- Iklan -
Berita

Hampir 2 tahun 'kerajaan perpaduan', hubungan Umno-PH masih tegang di peringkat negeri

Rasa tidak puas hati akar umbi Umno itu lahir daripada apa yang disifatkan sebagai layanan buruk sekutu politiknya terhadap parti Melayu itu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Hubungan rapat pemimpin tertinggi Umno dan Pakatan Harapan tidak dicerminkan di peringkat akar umbi dan negeri, di mana ketegangan masih berterusan antara kedua pihak.
Hubungan rapat pemimpin tertinggi Umno dan Pakatan Harapan tidak dicerminkan di peringkat akar umbi dan negeri, di mana ketegangan masih berterusan antara kedua pihak.

Hubungan Umno dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri masih jauh menyimpang daripada imej perpaduan yang cuba ditonjolkan pemimpin tertinggi mereka di peringkat persekutuan, berdasarkan perbualan MalaysiaNow dengan beberapa pemimpin akar umbi.

Walaupun keputusan parlimen tergantung pada pilihan raya 2022 lalu memaksa dua seteru lama itu bergabung bagi menghalang musuh yang sama iaitu Perikatan Nasional (PN) daripada kembali berkuasa, pertelingkahan antara mereka sebenarnya jauh dari reda, malah semakin menjadi-jadi. 

Ramai pemimpin akar umbi Umno yang meluahkan rasa tidak puas hati, dengan mendakwa mereka diketepikan dalam pengagihan pelbagai jawatan peringkat tempatan.

Ia menimbulkan keraguan akan berlaku sebarang kerjasama antara PH dan Umno untuk pilihan raya umum yang akan datang, seperti mana diharapkan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Umno lain dalam kumpulan "pro-Madani".

Keadaan ini paling ketara di Terengganu, negeri di mana Umno dihapuskan pada pilihan raya tahun lepas.

Pemimpin parti Melayu itu kini mengadu disisihkan daripada sebarang peranan dalam pihak berkuasa tempatan, malah ada yang menyifatkan mereka seakan dibuli.

Antara punca utama pertelagahan ialah tuntutan PH supaya Umno menyerahkan separuh daripada lebih 1,600 jawatan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), badan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diterajui Zahid dan berfungsi sebagai jentera Putrajaya di negeri pembangkang.

"Bayangkan, bagaimana kita nak beri mereka jawatan itu sedangkan mereka pun tiada akar umbi di negeri ini? Buat apa nak pegang jawatan?" kata Setiausaha Kerja Penerangan Umno Terengganu, Mohd Supian Museri.

Supian mendakwa PH mengejar jawatan pengerusi dalam setiap JPKKP disebabkan elaun bulanan RM900 yang ditawarkan, sedangkan Umno pula diminta sekadar mengisi jawatan setiausaha yang hanya ditawarkan elaun RM300.

Bagaimanapun, beliau berkata mustahil bagi Umno melepaskan jawatan itu, sambil memberikan contoh apa yang berlaku di Kemaman.

"Umno nak beri kah? Tak mungkin. Ketua cawangan akan bising sebab mereka memang tiada jentera di sini tetapi nak jawatan," katanya.

Supian turut menamakan seorang pemimpin kanan Amanah di Terengganu yang menjadi dalang memberi tekanan kepada Umno supaya bertolak ansur dengan tuntutan PH.

"Orang ini hantar memo mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tetapi setakat ini tiada perkembangan."

Ketegangan sama turut dirasai di Selangor, di mana awal tahun ini Umno bertindak menolak tawaran kerajaan negeri pimpinan PH untuk mengisi jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan, di samping mengosongkan 75 jawatan ketua kampung di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Aduan yang kerap didengari PH mengabaikan Umno dalam hal ehwal pihak berkuasa tempatan.

Mohd Zaidi Md Zain.
Mohd Zaidi Md Zain.

Ketua Penerangan Umno Selangor, Mohd Zaidi Md Zain, berkata walaupun parti itu menyerahkan kerusi ahli majlis tempatan kepada PH, ia sepatutnya dilibatkan dalam proses membuat keputusan seiring dengan "semangat kerajaan perpaduan".

Menurutnya, langkah Umno melepaskan kerusi ahli majlis dibuat atas semangat "setia kawan".

"Tetapi sekurang-kurangnya libatkanlah Umno dalam program di kawasan tersebut. 

"Ini tidak. Sekarang kita sudah tidak tahu apa yang mereka lakukan sebab perbincangan hanya melibatkan dalam kalangan mereka sahaja," tambah Zaidi.

Zaidi, yang juga ketua Umno Bangi, berkata bahagiannya baru-baru ini telah meluluskan usul berkenaan perkara itu, menggesa kepimpinan pusat meneliti semula kebersamaan Umno dan PH yang masih tidak berlaku.

"Kerjasama ini hanyalah melibatkan pimpinan atas sahaja, tetapi ia tidak dirasai di peringkat bawahan. 

"Umno pusat perlu fikirkan sesuatu," ujarnya.