Perdana Menteri Anwar Ibrahim diingatkan supaya jangan terlalu beremosi dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat, selepas ucapannya baru-baru ini yang menetapkan syarat "tidak maki hamun" apabila memohon dana kerajaan.
“Adalah tidak wajar bagi seorang perdana menteri untuk hilang sabar,” kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.
"Ada kalanya orang kutuk pemimpin mereka, seperti juga Anwar sendiri yang dulu kerap menyerang pemimpin Barisan Nasional. Tetapi tidak sepatutnya mereka dinafikan apa sahaja dana yang diperuntukkan kerajaan."
Ahad lalu, ketika mengumumkan peruntukan sebanyak RM130 juta dalam bentuk subsidi tambahan diesel dan inisiatif pembangunan untuk peneroka Felda, Anwar berkata kerajaan bersedia memberikan lebih banyak peruntukan selagi rundingan dilakukan secara "baik-baik".
"Macam mana nak dapat subsidi? Runding baik-baik. Saya ini wakil saudara, runding baik-baik, kita cari penyelesaian.
"Kalau maki hamun tidak dapat, lagi kuat kamu maki lagi menyampah aku nak layan," kata Anwar.
Anwar kemudian menggambarkan bagaimana mudahnya beliau boleh meluluskan peruntukan.
"Saya tanya, berapa kos lebih kurang kita kena bagi Felda supaya dapat salur ke bawah? Dia kata dalam RM100 juta.
"Hari Jumaat, terus saya kata, lulus RM100 juta bantuan subsidi."
Zaid bagaimanapun mengingatkan Anwar peruntukan itu adalah wang milik kerajaan.
"Ia bukan milik peribadi sesiapa."
Anwar sebelum ini meletakkan syarat serupa dalam memberikan peruntukan bagi kawasan pembangkang, sikap yang mengundang kritikan di sebalik janjinya sebelum ini untuk mengagihkan peruntukan pembangunan secara sama rata kepada semua ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan antara yang paling lantang mempersoalkan keengganan Anwar memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.
Pada 1 Julai, presiden MUDA itu menamatkan larian solo sejauh 200km dari Muar ke bangunan Parlimen untuk mengumpul dana bagi kawasannya, di samping memberikan kesedaran umum mengenai isu itu.
Anwar bagaimanapun menyindir Syed Saddiq, dan mengulangi pendiriannya untuk tidak memberikan dana selagi ahli Parlimen tidak berunding dengan kerajaan.
"Tak payah berlari, joging ke tak payah. Runding sahaja, bincang, selesai."
Ketua Penerangan Bersatu Wilayah Persekutuan Tun Faisal Ismail Aziz turut menyelar Anwar, menyifatkan ucapannya tidak wajar daripada seorang berstatus PM.
"Saya fikir Anwar kena dilatih semula bercakap sebagai PM kerana sebelum-sebelum ini, PM Malaysia adalah courteous (berhemah) dan menjaga tutur kata mereka sesuai dengan kedudukan mereka sebagai PM," Tun Faisal memberitahu MalaysiaNow.
Tun Faisal turut berkata peruntukan yang diumumkan Anwar kepada Felda adalah hak mereka, susulan penarikan subsidi diesel oleh kerajaan.
"Peruntukan ini juga bukan wang Anwar, sebaliknya wang rakyat yang dikutip melalui cukai yang semakin tinggi," kata Tun Faisal, bekas timbalan ketua Umno Putrajaya yang dipecat dari parti itu tahun lalu.