- Iklan -
Berita

Sumber: Terrirudin tiada dalam senarai calon Hakim Besar Malaya dicadang Maimun kepada Anwar

Spekulasi bahawa peguam negara akan diangkat menjadi hakim Mahkamah Persekutuan menimbulkan kebimbangan campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Anwar Ibrahim dan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Anwar Ibrahim dan Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh.

Ura-ura Anwar Ibrahim bakal melantik Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Besar Malaya semakin menimbulkan keresahan dalam kalangan perundangan dan badan kehakiman, mengulangi kebimbangan sama yang dizahirkan Majlis Raja-Raja tidak lama dahulu mengenai kuasa perdana menteri melantik hakim kanan.

Sumber yang boleh dipercayai mendedahkan kepada MalaysiaNow bahawa Terrirudin tidak termasuk dalam senarai nama disyorkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat kepada Anwar untuk mengisi jawatan Hakim Besar Malaya.

Jawatan itu dikosongkan selepas persaraan Zabidin Diah pada 29 Februari.

Tengku Maimun difahamkan telah mengesyorkan senarai nama kepada Anwar, mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, di mana pelantikan ke jawatan tertinggi kehakiman selain ketua hakim hendaklah dirunding bersama ketua hakim.

Perkara 122B juga menyatakan bahawa hanya selepas proses tersebut, perdana menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong, yang seterusnya akan bermesyuarat dengan Majlis Raja-Raja.

Seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri enggan mengulas mengenai perkara itu, sebaliknya berkata kerajaan tidak terikat dengan cadangan ketua hakim.

Pendirian itu jauh berbeza daripada janji Anwar untuk tidak terlibat dalam pelantikan hakim, hanya beberapa bulan selepas menjadi PM.

"Kita lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ada perubahan dan dalam pelantikan badan kehakiman umpamanya, saya belum pernah campur satu pelantikan pun. Saya ikut proses Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan kemudian Ketua Hakim Negara mengemukakan (nama) dan saya terima," katanya dipetik dalam temu bual dengan RTM pada Januari 2023.

Alasan yang mengatakan bahawa perdana menteri tidak terikat dengan nasihat CJ tidak disenangi beberapa hakim kanan, di sebalik ingatan mengenai campur tangan kerajaan dalam badan kehakiman selama beberapa dekad.

"Itulah yang menjadi kebimbangan utama sekarang ini. Terdapat kebimbangan akan berulangnya campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman," kata sumber dari badan kehakiman, bercakap kepada MalaysiaNow dengan syarat namanya tidak disiarkan.

"Apabila tiada satu nama pun yang dikemukakan olehnya (ketua hakim)diterima, itu seolah-olah sia-sia sahaja proses rundingan seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan," tambah sumber itu.

Rancangan untuk mengangkat Teriruddin sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, disusuli dengan pelantikan sebagai Hakim Besar Malaya, dikritik pelbagai pihak dalam profesion perundangan, termasuk bekas timbalan menteri undang-undang dan reformasi institusi, Ramkarpal Singh.

"Melantik orang luar ke salah satu jawatan kehakiman paling kanan negara sudah tentu akan langkah ke belakang dan menggambarkan tahap komitmen kerajaan terhadap pembaharuan kehakiman," kata Ramkarpal, yang tidak dilantik semula berikutan rombakan Kabinet akhir tahun lalu.

Kebimbangan raja-raja Melayu 

Pada November 2022, Majlis Raja-Raja mencadangkan kuasa perdana menteri dalam pelantikan hakim dihapuskan.
Pada November 2022, Majlis Raja-Raja mencadangkan kuasa perdana menteri dalam pelantikan hakim dihapuskan.

Seminggu selepas Anwar dilantik sebagai perdana menteri, Majlis Raja-Raja menyuarakan kebimbangan mengenai kuasa luas yang ada pada perdana menteri dalam pelantikan hakim.

Raja-raja Melayu mencadangkan perdana menteri tidak lagi diberikan kuasa melantik lima wakil dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), iaitu badan yang bertanggungjawab mengesyorkan nama untuk lantikan hakim kanan mahkamah.

Empat daripada sembilan anggota JAC adalah hakim kanan, manakala lima lagi dilantik oleh perdana menteri.

"Untuk memastikan JAC bebas dalam melaksanakan tanggungjawab, Beta mencadangkan agar pelantikan lima ahli-ahli JAC tidak dibuat oleh perdana menteri. 

"Sebaliknya ia diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen," menurut kenyataan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada November 2022.

Beberapa bulan kemudian, Anwar berikrar mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

"Sebagai Perdana Menteri, saya bukan sahaja tidak mencampuri walau sedikit pun kuasa badan kehakiman, malah saya akan mempertahankan, walau apa cara sekalipun, kebebasan badan kehakiman," katanya pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-undang Asean tahun lepas.

Kebebasan badan kehakiman berulang kali diselitkan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) selama beberapa dekad.

Pada 2018, gabungan itu berjanji memastikan pelantikan hakim berdasarkan merit dan pengalaman, serta menghapuskan kuasa perdana menteri dalam mempengaruhi pelantikan hakim.

“Pelantikan Ketua Hakim Negara dan presiden Mahkamah Rayuan melalui jalan belakang seperti yang diamalkan oleh Umno dan Barisan Nasional, akan dihentikan serta merta,” kata manifesto PH pada pilihan raya umum ke-14.

Janji serupa diulangi pada pilihan raya umum yang lalu.

"Harapan akan terus mempertahankan integriti sistem pentadbiran Malaysia dengan mengehadkan kuasa badan eksekutif, menjamin kebebasan institusi perundangan, dan menyusun semula aturan politik negara," kata gabungan itu.