- Iklan -
Berita

Di tengah kesibukan bandar raya, penduduk lawan pemaju intai 'lubuk emas' di Kampung Baru

Tanah milik masyarakat Melayu yang wujud selama lebih satu abad dikelilingi struktur moden ini dicemburui pemaju yang kedatangan mereka mengundang pelbagai masalah.

MalaysiaNow
4 minit bacaan
Kongsi
Walaupun masih dikenali sebagai 'kampung', nilai sebenar hartanah di Kampung Baru yang dihimpit pencakar langit adalah antara yang tertinggi di Malaysia.
Walaupun masih dikenali sebagai 'kampung', nilai sebenar hartanah di Kampung Baru yang dihimpit pencakar langit adalah antara yang tertinggi di Malaysia.

Terletak di tengah-tengah kesibukan Kuala Lumpur, Kampung Baru menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa bersejarah dan perubahan ibu negara itu selama lebih satu abad, daripada sebuah bandar perlombongan kepada sebuah bandar raya dikelingi antara pencakar langit tertinggi di dunia.

Walaupun kekal dikenali sebagai "kampung", nilai hartanah di kawasan ini sebenarnya antara yang tertinggi di Malaysia.

Ini tidak memeranjatkan, memandangkan ia hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC, antara kawasan yang paling pesat dan moden di Kuala Lumpur dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.

Faktor nilai tanah ini menjadi punca Kampung Baru menjadi tumpuan pemaju sejak beberapa dekad, yang mula mengintai keuntungan besar sekiranya membangunkan kawasan ini dengan kompleks perumahan untuk dijual pada harga pasaran.

Penduduk di sini rata-rata berpendapatan sederhana dan rendah, dan disebabkan itu ramai yang sedia menerima tawaran pemaju walaupun ia amat rendah sekiranya diambil kira lokasinya di tengah-tengah bandar raya paling besar di Malaysia.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Puan Ida merupakan antara generasi keempat anak jati Kampung Baru. 

Salah sebuah bangunan flat di Kampung Sungai Baru yang sedang dirobohkan.
Salah sebuah bangunan flat di Kampung Sungai Baru yang sedang dirobohkan.

Wanita berusia 40 tahun ini antara yang tidak setuju dengan tawaran harga untuk rumah kelahirannya, sebuah unit milik ibu bapanya di salah satu blok flat di sini.

Kini, kawasan flat itu menjadi rebutan pemaju untuk projek pembangunan kondominium mewah. 

Ida dan penduduk lain dipaksa keluar dan mencari tempat tinggal baru meskipun berulang kali menegaskan tidak akan menandatangani mana-mana persetujuan dengan pemaju atau wakil kerajaan.  

Terdapat kira-kira 10 keluarga yang masih tinggal di flat Kampung Sungai Baru, menjalani kehidupan dalam kebimbangan mengenai masa depan yang tidak menentu. 

Tinjauan MalaysiaNow baru-baru ini mendapati beberapa unit flat itu masih didiami. 

Suasana di kawasan itu amat daif, dikelilingi tiang besi yang dipacak sebagai penghadang.

Manakala serpihan batu yang dipecahkan dari blok yang kosong merata-rata, selain tanah yang digembur oleh jentolak untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan. 

Penghuni flat yang masih berada di situ ialah mereka yang tinggal berseorangan dan berkeluarga, termasuk warga emas dan bayi.

Beberapa penduduk berkumpul di luar rumah mereka di Kampung Sungai Baru, sebahagian daripada Kampung Baru di Kuala Lumpur.
Beberapa penduduk berkumpul di luar rumah mereka di Kampung Sungai Baru, sebahagian daripada Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Sebelum ini, menteri yang bertanggungjawab mengenai Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, berkata pecah tanah projek pembangunan Kampung Sungai Baru akan dilaksanakan akhir tahun ini dengan kerja-kerja pembinaan bermula pada suku pertama 2025.

MalaysiaNow difahamkan, kira-kira 270 penduduk flat bersetuju menerima tawaran pampasan daripada pemaju, manakala 74 tidak bersetuju. 

Sementara hanya 27 pemilik rumah teres di belakang kawasan flat bersetuju menerima tawaran, manakala 37 lagi tidak bersetuju. 

Zaliha menjelaskan disebabkan majoriti bersetuju berpindah, kerajaan akan dengan projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

Bagaimanapun, Ida dan jiran-jirannya tidak bersetuju.

KampungBaru_KL4_170724_MnowMenurutnya, pemaju mula "mengintai" pasaran hartanah di Kampung Baru sejak pilihan raya umum (PRU) 2013, selepas Johari Abdul Ghani pertama kali menang di kerusi Parlimen Titiwangsa yang merangkumi kawasan itu. 

