- Iklan -
Berita

Firma milik kerajaan Selangor adakan mesyuarat lembaga pengarah di luar negara

Selama empat hari, ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi dua syarikat milik Selangor akan mengadakan 'mesyuarat' dan 'lawatan tapak' di luar negara.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Antara eksekutif kanan dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd milik kerajaan negeri, yang juga termasuk ahli politik PH.
Antara eksekutif kanan dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd milik kerajaan negeri, yang juga termasuk ahli politik PH.

Dua syarikat milik kerajaan negeri Selangor akan mengadakan mesyuarat lembaga pengarah mereka di Perth, Australia bulan depan, di mana mereka akan turut mengisi masa terluang dengan program santai dan lawatan ke tempat tarikan pelancong, MalaysiaNow difahamkan.

Menteri Besar Amirudin Shari akan turut serta bersama ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd dalam lawatan itu, berbeza dengan amalan sebelum ini di mana mesyuarat lembaga pengarah diadakan dalam negara.

"Saya tidak dapat menyatakan mengapa mereka mahu mengadakan mesyuarat di luar negara kali ini. Mungkin juga kerana cuaca di Perth lebih dingin ketika ini?" kata seorang sumber di Menteri Besar Selangor Inc kepada MalaysiaNow.

Mengikut jadual program yang dilihat oleh MalaysiaNow, peserta akan menaiki dua penerbangan berasingan Malaysia Airlines pada 23 Ogos.

Ahli sekretariat yang menganjurkan program akan berlepas pada sebelah pagi, manakala "VIP, ahli lembaga pengarah dan pengurusan" akan menaiki penerbangan lain pada sebelah malam.

Kedua-dua syarikat akan mengadakan mesyuarat lembaga mereka secara berasingan pada hari pertama.

Tiada apa dijadualkan pada hari kedua, iaitu hari Ahad, melainkan jamuan makan malam dihadiri Amirudin dan pegawai kanan kerajaan Selangor.

Keesokan harinya, peserta akan dibawa ke "lawatan tapak" sebagai sebahagian daripada "lawatan teknikal" sebelum dibawa bersiar ke Fremantle, sebuah tarikan pelancong di Australia Barat.

Mereka akan berlepas ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya.

Tidak jelas bilangan yang akan menghadiri program empat hari itu. 

Semakan di laman web kedua-dua syarikat itu menunjukkan sekurang-kurangnya 25 orang membentuk lembaga pengarah dan pasukan pengurusan, tidak termasuk Amirudin dan anggota sekretariat.

Antaranya ialah Adun Pakatan Harapan Rajiv Rishyakaran (DAP) dan Azmizam Zaman Huri (PKR), setiausaha sulit Amirudin, Mohd Hidayat Mohd Sauffi, di samping ahli politik PKR Saipolyazan Mat Yusop, Kamarul Baharin Abbas dan Yahya Mat Sahri.

Rajiv, Azmizam dan Yahya tidak menjawab pertanyaan MalaysiaNow mengenai program itu.

Amirudin dan setiausaha akhbarnya juga tidak memberikan sebarang respons ketika dihubungi.