- Iklan -
Berita

Genap seminggu mogok lapar, tiada satu pun pemimpin kerajaan datang menjenguk lelaki bantah Israel

Selepas 200 jam, Mythreyar Mutturamalinggam akan menamatkan mogok laparnya untuk membantah rancangan menjual saham MAHB kepada syarikat milik BlackRock yang terpalit jenayah Israel.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Mythreyar Mutturamalinggam berteduh di satu sudut Dataran Merdeka, meneruskan mogok lapar membantah penjualan saham MAHB kepada sebuah syarikat milik BlackRock yang terpalit jenayah perang Israel.
Mythreyar Mutturamalinggam berteduh di satu sudut Dataran Merdeka, meneruskan mogok lapar membantah penjualan saham MAHB kepada sebuah syarikat milik BlackRock yang terpalit jenayah perang Israel.

Genap seminggu mogok laparnya membantah penyertaan sebuah syarikat dimiliki dana pelaburan BlackRock yang berdepan tuduhan bersubahat dengan jenayah perang Israel, Mythreyar Mutturamalinggam masih belum menerima kunjungan mana-mana ahli Parlimen kerajaan.

Ia walaupun mogok lapar Mythreyar yang berpengkalan di Dataran Merdeka hanya 2 km dari bangunan Parlimen, di mana dia berjemur di siang hari dan tidur beralaskan tilam nipis, dikelilingi pelbagai poster membantah rancangan menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat dimiliki penuh BlackRock.

Rancangan itu dipertahankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang menuduh pengkritik cuba menjadi jaguh di samping bersikap "lebih Hamas daripada Hamas".

Mythreyar bagaimanapun berkata beberapa ahli Parlimen  pembangkang ada mengunjunginya, termasuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Bersatu dan Bakri Jamaluddin dari PAS. 

Semalam, Wan Ahmad Fayhsal berkata perhimpunan besar-besaran membantah BlackRock akan dianjurkan sekiranya kerajaan masih berdegil tidak mahu membatalkan rancangan penjualan saham itu.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Mythreyar yang pada awalnya merancang mogok lapar selama tiga hari, berkata akan menamatkannya esok pada jam 4.30 petang, iaitu genap 200 jam sejam memulakan mogok laparnya.

Menurut Mythreyar, doktor menasihatinya untuk menamatkannya segera.

"Doktor sarankan kalau boleh jangan sambunglah kerana ada risiko buah pinggang rosak," kata lelaki berusia 46 tahun yang merupakan aktivis dari Sekretariat Solidariti Palestin (SSP).

Mytheyar berkata keputusannya memanjangkan mogok lapar didorong oleh kata-kata semangat orang awam yang lalu lalang.

SSP turut menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan kesihatannya. 

"Walaupun kami mengagumi keberanian dan ketabahan yang ditunjukkan, kami bimbang dengan tahap kesihatan beliau yang semakin merosot. Mengambil kira perkara ini, kami telah merayu kepada Saudara Mytheyar untuk menghentikan mogok laparnya," katanya dalam kenyataan.

SSP turut menjemput orang ramai yang menyokong perjuangan Palestin untuk menghadiri sidang media di Dataran Merdeka bagi meraikan usaha Mythreyar.

Di bawah rancangan yang disokong Anwar, GIP akan memiliki 30% kepentingan dalam sebuah konsortium menguruskan MAHB, bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diterajui beliau sendiri.

Langkah itu mencetuskan bantahan pemimpin masyarakat sivil dan kumpulan pro-Palestin yang menuntut kerajaan membatalkan perjanjian itu memandangkan pemilik GIP, BlackRock, berdepan tuduhan bersubahat dalam kempen pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 35,000 orang awam.