- Iklan -
Berita

Bahang boikot McDonald's turut dirasai di Perancis

Selain jualan merudum di dunia Islam, restoran makanan segera itu turut berdepan cabaran di negara dengan populasi minoriti Islam yang besar.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Cawangan McDonald's seluruh negara kelihatan agak lengang berbanding sebelum konflik terbaru di Gaza sejak pertengahan Oktober lalu.
Cawangan McDonald's seluruh negara kelihatan agak lengang berbanding sebelum konflik terbaru di Gaza sejak pertengahan Oktober lalu.

Jualan McDonald's yang terkesan akibat kempen global memboikot kepentingan Amerika Syarikat sejak tercetusnya perang di Gaza turut memberi kesan kepada perniagaan syarikat makanan segera itu di Perancis.

CEO McDonald's Chris Kempczinski dilaporkan mengaitkan perkembangan itu dengan populasi minoriti Islam yang besar di negara itu, yang kini menjadi tuan rumah sukan Olimpik.

Kempczinski berkata jualan antarabangsa mencatatkan peratusan kejatuhan jualan yang paling besar pada 1.3% susulan peperangan di Gaza di samping kemerosotan jualan di China.

"Perancis adalah satu daripada pasaran yang mempunyai jumlah umat Islam yang lebih tinggi," Kempczinski dipetik fortune.com.
 
"Dan apabila anda mengambil kira Timur Tengah, impak yang kita lihat di Perancis lebih besar berbanding pasaran lain kerana populasi itu.

"Jadi ada banyak perkara yang sedang dilihat oleh pasukan kami mengenai bagaimana kami ingin menceritakan kisah kami daripada sudut pemasaran di peringkat tempatan," katanya.

McDonald's menjadi sasaran pada awal perang di Gaza apabila McDonald's di Israel bertindak menyokong regim Zionis itu dengan membekalkan makanan kepada tentera yang menyertai pengeboman di Gaza, yang setakat ini mengorbankan hampir 40,000 orang, kebanyakannya kanak-kanak dan orang awam.

McDonald's dilaporkan akan meneruskan bantuan kepada francais di bawahnya sepanjang konflik di Gaza berlangsung, termasuk pengecualian bayaran royalti dan penangguhan kutipan tunai untuk sesetengah pemilik rangkaian di Timur Tengah.

"Syarikat sedang memantau situasi yang sedang berubah, yang dijangka berterusan membawa impak negatif kepada jualan dan keuntungan selagi perang berterusan," katanya.

Tindakan pemulauan terhadap jenama-jenama yang dilihat bersekongkol dengan kezaliman Israel diterajui oleh Boycott, Divestment and Sanctions (BDS), pergerakan global yang menggesa pengguna di seluruh dunia memboikot beberapa syarikat yang dilihat mempromosi agenda politik Israel dan Barat.

McDonald's di Malaysia turut terkena tempias kemarahan umat Islam yang memboikot restoran di samping pelbagai restoran makanan segera yang lain.

Antara yang mengalami kerugian ialah Starbucks, selain KFC yang terpaksa memberhentikan kira-kira 100 cawangan di seluruh negara.

Gerbang Alaf Sdn Bhd, syarikat yang memegang lesen francais McDonald's di Malaysia, dilaporkan mahu menyaman pergerakan BDS Malaysia, namun membatalkan tindakan itu susulan proses mediasi dengan kumpulan tersebut.