- Iklan -
Berita

Putrajaya mahu Wan Fayhsal digantung 6 bulan di sebalik bantahan terhadap syarikat milik BlackRock

Menteri Azalina Othman Said menuduh ahli Parlimen Machang itu menjatuhkan maruah pegawai KWSP ketika membaca kandungan surat layang di Dewan Rakyat.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal merupakan ahli Parlimen yang paling lantang bersuara membantah keputusan kerajaan menjual saham MAHB kepada sebuah syarikat milik BlackRock, dana pelaburan yang terpalit jenayah Israel.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal merupakan ahli Parlimen yang paling lantang bersuara membantah keputusan kerajaan menjual saham MAHB kepada sebuah syarikat milik BlackRock, dana pelaburan yang terpalit jenayah Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said telah mengemukakan usul tergempar untuk menggantung Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Dewan Rakyat, ahli Parlimen Perikatan Nasional yang paling lantang bersuara di Dewan Rakyat membantah rancangan membawa masuk sebuah syarikat milik pengurus dana AS BlackRock ke dalam konsortium menguruskan lapangan terbang seluruh negara.

Dalam suratnya kepada Speaker Johari Abdul, Azalina merujuk ucapan ahli Parlimen Machang itu pada 1 Julai yang memetik kandungan "surat layang" yang tular, mendakwa seorang pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai dalang perjanjian menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

"Ramai kakitangan KWSP tidak berani bersuara. Jadi mereka minta kami, pihak pembangkang suarakan kebimbangan mereka. Mereka tidak mahu bersubahat dengan keputusan kerajaan Madani menjual saham dan dana KWSP," Wan Fayhsal berkata dalam ucapannya.

Azalina berkata tindakan Wan Fayhsal itu menjatuhkan maruah pegawai KWSP yang dimaksudkan apabila mengulangi dakwaan surat tersebut bahawa dia tidak disukai kakitangannya.

"Dakwaan YB Machang adalah merupakan satu perbuatan yang seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai-pegawai agensi di bawah kementerian yang telah bertungkus lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia.

"YB Machang telah mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius dan bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan," kata Azalina.

Di bawah pelan diumumkan Putrajaya, GlP milik BlackRock akan membeli 30% kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB bersama-sama Khazanah Nasional dan KWSP, dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ia mencetuskan bantahan disebabkan reputasi BlackRock yang  memperkasakan ekonomi Israel dan pelaburannya yang meluas dalam industri senjata AS, di samping keperluan kerajaan membawa masuk entiti asing memiliki kepentingan MAHB yang mencatatkan keuntungan bersih lebih setengah bilion ringgit tahun lepas.

Anwar telah berulang kali mempertahankan keputusan untuk menjual saham MAHB kepada GIP, dengan alasan kerajaan tidak boleh memutuskan hubungan dengan syarikat yang berurusan dengan Israel, di samping langkah tersebut akan "menjejaskan ekonomi negara".

Beliau turut mendakwa pemimpin Hamas tidak mempunyai masalah apabila Malaysia menjalankan perniagaan dengan syarikat pro-Israel.

Pada hari sama, Hamas mengeluarkan kenyataan menggesa negara Islam dan penyokong Palestin meneruskan boikot terhadap Israel dan mana-mana pihak yang menyokongnya. Ia turut menyifatkan kempen global setakat ini telah mencapai "kejayaan penting dalam menjejaskan ekonomi entiti itu, mengasingkannya, dan memadamkan legitimasinya".