- Iklan -
Berita

Umno cadang kembalikan sistem perwakilan dalam pemilihan parti ketika Zahid berusaha kukuhkan kedudukan

Usul supaya mengembalikan sistem yang hanya memberikan hak mengundi kepada 2,500 perwakilan turut menimbulkan kebimbangan politik wang.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Langkah mengembalikan sistem di mana hanya 2,500 perwakilan diberikan hak mengundi dalam pemilihan pimpinan tertinggi Umno dibimbangi akan menggalakkan politik wang.
Langkah mengembalikan sistem di mana hanya 2,500 perwakilan diberikan hak mengundi dalam pemilihan pimpinan tertinggi Umno dibimbangi akan menggalakkan politik wang.

Umno bercadang untuk kembali kepada sistem lama pemilihan parti melibatkan jawatan tertinggi di peringkat pusat, selepas lebih sedekad beralih kepada sistem yang memberikan lebih ramai ahli parti di seluruh negara untuk memilih kepimpinan tertinggi, MalaysiaNow difahamkan.

Langkah itu semakin mendapat tentangan dalam kalangan akar umbi, dan dilihat sebagai usaha menguatkan kedudukan presidennya Ahmad Zahid Hamidi menjelang pemilihan parti yang akan diadakan pada 2026, di sebalik kemerosotan sokongan kepada Umno sejak pilihan raya umum 2022.

Ia merupakan antara usul yang hangat dibincangkan pada mesyuarat perwakilan di peringkat bahagian menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan berlangsung bermula 20 Ogos ini.

Usul itu dijangka dibahaskan pada perhimpunan kali ini dan akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi. 

Jika diluluskan, setiap bahagian Umno akan menghantar 15 perwakilan di samping enam perwakilan dari setiap sayap parti untuk memilih kepimpinan tertinggi.

Usul yang dilihat MalaysiaNow itu meminta ahli Majlis Tertinggi Umno  mengkaji semula kaedah pemilihan parti yang sedia ada terutamanya pemilihan di peringkat pusat, termasuk jawatan presiden, timbalan dan naib presiden, di samping pemilihan kepimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri. 

Sumber memberitahu MalaysiaNow, cadangan kembali kepada sistem lama ialah kerana kaedah sedia ada dilihat tidak mencapai matlamat utama yang disasarkan oleh parti. 

"Kaedah yang digunakan sekarang menyebabkan perpecahan di mana terdapat banyak cai, dan ini memberikan gambaran tidak baik ketika berdepan pilihan raya umum nanti," kata seorang ketua bahagian Umno.

Katanya, ia membawa kepada kewujudan banyak puak.

"Jika satu bahagian tidak menyokong seseorang calon, maka bahagian berkenaan akan dianggap sebagai cai kepada pihak tertentu.

"Ini menyebabkan perpecahan yang teruk dan menjejaskan gerak kerja PRU," katanya dengan syarat namanya tidak diterbitkan. 

Alasan lain yang diberikan ialah masalah dalam soal jawatankuasa pemilihan parti, di samping masalah pemantauan dan logistik khususnya melibatkan proses pengundian peringkat bahagian Pemuda, Wanita dan Puteri Umno yang perlu dijalankan serentak. 

Pada 2009, Umno meminda perlembagaannya untuk melaksanakan pemilihan parti "satu bahagian satu undi".

Di bawah sistem itu, hampir 150,000 ahli akar umbi - meliputi 20,000 cawangan di 191 bahagian seluruh negara - berhak mengundi bagi memilih pemimpin tertinggi di peringkat pusat.

Ia disambut baik ketika itu kerana memberikan ruang demokrasi yang lebih besar kepada akar umbi parti, di samping dapat mengekang politik wang.

Pemilihan di bawah sistem baru itu pertama kali diadakan pada 2013.

Sebelum itu, peringkat bahagian hanya boleh mengundi untuk jawatan bahagian, manakala 2,500 perwakilan sahaja yang dipilih di peringkat bahagian akan dihantar ke PAU untuk memilih barisan kepimpinan tertinggi.

Setiap perwakilan pula dibekalkan tiga set kertas undi, iaitu pemilihan jawatankuasa peringkat bahagian, pemilihan tujuh perwakilan bahagian untuk menghadiri PAU, serta pemilihan peringkat Majlis Tertinggi termasuk presiden, timbalan presiden dan naib presiden.

'Politik wang'

Ramai di kalangan pimpinan bahagian membantah cadangan itu, dan mahu sistem pemilihan yang ada sekarang dikekalkan.

Mereka bimbang ia akan mengembalikan budaya "politik wang", di mana perwakilan seluruh negara boleh dipilih dan "dibeli" oleh pemimpin yang berkuasa dan bercita-cita tinggi di peringkat pusat.

"Ini juga akan membawa balik masalah politik wang," kata seorang ketua bahagian.

"Politik wang" merupakan istilah yang merujuk kepada rasuah musim pemilihan Umno pada tahun 1990-an, zaman di mana puak yang menyokong timbalan presiden ketika itu, Anwar Ibrahim, cuba melebarkan pengaruhnya untuk mengambil alih pucuk kepimpinan dari Dr Mahathir Mohamad.

"Biarkan ahli di peringkat akar umbi memilih pemimpin mereka kerana ini hak mereka, bukan hanya perwakilan yang dihantar ke Kuala Lumpur sahaja yang patut memilih," kata sumber yang sama kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, di bawah sistem lama, akan berlaku perebutan untuk menjadi perwakilan ke PAU.

"Perwakilan yang dipilih pula ada yang tidak membawa suara akar umbi, mereka akan pilih ikut suka hati mereka. 

"Masalah politik wang akan berleluasa di kalangan perwakilan. Itu yang kita tidak mahu,” katanya.