Pada 2018, kerusi itu bertukar tangan kepada Rina Harun dari Bersatu, sebelum kembali kepada Johari pada PRU ke-15 lalu.

Bagi Ida, bekas ahli Parlimen Titiwangsa PAS, arwah Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali, yang meninggal dunia pada 2011, merupakan antara wakil rakyat yang "yang betul-betul pertahankan Kampung Baru dari kemasukan pemaju". 

MalaysiaNow telah menghubungi Johari untuk mendapatkan respons.

Jiran Ida, suri rumah yang mahu dikenali sebagai Puan Mas, mempersoalkan pihak berkuasa yang menurutnya tidak membela hak dan masa depan mereka. 

Katanya, disebabkan kedatangan pemaju, penduduk setempat juga mula berpecah belah dan bermusuhan sesama sendiri.

Menurutnya, mereka yang enggan menerima pampasan yang ditawarkan dipandang serong penduduk lain yang bersetuju berpindah.

"Sedangkan kecil-kecil dulu kami bermain bersama, jalan kaki balik sekolah bersama dan susah senang bersama," kata Mas kepada MalaysiaNow. 

Tambahnya, ia sampai ke satu tahap di mana penduduk yang enggan berpindah pernah menerima ancaman.

Mas mempertahankan keputusannya untuk tidak berpindah kerana merasakan pampasan ke atas tanah yang ditawarkan oleh pemaju sangat rendah. 

Pemaju difahamkan menawarkan antara RM450 hingga RM500 setiap kaki persegi, meliputi lebih 100 pemilik kediaman pangsapuri dan rumah teres yang terkesan.

Ida berkata nilai hartanah di Kampung Baru amat tinggi.

Tambahnya, projek pembangunan kondominium itu juga dilaporkan akan dijual mencecah nilai jutaan ringgit bagi seunit.

Menurutnya, untuk rumahnya dengan satu bilik, harga yang ditawarkan ialah antara RM180,000 dan RM200,000. 

"Mana kami nak beli rumah? Harga lelong pun tak dapat. Sekurang-kurangnya berikan kami nilai yang berbaloi untuk kami tinggalkan semua ni dan tidak berpaling lagi."

Ketika tinjauan MalaysiaNow, kedengaran suara seorang wanita menjerit dari sebelah rumah Ida.

Zura dan suaminya mendapati rumah mereka dipecah masuk dan barang-barang berharga hilang.
Zura dan suaminya mendapati rumah mereka dipecah masuk dan barang-barang berharga hilang.

Zura dan suaminya baru sahaja tiba menjenguk keadaan rumah mereka sebelum memulakan proses memindahkan barang.

Dia mendapati rumahnya dipecah masuk dan barang-barang berharga hilang, termasuk sebuah motosikal skuter dan empat biji tabung berisi duit simpanan anak mereka.

"Semua barang-barang ni saya kemas elok sebelum tinggal sebab nak dibawa keluar. Bukan macam ni keadaannya," kata Zura, yang menjalankan perniagaan biskut dan kek.

Sejak pandemik Covid-19, perniagaannya merosot dan kini terpaksa mencari tempat baru apabila beberapa kali diminta untuk mengosongkan rumah. 

Menurutnya, dia belum menerima notis untuk berpindah.

Zura antara penduduk Kampung Baru yang terkesan dari segi psikologi akibat isu berpanjangan mengenai pembangunan Kampung Baru, menyebabkan ramai bimbang masa depan mereka.

Pada waktu malam, sesekali kedengaran bunyi letupan kecil di kawasan flat itu, dan siangnya besi-besi gril tingkap didapati dicabut dan dibawa lari.

Penduduk kini bimbang keselamatan mereka, dan ini ditambah pula dengan keputusan Air Selangor memotong bekalan.

Seorang penduduk berkata pekerja Air Selangor sendiri bersimpati dengan apa yang berlaku, lalu mencadangkan kepada mereka membuat sambungan "haram" untuk mendapatkan bekalan air.

"Kenapa nak potong air? Permohonan pembangunan (DO) pun tak ada lagi," katanya kepada MalaysiaNow. 

Sebelum ini, bekalan elektrik dipotong menyebabkan penduduk hidup ketakutan dalam kegelapan dan sangat tidak selesa.

"Ketika air dan elektrik dipotong, seorang yang mengaku mewakili pemaju ada datang dengan polis, bomba, imigresen dan DBKL sambil tersenyum sinis kepada kami," tambahnya.

KampungBaru01_Mnow_170724

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.