- Iklan -
Berita

Lompat parti: Apa kata mereka dulu?

Menyingkap kenyataan dan ucapan pemimpin kerajaan hari ini yang berlawanan dengan pendirian semasa mereka dalam menyokong keputusan speaker untuk tidak mengosongkan kerusi wakil rakyat yang membelot.

MalaysiaNow
5 minit bacaan
Kongsi

Klip video, hantaran dan ucapan di internet menghantui pemimpin Pakatan Harapan (PH) sejak mengadakan perjanjian dengan bekas musuh mereka Umno untuk mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi sasaran serangan kerana gagal menunaikan janji seperti menurunkan harga minyak dan memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan, yang sebaliknya digunakan terhadap pengkritik termasuk pemimpin pembangkang.

Minggu lalu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan untuk tidak mengosongkan enam kerusi ahli Parlimen yang membelot, iaitu episod terbaru dalam siri pusingan-U dan memungkir janji oleh Anwar dan gabungannya.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan orang ramai serta kritikan, termasuk beberapa pemimpin di sebelah kerajaan, yang memberi amaran kepada Anwar bahawa kredibiliti pentadbirannya kini di tahap terrendah sejak mengambil alih Putrajaya dua tahun lalu.

PH merupakan pihak yang paling lantang menggesa pindaan perlembagaan bagi menghalang wakil rakyat daripada mengubah sokongan, yang menurutnya menjadi punca ketidakstabilan politik Malaysia sejak pilihan raya umum 2018.

Undang-undang anti-lompat itu dibentangkan dan diluluskan sebulat suara sebagai memenuhi perjanjian kesefahaman pada 2022 antara perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob dan PH sebagai pembangkang.

Antara lain, ia memperuntukkan mana-mana wakil rakyat yang gugur keahlian parti mereka kerana melanggar perlembagaan parti, akan dikosongkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada pilihan raya semula.

MalaysiaNow meninjau kembali kenyataan oleh pemimpin kerajaan semasa satu ketika dulu berhujah menyokong larangan wakil rakyat berubah haluan.

Soal maruah
Kita anggap ini soal maruah atau integriti ahli-ahli Parlimen sehinggakan ada yang diuar-uarkan "members of Parliament for sale". Soalnya bukan sahaja belot, khianat atau lompat parti, soalnya yang harus diketahui oleh perdana menteri dan diperhatikan oleh badan-badan seperti SPRM ialah kerana ia melibatkan rasuah, sogokan dan penipuan.
Anwar Ibrahim, PKR

Akta anti lompat hentikan pembelian kerusi 
Dalam pilihan raya akan datang ini, katakanlah tidak ada satu parti yang dominan, perbezaan cuma tiga atau empat sahaja. Bayangkanlah Tuan Yang di-Pertua, kalau ada pihak yang kaya-raya boleh membeli 10 atau 15 orang luar, orang luar yang boleh melabur RM200, RM300, RM400 ataupun RM1 bilion untuk mendapat 10 orang MP. Not impossible. Ini bukan sesuatu yang luar biasa.
Johari Abdul, PKR

Habuan wakil rakyat belot
Apa yang disebut sebagai "carrot and stick" terhadap wakil rakyat dengan izin. Kita lihat bagaimana kes-kes SPRM terhadap wakil-wakil rakyat diumumkan selepas itu bila sudah melompat, kes-kes SPRM ini hilang.
Nik Nazmi Nik Ahmad, PKR

Bahaya belot tapi kekal kerusi
Maksudnya Tuan Yang di-Pertua, dalam tiga keadaan ini kalau seseorang Ahli Dewan Rakyat mengambil keputusan yang melanggar keputusan partinya dalam keadaan-keadaan begitu, maka dia boleh dipecat. Apabila dipecat dia kena mengosongkan kerusi itu tetapi malangnya saya tahu bahawa dia tidak mendapat consensus dalam Jawatankuasa Pilihan Khas dalam perkara ini. Jadi, ia tidak dimasukkan dalam pindaan Perlembagaan.

