- Iklan -
Berita

Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh terbunuh di Iran

Pemimpin paling kanan yang menjadi jurucakap antarabangsa pergerakan itu dilaporkan menjadi sasaran serangan Israel.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Ismail Haniyeh.
Ismail Haniyeh.

Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan salah seorang pengawal peribadinya terbunuh selepas kediamannya menjadi sasaran di Tehran, Iran awal pagi ini, menurut kenyataan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Perkara itu turut disahkan Hamas, yang menuduh serangan terhadap Haniyeh dilakukan oleh Israel.

"Ketua pergerakan itu terbunuh dalam serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran, selepas menghadiri upacara pelantikan presiden Iran yang baru. Dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Dan ini adalah suatu jihad, kemenangan atau syahid," kata Hamas dalam satu kenyataan.

Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan pembunuhan Haniyeh akan menambahkan persengketaan "tanpa mencapai matlamatnya", sambil menambah bahawa kumpulan itu akan melancarkan "perang terbuka untuk membebaskan Baitulmaqdis".

Sementara itu, pegawai kanan Hamas Moussa Abu Marzouk menyifatkan serangan ke atas Haniyeh sebagai "tindakan pengecut yang tidak akan terlepas daripada hukuman".

Menurut agensi berita Fars dari Iran, Haniyeh dibunuh oleh "peluru dari udara" di sebuah kawasan di utara Tehran.

Haniyeh, 62, merupakan orang paling kanan Hamas dibunuh Israel sejak serangan ke atas pemimpin tertinggi kumpulan itu Sheikh Ahmed Yassin pada 2004.

April lepas, beberapa ahli keluarga Haniyeh, termasuk tiga anak lelakinya dan lima cucu, terbunuh apabila kereta mereka menjadi sasaran serangan udara Israel pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri di kem pelarian Shati di Gaza.

Haniyeh menjadi jurucakap antarabangsa Hamas dan mengetuai biro politik pergerakan itu sementara berpengkalan di Qatar sejak tahun lalu.

Serangan hari ini berlaku beberapa jam selepas Israel mendakwa membunuh seorang komander tertinggi Hizbullah di Beirut.

Tentera Israel berkata Fuad Shukr menjadi sasaran "penyingkiran hasil perisikan". Dakwaan itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.