang yang prihatin dengan keadaan kesihatannya, pada hari ke-4 mogok lapar membantah BlackRock.
Mythreyar Mutturamalinggam dikunjungi beberapa orang yang prihatin dengan keadaan kesihatannya, pada hari ke-4 mogok lapar membantah BlackRock.

Mythreyar turut dikunjungi beberapa aktivis dan pertubuhan yang giat membantah rancangan jualan saham itu.

Mereka termasuk bekas naib presiden PKR Tian Chua yang mewakili  Sekretariat Solidariti Palestin, wakil pergerakan Gegar Amerika dan Friends of Palestine, di samping beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Usaha Mythreyar turut mendapat sokongan cawangan tempatan pergerakan global anti-Israel, Boycott, Divestment, Sanctions (BDS).

BDS Malaysia menggesa kerajaan memandang serius protes Mythreyar dan jutaan rakyat Malaysia lain, dan seterusnya membatalkan rancangan membawa masuk GIP yang dimiliki penuh oleh BlackRock.

"Kepada Mythreyar, kami menabik dan menghormati pengorbanan dan keberanian anda, keberanian yang kami harap akan dicontohi oleh kerajaan kita dalam melakukan perkara yang betul untuk menyokong saudara dan saudari Palestin kita," kata kumpulan itu.

Di sebalik sokongan yang ditunjukkan pelbagai pihak, Mythreyar bagaimanapun tidak terlepas daripada menjadi sasaran penyokong kerajaan.

Tentera siber (cytro) di media sosial tidak henti-henti memuat naik komen hina dan sinis terhadapnya.

Beberapa komen dinaikkan pelanggan sebuah portal berita pro-Pakatan Harapan turut membidasnya, dan ada juga yang mahu melihat keadaan kesihatannya bertambah buruk.

"Nak pro sangat baik pergilah ke Gaza tolong sana dari sia-sia gadai nyawa di Malaysia. Pengecut pulak dia ni," kata seorang pembaca dalam ruang komen Malaysiakini.

"Kau nak cabar kerajaan ke? Adakah ini cara untuk menyelesaikan masalah? Thambi balek rumah jaga keluarga sendiri. Kebodahan yang tak masuk akal," menurut satu lagi komen.

Mythreyar bagaimanapun tidak berganjak daripada keputusannya.

"Sebagai rakyat Malaysia, ini tanggungjawab saya," katanya.

"Jika kerajaan tidak mampu tolak BlackRock, merunding atau meneliti semula perjanjian pun sudah cukup buat saya."