- Iklan -
Berita

Selepas diserang DAP kerana larang duit arak untuk sekolah, Fadhlina terima sokongan dari luar Kabinet

Aktivis menggesa Putrajaya bertegas mengekalkan pekeliling sedia ada di tengah-tengah tekanan terhadap menteri pendidikan untuk melonggarkan peraturan.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilihat bersendirian dalam Kabinet berdepan tekanan DAP melonggarkan peraturan melarang syarikat arak menderma kepada sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilihat bersendirian dalam Kabinet berdepan tekanan DAP melonggarkan peraturan melarang syarikat arak menderma kepada sekolah.

Pakar kesihatan awam dan aktivis pendidikan menggesa Putrajaya bertegas mengekalkan peraturan yang sedia ada melarang syarikat alkohol daripada terlibat dalam pengumpulan dana sekolah, ketika Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kelihatan bersendirian dalam Kabinet berdepan tekanan dari DAP.

Bekas pengarah kesihatan negeri Pahang, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata tidak ada keperluan mengkaji semula pekeliling Kementerian Pendidikan tahun 2018 yang melarang syarikat berkait rokok, perjudian dan arak memberikan sumbangan kepada sekolah.

"Arak, rokok, vape dan judi adalah elemen yang merosakkan generasi muda.

"Tak perlu dipromosi kepada kanak-kanak terutamanya di premis dan fasiliti pendidikan," katanya kepada MalaysiaNow, sambil menambah membenarkan penampilan jenama arak di program sekolah adalah duluan yang mengundang kesan buruk.

Menurut Zainal, kedua-dua Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan sepatutnya berganding bahu dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang menganjurkan program seumpama itu.

Beliau tidak terkejut dengan reaksi yang ditimbulkan daripada kontroversi baru-baru ini.

"Mereka sentiasa mencari peluang dan lompong undang-undang," tambahnya.

Sumber yang rapat dengan pimpinan PKR di Putrajaya memberitahu MalaysiaNow, kekecewaan semakin meningkat di Kementerian Pendidikan disebabkan sikap pentadbiran Anwar Ibrahim yang menurutnya tidak bertegas mempertahankan dasar kerajaan sendiri.

Ia susulan timbalan perdana menteri sendiri turut mengulangi naratif diberikan sebuah jenama bir yang terlibat dalam kontroversi mengumpul dana sebuah sekolah Cina baru-baru ini.

Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengulangi penjelasan oleh Tiger Beer - jenama arak yang terlibat dalam sebuah acara sekolah yang mencetuskan kontroversi tersebut - dengan berkata penglibatannya sekadar menyediakan artis tempatan untuk menyertai kutipan sumbangan di bawah siri Konsert Amal Pendidikan Cina (CECC).

Sumber yang sama berkata semakin ramai penjawat awam di Kementerian Pendidikan terkilan dengan sikap tidak tegas ditunjukkan pemimpin politik dalam melaksanakan peraturan kerajaan sendiri yang melarang derma daripada syarikat arak, perjudian dan tembakau kepada sekolah-sekolah.

"Sepatutnya, perdana menteri sendiri tampil ke hadapan untuk menyatakan pendirian tegas, kerana pekeliling larangan itu jelas," sumber itu memberitahu MalaysiaNow dengan syarat identitinya dirahsiakan.

Ketika dihubungi mengulas dakwaan itu, seorang pegawai Kementerian Pendidikan enggan menjawab.

Bagaimanapun, menurutnya, sejak 2018, tingkah laku ahli politik sering merumitkan keadaan dengan membangkitkan unsur kaum dan agama sedangkan dasar yang ada "mudah difahami dan sudah pun diterima secara universal".

"Banyak negara bukan Islam di Barat mempunyai dasar jelas penajaan syarikat arak di sekolah. Yang kat sini, mengapa bising pula?" katanya.

Pada Jumaat, Pengerusi DAP Lim Guan Eng melancarkan serangan tajam terhadap Fadhlina selepas enggan mengecualikan sekolah Cina daripada larangan syarikat arak menyumbang dana, di sebalik tekanan daripada pemimpin DAP, termasuk setiausaha agung parti itu dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang secara terbuka menggesa larangan itu dikaji semula.

"Dia (Fadhlina) bukan menteri pendidikan PAS, dan tidak sepatutnya mendengar kata PAS. Dia menteri pendidikan Pakatan Harapan, kerajaan perpaduan dan negara keseluruhannya," Lim dipetik sebagai berkata dalam satu sidang media dihadiri media berbahasa Cina.

Serangan Lim itu bagaimanapun tidak mengundang respon dari rakan Kabinet Fadhlina.

Sebaliknya, bekas senator yang merupakan anak kepada mentor Anwar ketika mereka terlibat dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), menerima kata-kata sokongan daripada PAS dan Pemuda Umno.

Dr Akmal Salleh, ketua Pemuda Umno, menggesa Loke tidak mempersoalkan peraturan sedia ada, dan menyelar Lim kerana kenyataan "biadap" terhadap Fadhlina.

Sementara itu, pakar dan kumpulan pendidikan menggesa kerajaan bertegas dalam isu itu.

Sebuah kumpulan pendesak mengkritik program pengumpulan dana yang memaparkan logo Tiger Beer.

"Sebagai langkah pencegahan, polisi yang lebih ketat perlu dikenakan untuk mengehadkan iklan alkohol di kawasan yang sering dikunjungi oleh remaja seperti sekolah, pusat beli-belah, dan kompleks sukan termasuk tajaan program melibatkan institusi pendidikan," kata Public Health Malaysia di laman Facebooknya.

'Mengapa tak derma secara diam-diam?'

PAGE, atau Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia, berkata kekecohan yang dicetuskan oleh mereka yang mempertahankan penglibatan syarikat arak dalam kutipan dana sekolah menunjukkan sikap hipokrit.

"Ini seolah-olah membuka 'can of worms' yang membenarkan syarikat rokok dan tembakau juga memberi sumbangan, atau jenama mereka boleh dipaparkan di kawasan sekolah.

"Kini nampaknya sekolah boleh dijadikan medan promosi syarikat sebegini walaupun jenamanya berupa 'trademark' atau subliminal," kata pengerusi PAGE, Noor Azimah Abdul Rahim, kepada MalaysiaNow.

Azimah turut mempersoalkan hujah bahawa tajaan syarikat arak di program sekolah sudah pun berterusan sejak tiga dekad lalu.

"Kami amat memahami dana amat diperlukan untuk pendidikan. Walau bagaimanapun, jika syarikat ini benar-benar ikhlas dan murni dalam sumbangannya untuk pendidikan, tidak akan timbul isu jika jenama atau tanda dagangan penyumbangnya tidak dipaparkan di kawasan sekolah atau berdekatan dengannya," tambahnya.

Aktivis pendidikan Cina Kua Kia Soong, yang mengkritik ahli politik DAP kerana mempertahankan penajaan syarikat arak, turut mencerminkan pandangan sama.

Katanya, jika syarikat arak benar-benar ikhlas membantu sekolah Cina, mereka boleh melakukannya tanpa mencetuskan kontroversi seperti yang berlaku sekarang.

“Mereka tidak sepatutnya dilihat mengiklankan kutipan dana mereka untuk sekolah dan memasang poster dan sepanduk serta papan iklan di sekolah, mahupun dikaitkan dengan sekolah.

"Seperti penderma lain, mereka hanya perlu menyumbang tanpa pengiklanan," kata Kua, yang juga bekas ahli parlimen Petaling Jaya dan bekas pengetua Kolej New Era.