- Iklan -
Berita

'Tok sah datang' ke Nenggiri, Ku Li beritahu DAP

Veteran Umno itu berkata pemimpin DAP tidak fasih Bahasa Melayu, malah ucapan mereka berpaksi kepada masyarakat Cina.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Tengku Razaleigh Hamzah berkata kempen BN di PRK Nenggiri tidak memerlukan penyertaan DAP yang disifatkannya hanya mementingkan isu berkait masyarakat Cina.
Tengku Razaleigh Hamzah berkata kempen BN di PRK Nenggiri tidak memerlukan penyertaan DAP yang disifatkannya hanya mementingkan isu berkait masyarakat Cina.

Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata DAP, rakannya di peringkat kerajaan persekutuan, tidak perlu hadir berkempen di Nenggiri menjelang pilihan raya kecil di kerusi negeri Kelantan itu, di mana pemimpin veteran itu mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) dalam PRK yang diadakan lebih sebulan selepas kekalahan teruk kerajaan campuran di Sungai Bakap.

Razaleigh berkata tidak ada sebab untuk pemimpin parti majoriti Cina itu untuk turun berkempen di kawasan yang "100% Melayu".

"Bagi saya, logiknya, apa guna nak bawa DAP ke kawasan Melayu?" Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, memberitahu MalaysiaNow. "Dia (DAP) cakap Melayu pun tak betul."

Razaleigh berkata ucapan DAP sentiasa berpaksikan kepentingan masyarakat Cina.

"Apa untungnya? Dia ke sana dia buang masa dia, dan dia buang masa kita. Orang Melayu di Nenggiri nak dengar pandangan orang Melayu terhadap orang Melayu di situ," katanya.

Pendirian Razaleigh itu selang beberapa hari selepas Pengerusi DAP Kelantan Azaha Abdul Rani melancarkan jentera Pakatan Harapan (PH) untuk PRK Nenggiri.

Azaha berkata petugas DAP sanggup berkhemah di kawasan Orang Asli sepanjang tempoh kempen bagi memastikan masyarakat itu keluar mengundi pada 17 Ogos nanti.

"Sasaran kami 90% daripada lebih 2,700 Orang Asli akan keluar pada hari tersebut. Manakala pengundi Melayu kita serah pada BN dan Amanah," katanya dipetik Sinar Harian.

Rafizi dilarang?

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Umno, yang sedang bergelut dengan kemerosotan sokongan orang Melayu sejak pilihan raya umum lalu berikutan kerjasamanya dengan PH, telah menyenaraikan beberapa nama ahli politik yang dilarang menyertai kempen BN pada PRK Nenggiri.

Antara nama yang dikatakan dalam senarai itu ialah Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, pengarah kempen PH di Sungai Bakap yang menyaksikan kekalahan teruk gabungan itu di sebalik beberapa dasar kerajaan termasuk penghapusan subsidi diesel.

Ditanya sama ada Rafizi dilarang berkempen, Razaleigh berkata beliau tidak pernah menamakan secara khusus menteri ekonomi itu.

"Saya tak kata apa-apa. Saya tak ada sekat sesiapa. Saya kata ada orang yang tak perlu datang kempen," katanya.

"Macam pemimpin DAP, dengan pengundi 100% Melayu situ, tok sah datanglah."

Pilihan raya di Nenggiri, sebuah kerusi di bawah kawasan Parlimen Gua Musang yang pernah diwakili Razaleigh selama lebih empat dekad, diadakan selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim, hilang keahlian Bersatu kerana berpaling tadah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sekaligus melanggar perlembagaan parti.

Nenggiri merupakan satu-satunya kerusi milik ahli Bersatu yang berpaling tadah di mana pilihan raya semula diadakan, sejajar dengan undang-undang lompat parti yang diluluskan pada 2022.

Tujuh kerusi lain, iaitu satu kerusi negeri di Selangor dan enam kerusi Parlimen termasuk Gua Musang yang juga disandang Azizi, tidak diisytiharkan kosong selepas keputusan kontroversi speaker.

Pada pilihan raya negeri tahun lepas, Azizi menewaskan calon BN di Nenggiri, iaitu beberapa bulan selepas beliau menjadi antara "giant slayers" menumpaskan gergasi politik, apabila menewaskan Ku Li di Gua Musang pada pilihan raya umum November 2022.

Sementara itu, Razaleigh enggan menyatakan mengenai peluang Umno pada PRK Nenggiri, sebaliknya hanya boleh mengharapkan kemenangan.

"Saya tidak mendahului Tuhan," tambahnya.

Menurutnya, Umno tidak menyertai kempen di Sungai Bakap bulan lepas kerana parti itu bukan sebahagian daripada PRK itu.

"PH perjuangkan lain daripada apa yang kita pejuangkan, dan orang Melayu berpendapat begitulah," katanya sambil menambah orang Melayu akan terus menolak PH selagi Anwar tidak mempunyai "base" sokongan Melayu.