- Iklan -
Berita

'Jangan menari dengan PAS dan Umno', Guan Eng serang Fadhlina enggan batalkan larangan dana syarikat arak untuk sekolah

Pemimpin DAP itu berkata Fadhlina Sidek tidak patut bersikap seperti 'menteri pendidikan PAS'.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tidak sepatutnya mengikut rentak pemimpin PAS dan Umno dalam mempersoalkan sumbangan diterima sekolah Cina daripada syarikat arak.
Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek tidak sepatutnya mengikut rentak pemimpin PAS dan Umno dalam mempersoalkan sumbangan diterima sekolah Cina daripada syarikat arak.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng hari ini melancarkan serangan tajam ke atas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana enggan mengecualikan sekolah Cina daripada larangan syarikat arak menyumbang dana kepada sekolah di seluruh negara.

Lim turut menyasarkan serangannya terhadap pemimpin PAS dan Umno yang mempersoalkan kehadiran sebuah jenama arak terkenal dalam sebuah program kutipan dana dianjurkan sebuah sekolah Cina di Selangor, yang melanggar pekeliling Kementerian Pendidikan pada 2018 yang melarang sumbangan daripada syarikat arak, judi dan rokok.

Fadhlina antara lain menggesa semua sekolah mematuhi arahan itu di sebalik tekanan daripada pemimpin DAP, termasuk setiausaha agungnya Anthony Loke, yang mahu larangan itu dikaji semula.

Pendirian beliau disokong Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh, yang menggesa Loke tidak mempersoalkan peraturan sedia ada.

Bagaimanapun, Lim hari ini berkata Fadhlina tidak seharusnya "menari di atas pentas yang sama" dengan PAS dan Pemuda Umno dalam isu itu.

"Komen Fadhlina sebelum ini mengenai program kutipan dana pendidikan Cina agak keras," Lim dipetik akhbar harian berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau.

"Saya harap dia akan kaji semula pendiriannya. Dia bukan menteri pendidikan PAS, dan tidak sepatutnya mendengar kata PAS. Dia menteri pendidikan Pakatan Harapan, kerajaan perpaduan dan negara keseluruhannya."

Beliau turut memberikan amaran terhadap mana-mana pihak supaya tidak "campur tangan atau mengganggu" usaha mengumpul dana untuk pendidikan Cina.

Isu itu tercetus selepas pengguna media sosial mengecam pemimpin Amanah dan Ahli Parlimen Sepang, Aiman ​​Athirah Sabu, selepas penampilannya di majlis kutipan dana di sebuah sekolah Cina di kawasannya.

Aiman dilihat meraikan pengumuman sumbangan kepada sekolah tersebut di samping logo sebuah jenama arak terkenal.

Penglibatan jenama arak itu dalam sebuah program sekolah mengundang kritikan PAS, yang menyifatkan ia umpama menormalisasikan arak dalam kalangan pelajar sekolah, pandangan yang turut dikongsi aktivis pendidikan Cina dan bekas ahli Parlimen DAP, Kua Kia Soong.

"Apabila kanak-kanak melihat sekolah mereka berganding dengan syarikat arak, mereka mungkin mula melihat kerjasama ini dan produk mereka dalam perspektif yang baik. Ini menjejaskan usaha mendidik kanak-kanak tentang bahaya penyalahgunaan alkohol dan kepentingan membuat pilihan yang sihat berdasarkan maklumat betul," kata Kua.

Semalam, kenyataan Tiger Beer bahawa ia hanya terlibat dalam mengatur penyertaan artis tempatan dalam Konsert Amal Pendidikan Cina (CECC) untuk mengutip dana bagi sekolah Cina, hanya menimbulkan lebih banyak persoalan berkenaan penglibatan syarikat arak.

Kenyataan Tiger Beer itu turut diulangi Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata penyertaan jenama arak itu dalam program sekolah itu bukanlah berupa sumbangan, sebaliknya ia hanya persepsi.

"Dalam perkara ini ianya tidak pun menyebut tentang sumbangan daripada syarikat minuman keras itu kepada mana-mana sekolah sebagaimana persepsi yang wujud,” Zahid dilaporkan berkata.