Akan tetapi saya nak menyatakan Tuan Yang di-Pertua, bahawa ini sangat bahaya kerana kalau dengan satu pindaan yang general ini bahawa kalau pemecatan daripada keanggotaan dalam parti politiknya tidak dianggap sebagai lompat parti, maka ahli-ahli Dewan Rakyat sebenarnya ada lagi loopholes (kelompongan) yang dia boleh lakukan tanpa bertukar parti. Dia kekalkan kerusinya tanpa bertukar parti umpamanya dia langgar keputusan parti.
Anthony Loke, DAP

Musuh dalam selimut
Rakyat di luar sana akan tahu siapa sebenarnya yang menyokong satu pembaharuan kepada persada politik tanah air dengan adanya pindaan Perlembagaan ini dan siapa sebenarnya yang menjadi “gunting dalam lipatan”, yang “menjadi api dalam sekam”, yang menjadi “musuh dalam selimut”. Rakyat akan lihat. Rakyat akan tahu dan kenal satu-persatu. Maka, itu akan menjadi signal bahawa dalam PRU yang akan datang, inilah yang perlu. Mereka inilah yang perlu rakyat lakukan sesuatu. 
Fahmi Fazdzil, PKR

Jawatan dijadikan komoditi
Apa gunanya kita undi lagi. Apa gunanya lagi kita memilih seorang wakil rakyat, menjadikan wakil rakyat itu boleh mengaut keuntungan dengan melompat parti. Jawatan itu, jawatan ahli Parlimen dijadikan satu komoditi untuk dijual-beli, macam daging, macam ayam di pasar untuk ditawar-menawar.
Chon Chien Jen, DAP

Hormati setiap undi
Mana-mana individu yang sudah dipilih sebagai wakil rakyat tidak boleh lagi menukar parti mereka dengan sewenang-wenangnya seperti menukar seluar. Mereka perlu menghormati prinsip, visi dan misi parti yang mereka wakili serta menghormati setiap undi yang diberi kepada mereka.
Lim Lip Eng, DAP

Jangan guna peruntukan syarat lompat
Selain itu, akta untuk memastikan kesamarataan peruntukan di antara ahli Parlimen tidak kira kerajaan kah atau pembangkang adalah amat penting kerana ini memastikan seseorang ahli Dewan Rakyat tidak payah bertukar pendiriannya kerana semata-mata untuk mendapatkan
pembangunan yang sepatutnya kawasan dia layak untuk mendapatkan. Ini sesuatu contoh.
Chan Foong Hin, DAP

Hukum wakil rakyat menipu pengundi
Tetapi persoalan rakyat adalah kenapa tidak ahli-ahli Parlimen ini boleh dihukum. Kalau orang-orang biasa yang menipu boleh dihukum di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan, dengan izin Tuan Yang di-Pertua, "a person who practices deception, a person who conducts himself dishonestly who cheats someone can be charged under section 420. Why are members of Parliament given the privilege or privilege treatment and not charged in court for cheating voters". Ini adalah persoalan saya.
RSN Rayer, Jelutong

Pengundi pilih parti, bukan calon
Rakyat ketika dalam PRU, dia pilih bukan sebab muka calon itu handsome ataupun lawa. Dia pilih kerana lambang parti, kerana rakyat percaya parti itulah yang difikirkan terbaik untuk mewakili sesuatu kawasan tersebut.
Cha Kee Chin, DAP

Ahli Parlimen terikat arahan parti
Mana-mana ahli Parlimen yang enggan mengikut pendirian parti di sini akan berhenti menjadi ahli parti, dan perlu mengosongkan kerusi mereka di Parlimen. Ini akan bertindak sebagai penghalang kepada ahli Parlimen daripada mengingkari arahan parti, sekali gus memastikan disiplin parti.
Dalam proses memperkenalkan undang-undang anti lompat, penggubal di Parlimen sebelum ini juga telah meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan, untuk menyekat kebebasan berpersatuan bagi Ahli Parlimen, tertakluk kepada undang-undang lompat parti. Implikasinya di sini ialah, seorang ahli Parlimen terikat dengan arahan parti, dan bukan lagi "ejen bebas".
Azalina Othman Said, Umno

Hak rakyat lebih utama
Saya hendak tekankan di sini ialah apabila kita berbincang tentang rang undang-undang anti-hopping, jangan kita terlalu banyak memusatkan perhatian kita kepada ahli Dewan Rakyat yang melompat, hak dia. Eh! jangan cakap "his rights", dia sudah lompat. Apa yang pentingnya, kita hendak bincangkan tentang hak rakyat. Itu yang penting. Kita mesti tekankan tentang hak dia, jauh lebih penting daripada hak ahli Parlimen yang telah melompat supaya kita jangan hilang panduan. Kita selalu bercakap tentang ahli Parlimen ini ada haklah, freedom of the session, jadi kita kena fikir tentang dia. No, kita kena fikir tentang hak, yang penting ialah hak rakyat yang telah pun menaruh harapan kepada seseorang itu dipilih menjadi wakil rakyat, mewakili parti yang disokong oleh rakyat itu. Akan tetapi kalau ahli Dewan Rakyat itu rasa dia hebat sangat, dia boleh menang, dia juga boleh bertanding bebas, lawanlah. 
Nazri Aziz, Umno