- Iklan -
Berita

Mesyuarat pengarah di Australia sekadar 'cadangan', kata syarikat milik kerajaan Selangor

Kumpulan Hartanah Selangor Berhad berkata rombongan ke Perth itu bukan setakat mengadakan mesyuarat pengarah tetapi juga bagi tujuan berkait mengkaji sektor hartanah.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dua syarikat milik kerajaan Selangor bercadang membawa pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah termasuk beberapa ahli politik untuk menghadiri mesyuarat syarikat di Perth, Australia.
Dua syarikat milik kerajaan Selangor bercadang membawa pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarah termasuk beberapa ahli politik untuk menghadiri mesyuarat syarikat di Perth, Australia.

Sebuah syarikat milik kerajaan Selangor mempertahankan cadangan mengadakan mesyuarat lembaga pengarahnya di Perth, Australia, sambil mendakwa rombongannya bukan semata-mata untuk tujuan itu sebaliknya merupakan "delegasi teknikal" mengkaji sektor hartanah.

"Sebarang laporan yang ingin memberikan gambaran bahawa KHSB hanya ingin berkunjung ke luar negara semata-mata untuk mengadakan Mesyuarat Lembaga Pengarah di luar negara adalah jelas sebuah fitnah yang berniat jahat serta bertentangan dengan logik," kata Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), menjawab laporan MalaysiaNow sebelum ini yang menamakan dua syarikat milik kerajaan yang akan menerbangkan pengurusan tertinggi dan ahli lembaga pengarahnya ke Perth, Australia selama empat hari, di mana Menteri Besar Amirudin Shari akan turut serta.

KHSB mendakwa ia masih di peringkat cadangan dan "masih belum mendapat sebarang kelulusan Lembaga Pengarah KHSB". 

"Sekiranya is dilaksanakan, is merupakan sebahagian daripada delegasi teknikal bagi tujuan hakiki syarikat iaitu dalam pembangunan perumahan dan hartanah termasuk inovasi terkini yang sedang berkembang pesat dalam industri pembangunan hartanah," katanya.

Pada Isnin, MalaysiaNow melaporkan Amirudin akan turut serta bersama ahli lembaga pengarah KHSB dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd dalam lawatan itu, berbeza dengan amalan sebelum ini di mana mesyuarat lembaga pengarah diadakan dalam negara.

Mengikut jadual program yang dilihat oleh MalaysiaNow, peserta akan menaiki dua penerbangan berasingan Malaysia Airlines pada 23 Ogos.

Ahli sekretariat yang menganjurkan program akan berlepas pada sebelah pagi, manakala "VIP, ahli lembaga pengarah dan pengurusan" akan menaiki penerbangan lain pada sebelah malam.

Kedua-dua syarikat akan mengadakan mesyuarat lembaga mereka secara berasingan pada hari pertama.

Tiada apa dijadualkan pada hari kedua, iaitu hari Ahad, melainkan jamuan makan malam dihadiri Amirudin dan pegawai kanan kerajaan Selangor.

Keesokan harinya, peserta akan dibawa ke "lawatan tapak" sebagai sebahagian daripada "lawatan teknikal" sebelum dibawa bersiar ke Fremantle, sebuah tarikan pelancong di Australia Barat.

Antara eksekutif kanan dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd milik kerajaan negeri, yang juga termasuk ahli politik PH.
Antara eksekutif kanan dan ahli lembaga pengarah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd milik kerajaan negeri, yang juga termasuk ahli politik PH.

Semakan di laman web kedua-dua syarikat itu menunjukkan sekurang-kurangnya 25 orang membentuk lembaga pengarah dan pasukan pengurusan, tidak termasuk Amirudin dan anggota sekretariat.

Antaranya ialah Adun Pakatan Harapan Rajiv Rishyakaran (DAP) dan Azmizam Zaman Huri (PKR), setiausaha sulit Amirudin, Mohd Hidayat Mohd Sauffi, di samping ahli politik PKR Saipolyazan Mat Yusop, Kamarul Baharin Abbas dan Yahya Mat Sahri.

KHSB dalam kenyataannya hari ini berkata laporan MalaysiaNow itu "tidak memberikan gambaran yang tepat" dan "seolah-olah berniat untuk menyebarkan fitnah". 

"KHSB sebagai sebuah anak syarikat kerajaan negeri Selangor sentiasa kekal profesional dan komited dengan prinsip ketelusan dan integriti selain menyokong amalan tadbir urus korporat tahap terbaik dalam segenap lapisan operasi syarikat. 

"Pada masa yang sama, kami berharap organisasi media kekal profesional, beretika dengan membudayakan semakan silang sebelum menerbitkan berita," tambahnya.