- Iklan -
Berita

BlackRock hantui Anwar menjelang perhimpunan pro-Palestin kedua anjuran kerajaan

Hasrat kerajaan menganjurkan perhimpunan itu susulan pembunuhan Ismail Haniyeh dibayangi gesaan agar Putrajaya membatalkan rancangan kontroversi melibatkan MAHB.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan pro-Palestin berarak dalam kesibukan malam Sabtu di Bukit Bintang semalam, menggesa Putrajaya membatalkan rancangan menjual saham pengurusan lapangan terbang kepada sebuah syarikat dimiliki BlackRock.
Penunjuk perasaan pro-Palestin berarak dalam kesibukan malam Sabtu di Bukit Bintang semalam, menggesa Putrajaya membatalkan rancangan menjual saham pengurusan lapangan terbang kepada sebuah syarikat dimiliki BlackRock.

Kerajaan akan menganjurkan perhimpunan pro-Palestin yang kedua sejak pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza Oktober lalu, tetapi kali ini ia dibayangi kontroversi rancangan Putrajaya untuk membawa masuk sebuah syarikat milik pengurus dana mesra Israel BlackRock menjadi rakan kongsi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Perhimpunan malam ini akan dihadiri beberapa pemimpin utama kerajaan termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan diadakan di tengah-tengah kemarahan dunia Islam terhadap pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh minggu lalu.

Bagaimanapun, sebuah demonstrasi malam tadi mendahului perhimpunan yang akan diadakan itu, menyaksikan ratusan penunjuk perasaan berkumpul di luar cawangan pertama McDonald's Malaysia di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, untuk menggesa kerajaan membatalkan perjanjian melibatkan pengurusan lapangan terbang itu.

"Kerajaan Malaysia sekarang bersubahat dengan Zionis Israel!," menurut sepanduk dipamerkan sekumpulan belia yang berarak di tengah-tengah kesibukan malam Sabtu pusat beli-belah itu. "Hentikan penjualan MAHB kepada BlackRock".

SolidaritiPalestine34_Mnow_030824Protes itu dianjurkan Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) untuk mengutuk pembunuhan Haniyeh di Tehran pada 31 Julai.

Kumpulan itu berkata hakikat bahawa Haniyeh dibunuh dalam operasi yang dirancang Mossad di ibu negara Iran mengesahkan kebimbangan orang ramai dalam membenarkan sebuah syarikat dimiliki entiti pro-Israel untuk menguruskan pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang melibatkan data sensitif di samping radar dan peralatan keselamatan.

Perjanjian kontroversi itu akan menyaksikan Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat milik penuh BlackRock, mendapatkan satu pertiga pemilikan dalam MAHB.

Pengkritik dan pakar penerbangan memberi amaran bahawa menjadikan sebuah syarikat asing untuk menguruskan pengurusan pintu masuk negara menimbulkan risiko keselamatan, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan BlackRock, pengurus dana global berpangkalan di New York yang terkenal dengan peranannya memperkasakan ekonomi Israel dan industri senjatanya.

Jurucakap SSP, bekas naib presiden PKR, Tian Chua, mengalu-alukan langkah kerajaan menganjurkan himpunan menyokong Palestin, tetapi mengingatkan kerajaan Anwar untuk menghentikan serta-merta semua aktiviti dan urusan perniagaan dengan syarikat pro-Israel.

"Kerajaan juga harus semak semula urus niaga dengan BlackRock ini, sama ada ia akan menjadi risiko keselamatan memandangkan pihak AS dan Israel akan menggunakan apa sahaja untuk kepentingan mereka.

"Kita tidak mahu peralatan sensitif seperti radar dan satelit boleh dieksploitasi untuk mereka menyasarkan apa-apa yang dianggap musuh Zionis," kata bekas ahli parlimen Batu itu kepada MalaysiaNow.

Sumber dalam PKR memberitahu MalaysiaNow, ilham mengadakan perhimpunan kedua tercetus selepas pembunuhan Haniyeh yang menyaksikan kecaman terhadap Israel oleh negara-negara Islam.

"Kami berpendapat sentimen anti-Israel kini mencapai tahap tertinggi sejak Oktober tahun lalu, maka kami perlu menunjukkan kepada orang ramai bahawa kerajaan masih teguh di belakang perjuangan Palestin, walaupun dengan wujudnya kontroversi BlackRock yang memaksa kami menjadi defensif," seorang ahli Parlimen yang lama dikaitkan dengan tokoh kanan Pakatan Harapan (PH), memberitahu MalaysiaNow dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Tian Chua bagaimanapun berkata, pembunuhan Haniyeh membuktikan kerajaan tidak boleh memakai hujah ekonomi dalam mempertahankan perjanjiannya dengan GIP.

Menurutnya, operasi pembunuhan di Tehran menunjukkan bagaimana Israel sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menyusup masuk ke negara musuh, untuk melakukan keganasan.

Beliau memberi amaran supaya tidak memberi "musuh Palestin" peranan dalam menguruskan lapangan terbang.

"Israel akan menggunakan apa sahaja untuk menghancurkan pejuang Palestin."

Himpunan "Himpunan Pembebasan Palestin" malam ini diadakan di Bukit Jalil, tempat perhimpunan solidariti serupa dianjurkan kerajaan dua minggu selepas Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran terhadap orang awam Gaza, yang setakat ini membunuh lebih 40,000 nyawa kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Cawangan tempatan pergerakan anti-Israel global, Boycott, Divestment, Sanction (BDS) turut mengalu-alukan perhimpunan itu dan menyeru orang ramai hadir, sambil memberikan peringatan kepada kerajaan untuk membatalkan perjanjiannya dengan GIP.

BDS Malaysia, yang aktif menganjurkan bantahan terhadap rancangan itu, tetap menaruh harapan Anwar akan membatalkan perjanjian itu.

"Pengumumannya berkenaan perkara ini amat dinanti-nantikan oleh pihak kami dan semua rakyat Malaysia," kata kumpulan itu kepada MalaysiaNow ketika dihubungi.

Anwar setakat ini menolak bantahan terhadap penjualan saham kepada GIP, dan memberikan alasan kerajaan tidak boleh memutuskan hubungan dengan syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel kerana ia akan "menjejaskan ekonomi".

Beliau menuduh pengkritik cuba mengambil kesempatan atas isu itu untuk meraih markah politik, malah mendakwa Hamas tidak mempunyai masalah dengan Malaysia menjalankan perniagaan dengan syarikat pro-Israel.

"Saya bincang dengan pimpinan Hamas, tidak berbangkit pun. Ini lebih Hamas daripada Hamas," Anwar memberitahu Dewan Rakyat pada Jun.

Beberapa jam selepas kenyataan itu, Hamas mengeluarkan kenyataan menggesa semua negara Islam untuk meneruskan boikot terhadap mana-mana syarikat yang terlibat dengan jenayah perang Israel.

Kami menggesa rakyat di negara Arab dan Islam serta rakyat merdeka seluruh dunia untuk menyokong semua usaha ke arah pemulauan dan pengasingan entiti ini dan penyokongnya," kata kenyataan Hamas bertarikh 26 Jun.