- Iklan -
Berita

Penganjur George Town Festival dituduh padam warisan Melayu selepas klip promosi undang kecaman

Video promosi acara tahunan itu diturunkan penganjur yang menyatakan rasa kesal sekiranya ia menyinggung perasaan 'sesetengah individu atau kumpulan'.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Beberapa tangkap layar daripada video promosi George Town Festival yang kini diturunkan selepas dakwaan ia menyisihkan warisan Melayu-Islam Pulau Pinang.
Beberapa tangkap layar daripada video promosi George Town Festival yang kini diturunkan selepas dakwaan ia menyisihkan warisan Melayu-Islam Pulau Pinang.

Sebuah klip video mempromosikan penganjuran sebuah festival seni tahunan di Pulau Pinang mencetuskan perdebatan mengenai penampilan budaya masyarakat peribumi Melayu, di sebalik kritikan pedas seorang sejarawan yang menuduh penganjur dan pihak berkuasa terlibat dalam "penghapusan" warisan kira-kira separuh daripada penduduk negeri itu. 

Video berdurasi hampir dua minit untuk mempromosikan George Town Festival 2024 itu antaranya menampilkan opera Cina dan persembahan muzik klasik India, tetapi unsur warisan Melayu-Islam yang mencorakkan sejarah Pulau Pinang sejak berkurun lamanya langsung tidak dimuatkan.

"Pulau Pinang sedang memadamkan ingatan Melayu-Islam dalam penganjuran George Town Festival 2024," kata Ahmad Murad Merican, profesor sejarah di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), pusat pendidikan pascasiswazah di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Komen beliau di Facebook mendapat pelbagai reaksi, rata-ratanya mengatakan isu tersebut bukanlah perkara baru, sambil mendakwa usaha untuk menyisihkan sejarah masyarakat Melayu Islam di Pulau Pinang sudah dikesan dalam festival itu sejak ia pertama kali dianjurkan pada 2010. 

Murad turut menyalahkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta kumpulan Melayu di Pulau Pinang dengan mendakwa mereka gagal menghentikan trend itu, sambil menambah ia membawa kepada "memorycide" dan "ethnocide".

Memorycide dan ethnocide merupakan istilah sosiologi merujuk kepada penghapusan budaya secara sengaja bagi memadam semua jejak dan peninggalan fizikal sesebuah kumpulan etnik, termasuk cara hidup, bahasa dan perwatakan.

Video tersebut bagaimanapun diturunkan penganjur, dan digantikan dengan klip baru, yang juga didapati tidak menampilkan sebarang warisan Melayu di negeri itu.

'Acara berniat inklusif'

Penganjur George Town Festival mengesahkan video itu sudah pun diturunkan. 

Dalam kenyataannya, ia menyatakan rasa "kesal" sekiranya video itu "menyinggung perasaan sesetengah individu atau kumpulan".

"Sebenarnya, kesemua perancangan dan promosi George Town Festival 2024 telah mencuba sedaya upaya dalam memastikan perwakilan yang inklusif, komprehensif dan seimbang, termasuk dari segi kategori program, kumpulan jantina, umur dan perwakilan etnik dalam semua program George Town Festival," katanya, sambil menambah beberapa pihak dari pelbagai latar belakang etnik telah dijemput menjadi sebahagian daripada video promosi tersebut.

Sementara itu, penganjur utama festival, George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), berkata ia memandang serius kritikan terhadap kepelbagaian etnik dalam festival berkenaan. 

Menurut GTWHI, 53 daripada 80 program yang diisi sepanjang acara itu melibatkan "artis tempatan dalam bentuk filem, teater, pameran, seni pemasangan dan pengalaman deria silang". 

GeorgeTownFestival_TeamSemakan MalaysiaNow pada laman web festival itu menunjukkan pasukan penganjur terdiri daripada 24 individu dari Kerson Media Global Sdn Bhd - kontraktor dilantik untuk menguruskan festival itu - yang kesemuanya berbangsa Cina kecuali seorang wanita Melayu.

"Pihak kami telah menasihati pihak kontraktor festival iaitu Kerson Media Global Sdn Bhd untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan meningkatkan promosi program tempatan dalam masa terdekat," kata GTWHI.

MalaysiaNow sedang cuba mendapatkan respons Kerson Media Global Sdn Bhd.

'Penindasan serius terhadap budaya'

Bercakap kepada MalaysiaNow, Murad berkata festival itu mengetepikan budaya masyarakat peribumi Melayu selama lebih sedekad sejak ia pertama kali dianjurkan pada 2010. 

"Ini adalah satu pencerobohan, penindasan budaya dan memori yang amat serius sekali. Sebab itu saya sebut dua, ethnocide dan memorycide," katanya. 

Ujarnya lagi, video teaser itu menunjukkan bagaimana budaya Melayu-Islam kini telah pupus sama sekali daripada festival tahunan itu.

"Bau Melayu pun tak ada, bunyi pun tak ada," kata Murad kepada MalaysiaNow. 

Ahmad Murad Merican.
Ahmad Murad Merican.

Murad turut melahirkan kekesalan video itu lebih banyak memaparkan wajah asing. 

George Town Festival adalah acara kebudayaan tahunan yang asalnya adalah perayaan menyambut pengisytiharan bandar raya George Town sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2008.

Festival itu meraikan seni dan budaya, dengan menampilkan artis dan aktivis seni luar negara yang menyertai pertunjukan pentas dan forum.

Murad berkata selama ini, budaya Melayu-Islam hanya dihidangkan sekadar nama di festival itu, tanpa usaha serius untuk menunjukkan konteks Melayu yang menjadi peribumi di kedua-dua pulau dan tanah besar Pulau Pinang. 

“Apabila ditanya kepada penganjur beberapa acara sebegitu di Pulau Pinang selama 10 tahun lebih, dikatakan ya, ada orang Melayu. Ada jemput penglibatan Melayu. Tapi itu bukan soalnya. 

"Soalnya, menjemput orang Melayu atau artis Melayu tapi tiada perspektif penduduk asal, kan tak guna?" 

Beliau mengingatkan bahawa masyarakat Melayu Islam membentuk lebih separuh daripada penduduk di Pulau Pinang.

"Kita ada masalah dari segi lebih 50% daripada wajah-wajah penduduk Pulau Pinang ini disisihkan, disepikan. Ini satu benda yang penting dan kritikal." 

Pemimpin dan aktivis masyarakat terkenal Abdul Rahman Maidin pula menuntut penganjur memohon maaf atas video tersebut kerana memberi gambaran Pulau Pinang seolah-olah diduduki kaum Cina dan India sahaja.

"Adakah ia cubaan untuk menghapuskan budaya Melayu dari Pulau Pinang?" kata bekas presiden Dewan Perniagaan Melayu itu kepada MalaysiaNow.

"Ia mendedahkan muslihat politik untuk mempromosi kaum Cina dan India sebagai kaum utama yang dominan," katanya sambil menambah pihak berkuasa yang terlibat perlu tampil memberikan penjelasan. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.